Khamis, 19 November 2009

Setiap Satu Detik Amat Berharga







Duduk dua jam di depan televisyen tidak terasa jika dibandingkan duduk sebentar membaca dua muka surat al-Quran! Ya! Bukan main berat rasanya hendak menghabiskan ayat-ayat al-Quran yang tersekat-sekat di lidah. Jika tiba waktu sembahyang, tiba-tiba datang pula rancangan televisyan yang diminati. Alangkah beratnya percaturan untuk memilih. Pembaziran masa sering terjadi pada semua peringkat usia dan latar belakang pekerjaan, dari suri rumah, kanak-kanak dan remaja, para pekerja sampai ke peringkat warga tua. Pernahkah anda merasa bosan pada suatu hari? Semua tugas dan tanggungjawab di pejabat tidak selesai dan terpaksa ditunda esok dan esok entah sampai bila. Ada pula seorang suri rumah yang suka memanjakan diri, duduk berjam-jam membelek-belek majalah yang telah berkali-kali dibaca, shopping tanpa ada keperluan yang benar-benar penting, bersembang dengan kawan sampai terlebih masa, akhirnya kerja-kerja mengurus rumahtangga tak dapat diselesaikan apatah lagi hendak mendidik anak-anak. Sementara ada juga di kalangan warga tua yang apabila bersara terus berehat sepanjang masa, makan dan tidur tidak dapat dikawal lagi, ditambah dengan gejala kemurungan kerana rindu mengenangkan anak-anak yang jauh akhirnya datang penyakit tiba-tiba. Begitulah kehidupan manusia. Masing-masing memilih di antara dua kenyataan, hidup dengan cara yang positif atau sebaliknya.

Menurut teori psikologis Dr. Norman Vincent Peale, pakar pemikiran positif yang terkenal berpendapat, “Tugas utama manusia bukanlah menanggung kehidupan tetapi menguasai kehidupan.” Ada persamaan orientasi pemikiran antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas’ud, apabila beliau berkata: “Belum pernah aku menyesal, melainkan penyesalanku ketika matahari terbenam, semakin singkat umurku sedangkan amalanku tidak bertambah.” Peribadi seperti ini tidak akan menyerah dengan kehidupan yang dijalani bahkan ia berusaha untuk menguasai kehidupan dengan bersemangat. Orang beriman sentiasa prihatin dengan masa yang berlalu tanpa kerja yang berfaedah untuk dunia dan akhiratnya. Kerana mereka sedar bahawa dunia ini tempat untuk berjuang, di sini kita menanam esok di akhirat tinggal menuai. Satu detik yang dihabiskan untuk membaca Subhanallah cukup untuk memberatkan timbangan amal salih di akhirat. Dan mungkin kerana satu detik saja yang digunakan untuk maksiat akan menjadi penyesalan ke atas timbangan hisab nanti. Sepertimana keadaan orang-orang yang rugi dalam firman Allah SWT: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari neraka) supaya kami dapat beramal salih, bukan seperti apa yang kami amalkan dahulu.” (Surah Fathir Ayat 37)

Pembahagian masa yang efektif dan kesungguhan anda mematuhinya menjadi faktor yang amat penting memperoleh kejayaan dunia dan akhirat. Seorang mukmin yang hidup pada zaman moden ini terpaksa bersaing dengan manusia-manusia hamba wang yang mempunyai prinsip ‘time is money’. Alangkah ironisnya jika kemenangan dan kemajuan seringkali berpihak kepada orang-orang kafir sementara kaum muslimin masih dibuai mimpi yang panjang. Kurangnya motivasi tentang budaya ilmu dan menguruskan masa menjadi penyumbang kelemahan umat.  Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya “al-Waqt fi hayal al-muslim” (Detik-detik Masa Dalam Kehidupan Seorang Muslim) menyatakan keprihatinannya tentang budaya kerja di negeri Mesir dibandingkan dengan rakyat Eropah. Beliau mengungkapkan satu kajian yang dibuat bahawa orang Eropah bekerja tidak kurang 7 jam, bahkan lebih setiap hari sedangkan rakyat Mesir bekerja tidak melebihi 30 minit sehari. Mengapa umat Islam rela terhina dengan kemalasan dan terlena dengan mimpi panjang yang melemahkan akal, ketika orang-orang kafir menguasai daratan dan lautan bahkan sampai menembus cakerawala.

Hendaklah setiap mukmin itu mengisi masanya dengan tiga aktiviti sebagai berikut:
Merancang Kerja
Setiap hari yang dilalui seorang mukmin adalah simpanan baginya. Kerana waktu sesaat akan menjadi penyumbang pada ‘buku laporan kerja’ yang berada di bawah pemegang kuasa dua malaikat, Raqib dan ‘Atid. Segala kerja baik akan direkodkan dan tidak terkecuali dengan kerja kejahatan pasti akan direkodkan. Kerja baik merupakan ibadat jika diniatkan kerana mengharap reda Allah SWT. Tugas memakmurkan bumi adalah ibadat yang menjanjikan imbalan. Seorang mukmin sejati tidak boleh duduk diam melihat kemiskinan dan kebodohan melanda umat, kerana dia dilahirkan untuk menjadi khalifatullah fil Ardh. Bahkan al-Quran mengajar kita untuk merancang masa depan dan bersungguh-sungguh bekerja agar dapat dilihat hasilnya di akhirat nanti sebagai amal salih yang dibanggakan oleh Allah, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Firman Allah SWT: ”Dan katakanlah, bekerjalah kamu nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan menyaksikan pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata lalu diberitakannya kepada kamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)  

Kerja yang dilakukan hendaklah memberi manfaat kepada dunia dan akhirat seseorang. Kerana sebenarnya kita bekerja untuk Allah SWT. Hidup ini adalah untuk memastikan eksistensi diri kita berada pada tahap paling mulia, berjaya dan diredai Allah SWT. Tentu saja semua itu dimiliki bukan dengan cara duduk berangan yang tak sudah-sudah.

Mengurus Diri
Mukmin yang amanah terhadap masa cekap menguruskan dirinya. Jika kita hendak merancang masa dengan efektif maka kebijaksanaan mengenal diri dan mengawalnya adalah kunci kejayaan bagi perancangan yang dibuat. Kenali diri anda dan cuba terokai nilai-nilai positif yang ada padanya dan serlahkanlah ia untuk kemajuan anda. Demikian juga dengan nilai-nilai negatif agar anda boleh mengawalnya dengan baik. Ilmu mengenal potensi diri mengajar kita sentiasa bermuhasabah terhadap apa yang baik dan buruk yang ada pada diri kita untuk menjamin kejayaan. Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam Ihya’ ‘Ulumuddin mengajar kita mengawal tujuh anggota badan yang zahir iaitu; mata, telinga, mulut, tangan, kaki, perut dan kemaluan agar mereka tunduk kepada nilai-nilai yang positif. Begitu juga perhatian beliau kepada pentingnya membersihkan hati yang merupakan anggota badan yang esensial dan maha hebat pengaruhnya kepada keperibadian seseorang. Pada diri Rasulullah SAW berkumpulnya nilai-nilai teladan terbaik, seorang manusia unggul yang mencerminkan kesempurnaan kerana baginda diasuh secara langsung oleh Rabbnya. Sebagai mukmin kita diwajibkan mengambil pengajaran daripada sahsiah baginda SAW untuk diamalkan dalam kehidupan kita.

Memberi Manfaat Kepada Orang Lain
Hidup kita akan menjadi lebih bererti jika perbuatan yang dilakukan memberi kebahagiaan kepada orang lain. Disebabkan seorang surirumah yang bertanggung jawab, berhati mulia, penuh cinta dan kasih sayang kepada suami dan anak-anaknya, maka kehadiran dirinya begitu penting untuk memastikan kebahagiaan dan keselamatan keluarga itu berpanjangan. Disebabkan keikhlasan dan dedikasi seorang guru, maka masa depan generasi umat ini menjadi begitu cemerlang. Kerana anda pekerja yang amanah, bangsa dan negara ini begitu bergantung kepada pertolongan anda bagi menjayakannya. Biarlah hidup ini berjalan dengan potensi setiap orang yang dicurahkan untuk kesejahteraan bersama. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang mengalami kesulitan, maka Allah akan memudahkan urusannya baik di dunia maupun di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, Allah pasti akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama ia menolong saudaranya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seorang yang membuat perancangan masa adakalanya berputus asa apabila terlepas daripada menepati apa-apa yang sudah dirancang. Jangan bersikap pesimis jika kita gagal, cepatlah kembali bangkit sambil beristighfar dan berusaha bersungguh-sungguh membayar kecuaian dengan kerja yang berfaedah. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari suatu urusan) kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh urusan yang lain. Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaklah kamu berharap.” (Surah al-Insyirah Ayat 6,7 dan 8)

 Wallahua'lam Bissawab






Penggerak Masjid Berhak Mendapat Anugerah Naungan Allah SWT







Masjid yang berdiri megah dengan segala kemudahan lengkap serba moden menjadi kebanggaan umat Islam. Suasana yang asyik dan tenang menggamit seribu satu kedamaian di jiwa para abid yang ikhlas. Tetapi apakah kekuatan jiwa dari dalam masjid itu mampu menghantar kuasanya sampai ke luar kawasan liputan? Bolehkah syiarnya menembusi setiap rumah muslimin bagi mendatangkan kerinduan mereka kepada Rabbul ‘Alamin? Padahal tarikan duniawi begitu hebat memancing perasaan setiap penghuni rumah untuk menikmati kelalaian yang ditawarkan. Benarkah tawaran masjid tidak popular seperti akademi fantasia? Tidak pernahkah kita berfikir untuk membikin rancangan syiar masjid yang tak kalah menariknya? Ramai menyalahkan para penggerak masjid yang tidak kreatif terhadap isu-isu semasa. Masalah moraliti umat yang kian meruncing, generasi Islam yang terbabit jenayah, isu pendidikan dan institusi keluarga, bahkan perekonomian umat terasa tidak tersentuh oleh kekuatan syiar masjid. Sekali lagi jangan mudah menyalahkan orang lain jika diri kitapun tak mampu memberikan apa-apa komitmen untuk keberkesanan program masjid.

Mereka yang menggerakkan masjid ini adalah sebaik-baik hamba Allah yang telah memperjuangkan agama-Nya setakat yang mampu. Rasulullah SAW bersabda: ”Tujuh golongan manusia yang Allah menaungi mereka pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya, ... (salah satunya) Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Alangkah beruntungnya mereka dengan janji Allah SWT itu. Pada hari akhirat akan terbukti segala kerja dan usaha demi menjana kekuatan masjid yang boleh menghantar kehangatan syiar Islam ke setiap penjuru bumi Allah ini. Ada beberapa kekuatan yang diperlukan oleh para penggerak masjid untuk mendapatkan gelaran terhormat di sisi Allah SWT. Bahkan ia adalah bagi sesiapa sahaja yang memperjuangkan syiar Islam di sektor mana saja mereka berperanan. Mempersiapkan kekuatan ini adalah tuntutan yang diserukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Kekuatan berkenaan ialah;

  1. Kekuatan kepimpinan dalam diri. Jiwa Imam dan para penggerak Masjid tidak boleh dibatasi pada ruang gerak sembahyang sahaja. Mereka hendaklah menyerlah hingga menjadi tokoh yang disegani dan memiliki keperibadian yang penuh karisma lagi berwibawa. Mereka hendaklah sentiasa peka dengan permasalahan umat dan mempunyai kekuatan daya tarik dalam dakwahnya. Mampu mengatur dan merancang strategi dakwah yang jitu dan yang paling penting memiliki akhlak terpuji bukan hanya pada dirinya tetapi juga pada keluarga yang menjadi teladan umat. Firman Allah SWT: ”Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyeri hati kami. Dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” ( Surah al-Furqan Ayat 74)

Semua kekuatan itu hendaknya ada pada diri setiap muslim. Jangan meletakkannya di bahu para Imam sahaja. Tidak semestinya gelaran Imam menjadi syarat untuk kita menggerakkan masjid yang kita cintai. Jika para makmum turut memiliki sifat kepemimpinan yang kental, alangkah bertuahnya agama ini yang memiliki umat yang berkualiti.

  1. Kekuatan ilmu. Para penggerak masjid yang ikhlas sentiasa melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu. Tafsir al-Quran, Hadis, Fiqah, Akhlak dan Sirah Rasulullah SAW adalah bacaan asas yang penting untuk membentuk pemikiran Islam yang sempurna. Manakala kemahiran berorganisasi, penulisan dan pengucapan awam, pengurusan dakwah bahkan kemahiran teknologi maklumat terkini adalah amat dituntut untuk memastikan gerakan syiar masjid yang lebih progresif. Banyak persediaan yang mesti dibekalkan kepada para Imam dan penggerak masjid kerana keadaan semasa amatlah mencabar keilmuwan dan kepakaran mereka bagi menghadapi pelbagai masalah umat. Tentu saja ilmu tersebut tidak menyumbang kepada keangkuhan peribadi dan merasa lebih hebat daripada orang lain kerana ilmu yang mengisi hati orang yang beriman menjadikan mereka lebih takut kepada Allah dan tawaduk kepada sesama manusia. Firman Allah SWT: ”Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Faathir Ayat 28)

  1. Kekuatan Ukhuwah. Umat yang bersatu akan saling mengasihi dan menyayangi serta menjauhkan perbezaan dan khilaf demi menjaga silaturrahim sesama mukmin. Hal ini sememangnya akan menciptakan kedamaian dan keharmonian. Hanya hamba Allah SWT yang mempunyai sifat rahmat kasih sayang sahaja yang boleh mengetepikan fahaman politik atau idealisme tertentu agar tidak menimbulkan jurang perpecahan dalam tubuh umat. Akan tetapi proses menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran wajib dijalankan. Ia sudah tentu dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan metod dakwah. Isu menggunakan masjid sebagai alat politik hendaknya dibendung agar umat ini tidak keliru arah tuju syiar masjid yang digerakkan. Kekuatan jentera penggerak masjid bukan terletak di tangan segelintir orang yang berkebolehan sahaja. Bahkan segenap jemaah kaum muslimin hendaklah menjadi inspirasi pengukuhan dan penanaman nilai-nilai Islam pada diri umat. Perpecahan menyebabkan kita kalah. Manakala perpaduan atas nama Islam dan iman akan menjadi akar kekuatan. Walaupun wujud banyak perbezaan dan fahaman tetapi adalah lebih baik kita sibuk mencari persamaan dalam diri yang boleh menjadikan kita lebih selesa duduk bermuafakat mencari penyelesaian atas kemunduran umat hari ini. Firman Allah SWT: ”Dan janganlah kamu bersengketa kerana ia menyebabkan kamu gagal dan hilangnya kekuatan kamu.” ( Surah al-Anfal Ayat 46)

  1. Kekuatan gerak kerja di semua peringkat. Pernahkah anda melihat jemaah masjid yang tekun dengan segala aktiviti dari kalangan remaja atau belia? Sungguh jarang sekali terlihat anak-anak kita di masjid atau surau. Mengapa mereka yang menjadi Ahli Jawatankuasa Masjid selalunya orang-orang tua sahaja? Bolehkan mereka mendengar sebarang idea dari perspektif remaja Islam? Bagaimanakah dakwah kepada generasi muda boleh disampaikan ke dasar jiwa mereka? Sudah tentu program untuk remaja yang berupa ceramah-ceramah yang berat dan menjemukan tidak sesuai untuk mereka. Aktiviti lasak dan mencabar seperti perkhemahan ibadat atau yang berunsurkan seni Islam seperti nasyid dan teater, atau penanaman ilmu agama yang digabungkan dengan sistem teknologi maklumat tentunya amat menarik minat mereka. Semua metod dakwah seperti itu lebih berkesan jika belia dan remaja yang berminat menjadi rakan masjid diberi peluang untuk berdakwah.

Melalui bimbingan dan dorongan mereka yang lebih senior akan membuahkan tim kerja dakwah masjid yang berjaya. Begitu juga pembabitan wanita muslimah yang boleh memberikan sumbangan untuk menggerakkan syiar masjid di kalangan mereka agaknya tidak boleh dianggap remeh kerana setiap orang mesti berperanan demi menyelamatkan nilai-nilai Islam pada masyarakat kita. Jadikanlah diri anda penggerak-penggerak masjid yang ikhlas kerana anda tidak rela melihat umat ini semakin terhakis kekuatannya oleh unsur-unsur jahiliyah moden yang semakin membimbangkan.



Wallahua'lam Bissawab








IKHLAS DALAM AMALAN BUKTI KEMURNIAN CINTA KEPADA ALLAH.







Tiada yang lebih menyakitkan hati seorang isteri jika suami berpaling kasih pada yang lain. Hari-hari yang berlalu terasa mendung dan sesekali memanahkan petir kekecewaan, air mata tumpah bagai lelehan lahar gunung berapi, sedih bercampur dendam. Begitulah hakikat orang yang bercinta. Tak akan mahu diduakan oleh sesiapa. Hidup mati biar bersama. Sebagai hamba Allah, pernahkah kita bertafakur tentang konsep cinta dan cemburu ini dalam konteks pengabdian diri kepada Allah SWT. Adakah Allah cemburu dan relakah Ia diduakan dan mempunyai sekutu? Seorang hamba yang dekat dengan Tuhan amat teliti dalam menjaga perhubungan hatinya. Dia hanya mahu memenuhi hatinya dengan kehadiran Allah SWT. Muraqabatullah seperti inilah yang ditunjukkan oleh Rabiah al-Adawiyah ketika beliau berkata: ”Sungguh aku jadikan Engkau Rabbku dalam hatiku, sedangkan tubuhku aku biarkan duduk dengan sesiapa saja.”

Jiwa dan raga adalah milik-Nya. Pesona kebesaran Allah amat mempengaruhi gerak hati dan tubuh seseorang sepertimana dinyatakan dalam hadis qudsi: ”Jika aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya, untuknya ia mendengar dan Aku menjadi pandangannya untuk melihat dan Aku menjadi tangannya untuk memegang dan Aku menjadi kakinya untuk berjalan, maka apa-apa yang dia minta kepada-Ku nescaya Aku kabulkan permintaannya dan jika dia minta perlindungan dari-Ku, maka Aku pasti akan lindungi dia.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Bukan sebarang orang akan dapat keutamaan yang amat istimewa seperti itu. Kemurnian cintanya kepada Allah saja yang dapat menaikkan dirinya pada kedudukan yang amat mulia di sisi Allah. Konsep ikhlas mencintai Allah telah lama menjadi prioriti dalam amalan para sahabat Rasulullah SAW. Pernah suatu ketika Umar RA bertanya kepada Muaz bin Jabal RA: ”Mengapa engkau menangis wahai Muaz? Lalu beliaupun menjawab: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Sedikit saja riya’ itu adalah syirik.” Demikian juga ketika Saad bin Abi Waqqash RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: ”Sesungguhnya Allah cintakan hamba-Nya yang takwa dan menyembunyikan dirinya (amalnya).” (Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi dalam Syarah Hadis Arba’in ada menerangkan tentang makna ikhlas iaitu, gerakan hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredaan Allah SWT dan menyatakan tunduk patuh hanya kepada perintah-Nya. Begitu halusnya setiap amal akan dinilai di hadapan Allah. Barangsiapa yang masih memiliki niat lain dalam ibadatnya selain daripada Allah maka amalnya itu akan diganjari menurut niatnya dengan seadil-adilnya. Amalan ikhlas mempunyai peringkat-peringkat yang berlainan kedudukannya sesuai dengan keadaan seseorang iaitu:

Yang pertama ikhlas peringkat permulaan iaitu manakala seseorang berusaha membersihkan amalnya dari perasaan riya’ dan kepentingan diri peribadi. Ia beramal dengan tujuan keredaan Allah dan bermatlamat mendapatkan ganjaran yang dijanjikan-Nya serta terhindar dari azab-Nya. Hamba Allah ini begitu teliti dalam setiap amalannya, doa yang diajarkan oleh Rasulullah menjadi kekuatan amalannya, doa itu adalah: ”Ya Allah sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu dari berbuat syirik dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun kepada-Mu dari perbuatan syirik yang tidak kami ketahui.” Menurut Rasulullah SAW, barangsiapa yang mengamalkan doa ini maka Allah akan membersihkan amalannya daripada syirik dan riya’.

Peringkat ikhlas yang kedua ialah ikhlas orang-orang yang tinggi kecintaannya kepada Allah. Mereka beramal bukan kerana pahala semata-mata, bahkan bertujuan membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya. Dalamnya makrifat kepada Allah membuat hamba-hamba ini tidak peduli dengan perhitungan pahala dan ancaman siksa kerana bagi mereka ketajaman mata hati melihat kebesaran Allah dan perasaan khusyuk dan tunduk pada kebesarannya adalah lebih penting dari syurga dan neraka. Seperti seorang kekasih yang reda menerima apa saja yang diberikan kekasihnya kerana cintanya begitu murni tanpa sebarang kepentingan. Keikhlasan hamba-hamba Allah ini tak pernah surut walaupun ujian daripada-Nya sentiasa datang, ibadat mereka tetap berterusan tidak berkurangan disebabkan ujian Allah. Kerana mereka tidak mengharapkan keuntungan semata-mata dari ibadat mereka itu, hanya keredaan Allah dan cinta-Nya yang menjadi kekuatan.

Yang terakhir adalah jika kita telah sampai pada peringkat ikhlas yang tertinggi iaitu bersandar pada kalimat ’La hawla Wala Quwwata Illa Billah’ ”Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.” Ibadat yang dilakukan adalah gerakan daripada kuasa Allah, bukan kuasa peribadi, Allahlah yang menggerakkanku ketika solat, berdoa, puasa dan sedekah. Kerana pertolongan Allah saja yang membuat aku berada pada rahmat-Nya. Kerana Dia berkehendak menolong dan memberi hidayah kepadaku maka aku menjadi hamba pilihan-Nya. Tidak ada perasaan sombong sedikitpun dengan amalan yang dikerjakan kerana kita tahu semua itu adalah kerana gerakan dari Allah semata-mata. Sesuai dengan firman-Nya: ”Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan Rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorangpun antara kamu menjadi bersih selama-lamanya, akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur: ayat 21)

Maka sudah sepatutnya kita bersyukur dengan iman yang ada, rasa syukur inilah yang menjadi penggerak dalam ibadat kita. Demikianlah yang diajarkan Rasulullah SAW ketika Aisyah bertanya tentang ibadat baginda yang menyebabkan kebengkakan pada kaki Rasulullah SAW ketika solat malam, Rasulullah menjawab: ”Tidak bolehkah aku bersyukur pada Tuhanku?”

Walaupun baginda pasti dijamin masuk syurga dan dialah kekasih Allah. Bagaimana dengan kita yang tiada jaminanpun mendapat kemuliaan daripada-Nya?


Wallahua'lam Bissawab





SIAPAKAH YANG BERHAK MENDAPAT PERLINDUNGAN ALLAH?





Ketika seorang suami terpaksa meninggalkan anak dan isterinya untuk mencari nafkah selama berhari-hari, atau berbulan-bulan, hati sang suami sudah tentu terasa susah meninggalkan orang-orang yang disayang. Rindu bakal mencengkam perasaan dan bayangan negatif silih berganti datang. Siapakah yang akan menjaga anak-anak dan isteri tercinta? Bagaimana jika anak-anak sakit, musibah datang, kecelakaan terjadi tanpa disedari, rumah kena rompak dan pelbagai ujian yang menakutkan? Sebagai seorang isteri, perasaan risau dan takut lebih ketara, apabila suami bermusafir. Dia sentiasa berdoa semoga suaminya selamat, dijauhkan dari musibah, mendapat harta yang berkat, mudah segala urusan dan kembali ke pangkuannya dengan penuh cinta dan keredaan.

Siapakah yang dapat menjamin anak yang kita sayang akan pulang dengan selamat, masih memakai baju sekolahnya dengan lengkap, tersenyum memeluk kita dengan kehangatan cintanya? Kita sering mendengar kisah duka hamba-hamba Allah yang terpaksa akur dengan takdir-Nya melihat anak telah menjadi mayat, tiada lagi senyuman, tiada pelukan manja, dengan luka-luka di sekujur tubuhnya yang tak akan mampu hati seorang ibu menanggung derita seperti ini sepanjang hayatnya. Bersyukurlah kerana kita masih diberi perlindungan oleh Allah SWT. Setiap ujian yang melanda adalah bukti kecintaan-Nya pada seorang hamba.

Musibah telah membuka mata hati kita bahawa kekuasaan adalah milik Allah SWT. Hanya Dialah yang mengatur dan memilih untuk kita hidup. Tiada berfaedah segala kekuasaan dan kekuatan yang ada pada kita, harta benda dan penolong-penolong yang setia kecuali semuanya tunduk di bawah kekuatan Yang Maha Kuasa. Begitulah yang terjadi pada diri Firaun laknatullah, ketika hampir tenggelam di lautan. Ftrahnya menjerit meminta tolong kepada Tuhan, mengakui betapa lemahnya dia, tidak berdaya menyelamatkan dirinya. Maka diapun sedar bahawa tidak berguna segala-gala yang dimilikinya kecuali hanya Allah SWT sebagai penyelamat, pelindung dan penolong manusia yang kerdil dan hina.

Suatu hari ketika kita berada di dalam kapalterbang yang membawa kita ke suatu destinasi. Kita berasa optimis akan sampai tepat pada masanya dengan tujuan yang betul dan segala perancangan yang telah diatur. Sepanjang perjalanan tiada apapun yang merisaukan kita kerana kecanggihan kapalterbang yang dinaiki telah terbukti selamat. Tetapi tiba-tiba cuaca berubah menjadi mendung! Gelapnya awan membuat kita ngeri dan kilat yang menyambar dengan kuat menggegarkan kabin kapalterbang. Goncangan yang kuat dapat kita rasa. Kedua-dua tangan memegang dengan kuat, cuba menahan goncangan itu. Detakan jantung rasa berhenti menahan ngilu bersama turun naiknya kabin yang terasa dihayun-hayun. Satu gegaran yang paling dahsyat menjunamkan terus kapalterbang ke paras bawah. Tangan kita masih bergantung pada kerusi tetapi hati kita bergantung pada Allah SWT. Lidah yang kelu takut menyebut Asma’-Nya yang paling mulia, Ya Allah, ya Allah, ya Allah selamatkanlah aku! Kala itu bayangan dosa silih berganti datang, mata menangis, hati terhiris mengenangkan diri yang belum bertaubat, belum banyak beramal. Kematian seolah-olah dekat pada kita, kuasa Allah begitu terasa.

Tetapi ketika Allah SWT telah menyelamatkan kita, siapakah yang kita ingat? Ketika Allah tolong, siapakah yang kita sebut namanya? Ketika Allah jauhkan dari malapetaka, siapakah yang berbudi? Surah Ar-Rahman mengingatkan kita, yang maksudnya: ”Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?”

Dalam sujud dan rukuk kita kepada Allah SWT, siapakah yang diingati? Dunia, harta, wanita, anak-anak atau perniagaan yang merisaukan? Mengapa manusia hanya ingat kepada Tuhannya ketika susah sahaja. Manakala kesenangan yang mendampingi selalunya membuat dia lupakan Allah. Mengapa manusia cepat berubah hati kepada Allah? Sekejap dia minta tolong, kemudian jika selamat sejahtera, dia buat-buat tak kenal saja. Tetapi Allah Yang Maha Penyayang akan sentiasa mengampuni dan menyayangi hamba-Nya yang lalai, walau apapun yang kita lakukan, Allah SWT tetap menerima taubat kita. Sabda Rasulullah SAW, yang maksudnya: ”Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira menerima taubat hamba-Nya, melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan kembali unta (kenderaannya) dan barangnya yang hilang di padang pasir yang luas.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai hamba yang bertaubat dari kelalaian, tidakkah kita mahukan perlindungan Allah SWT yang berkekalan? Perlindungan bukan hanya dari musibah dan bala saja, tetapi perlindungan dari berbuat maksiat kepada-Nya. Sebuah hadis Nabi SAW mengajarkan kita bagaimana untuk mendapatkan keselamatan dan penjagaan Allah daripada malapetaka dan bahaya.

”Ibnu Abbas berkata, pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Wahai anak kecil, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimah, iaitu; Jagalah Allah maka Dia akan menjaga kamu. Jagalah Allah maka kamu akan menemui-Nya berada di hadapan kamu. Apabila kamu meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan Allah. Ketahuilah apabila seluruh makhluk berkumpul untuk memberi manfaat sesuatu kepada kamu, maka mereka tidak akan dapat memberikan manfaat kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Barangsiapa yang inginkan keselamatan dan keamanan, jagalah Allah. Ingatlah kepada-Nya di kala senang dan susah, nanti Allah akan menjaga dan memelihara kita!

 Wallahua'lam Bisawab