Khamis, 19 November 2009

Doa Sebagai Jambatan Hamba Kepada Tuhannya





Tragedi Nabi Adam AS dan Hawwa dikeluarkan dari istana syurga mengajar kita untuk memandang sejarah itu dengan perspektif reda kepada Allah SWT. Hikmah yang lain daripada peristiwa ini ialah kebijaksanaan manusia yang mampu mengatasi malaikat dan syaitan akhirnya tersungkur juga akibat nafsu yang kadang-kadang boleh mengatasi kehebatan akal. Akhirnya dengan kehendak Allah SWT, kehidupan di dunia diwujudkan, taubat Adam AS diterima dan masanya untuk zuriat manusia diuji adakah benar imannya kepada Allah pun bermula.

Sesungguhnya yang menjadi penyelamat Adam AS adalah permohonan taubatnya kepada Allah SWT. Allah SWT menceritakannya: “Kemudian Adam menerima beberapa kalimah (ajaran kata-kata untuk bertaubat). Maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 37)

Adam AS mengajar kepada kita bagaimana hendak menjadi manusia yang mulia. Bukankah semasa Allah menciptakannya, seluruh makhluk diperintah untuk sujud kepadanya. Tetapi pengaruh syaitan dan nafsu syahwat boleh menukar jenis makhluk yang bernama manusia menjadi makhluk yang lain.

Memetik dari Kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali Rahimahullah mengkaji empat sifat yang merosakkan sifat kemanusiaan seorang manusia iaitu:
Yang pertama, sifat Subu’iyah atau kebuasan. Ciri-cirinya adalah seperti suka marah, busuk hati, suka menyerang, memukul, memaki dan membinasakan harta benda.
Naik ke peringkat kedua iaitu sifat Bahimiyah atau kebinatangan. Gelojoh dan tamak seperti anjing, suka benda-benda yang kotor seperti harta yang haram, zina dan liwat.
Bertambah teruk keadaan mereka jika masuk ke peringkat ketiga iaitu sifat syaitaniyah iaitu layaknya umpama syaitan dengan ciri-cirinya seperti dengki, penipu, memutar belit, menyuruh yang munkar dan melarang kebaikan.
Dan kemuncaknya sifat terakhir iaitu apabila ketiga-tiga sifat itu berkumpul maka naiklah kejahatan manusia itu sampai ke peringkat Sifat Rububiyah, ketuhanan iaitu sifat Tuhan ingin dirampas menjadi miliknya. Sifat bangga diri, sombong, mahukan puji dan pujaan orang, sukakan kemuliaan dan kedudukan tinggi. Akhirnya ia mengatakan akulah Tuhan, bukan manusia, aku tak sudi mentaati dan mematuhi kerana aku berkuasa. Tak ada sesuatu yang setanding diriku.

Begitulah kejahatan terbesar anak-anak Adam apabila mereka telah melupakan Allah dan hidup di kubang lumpur dosa yang kotor dan menjijikkan.

Belajar dari kekhilafan ayahanda manusia iaitu Nabi Adam AS kepada Allah SWT, setelah khilaf beliau bertaubat seraya berdoa tanpa mengenal erti putus asa dari rahmat-Nya. Iinilah ibadat paling agung yang pertama kali diajarkan oleh Allah SWT kepadanya, iaitu berdoa. Apakah sebenarnya fungsi doa itu bagi kita?

Yang pertama, doa adalah tali Allah SWT. Doa juga adalah sebagai pengikat kita dengan Allah. Sebagai hamba yang kekal bersifat lemah, manusia perlu sentiasa berhubungan dengan Allah yang Maha Perkasa. Lafaz doa mengandungi makna pengharapan dan kebergantungan kepada Allahus-Somad (Allah Sebagai Tempat Bergantung). Mengakui kelemahan diri dan keperluan kepada pertolongan dan perlindungan Allah. Apabila seseorang manusia merasa tidak perlu kepada doa, dia sebenarnya terlalu angkuh dan sombong dengan jaminan dirinya sendiri. Ia telah memutuskan tali Allah yang mengikatnya sehingga dia terdedah kepada kebinasaan akibat dosa-dosanya melupakan Allah. Seorang seorang Muslim, dia hendaklah sentiasa membiasakan dirinya menyebut nama Allah pada setiap perbuatannya. Seawal bangun dari tidurnya, mandi, memakai pakaian, berwuduk, sembahyang, makan, minum, keluar masuk rumah, bekerja, belajar, bermuamalat sesama manusia, hatta suami yang menggauli isteri, semua itu hendaklah diiringi dengan doa supaya perbuatan itu selari dengan perintah dan suruhan Allah SWT. Sungguh indah perhubungan antara hamba dengan Tuhannya itu. Dia begitu hampir dan tidak pernah bercerai kerana penghubungnya adalah doa yang penuh keyakinan bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Fungsi doa yang kedua ialah: Cita-cita dan impian yang ingin dimiliki diusahakan dengan berikhtiar sesuai dengan permintaannya kepada Allah SWT. Orang yang meminta syurga mestilah diiringi dengan kesungguhannya beramal salih. Orang yang meminta keberkatan rezeki hendaklah bersungguh-sungguh bekerja untuk mendapatkannya. Manakala bila dia meminta dihindari dari kejahatan diri sendiri maka dia hendaklah berusaha untuk tidak berbuat dosa dan maksiat. Doa dan ikhtiar adalah saling lengkap melengkapi. Sebagaimana firman Allah SWT: ”Sesungguhnya Allah tidak akan merubah suatu kaum kecuali mereka merubah diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’du Ayat 11).

Hakikatnya iman itu bukanlah angan-angan. Ia perlu dibuktikan dengan kesungguhan atau jihad dalam beramal salih.

Fungsi doa yang ketiga ialah sebagai pengubat hati. Saat diri dihina, tidak dipedulikan, diceraikan kekasih dan dibuang oleh pujaaan hati, perasaan yang hadir adalah rasa putus asa dan sirna segala cahaya kehidupan tanpa masa depan. Jika berlaku ujian dan cubaan melanda iman seperti kekurangan harta, kehilangan jiwa, kecacatan, kesakitan, bencana alam dan kegagalan setiap perjuangan, kepada siapakah manusia harus mengadu, merintih dan bersandar? Setiap pengharapan akan datangnya cahaya, kepada siapa hendak dipohonkan? Keyakinan dan kekuatan untuk meneruskan hidup, dari manakah penjana kuasanya? Hanya kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Rahmat-Nya meliputi alam semesta, Dia tidak menguji makhluk-Nya kecuali mereka yang sanggup memikulnya. Setiap kesusahan ada kemudahan. Dengan untaian doa penuh keikhlasan dan tangisan yang meruntuhkan tembok kesombongan, manusia kembali kepada Allah menadah tangan, mengakui kelemahan, mengharap pertolongan, perlindungan dan keselamatan dunia akhirat. Maka datanglah keyakinan pasti Allah mengabulkan sudah cukup sebagai penawar bagi jiwa yang kekeringan.

Doa adalah kekuatan bagi setiap muslim, tetapi jika ia tidak difungsikan dengan cara yang betul maka kekuatan itu akan hilang, yang tinggal hanya lafaz-lafaz kosong tanpa makna dan tujuan. Kembalikanlah fungsi doa agar kita sentiasa mendapat jawapan yang pasti dari Ilahi.



Wallahua'lam Bissawab






Berlindung Kepada Allah Dari Kekufuran Yang Berulang



Orang yang paling bahagia hidupnya ialah mereka yang diselamatkan oleh Allah SWT daripada kejahatan diri mereka sendiri. Allah SWT mengangkatnya dengan kemuliaan hidayah dan hidup di bawah naungan keredaan-Nya. Tanpa ada perasaan tersisih dari rahmat-Nya kerana pernah berbuat dosa. Bukankah Allah SWT sentiasa menunggu kepulangan kita dengan taubat? Pulang kepada Yang Maha Pengampun dan Penyayang lagi Mengasihani hamba-hamba yang pernah tenggelam dalam kubangan lumpur yang kotor dan nista. Kalam Ilahi sentiasa memujuk: “Janganlah kamu berputus asa dari Rahmat-Ku.” ( Surah al-Zumar: Ayat 53)

Lalu kita bangkit meredah belukar tajam yang pedihnya sampai ke dasar hati demi meninggalkan segala tipudaya syahwat dan keghairahan nafsu. Kita memilih untuk menelan kepahitan kerana janji kemanisan yang ditawarkan oleh Allah SWT. Alangkah hebatnya kuasa iman jika ia hidup pada diri setiap insan. Kepahitan bertukar menjadi manisan, kesusahan beralih menjadi kesenangan dan kemurungan hati berganti gembira. Semuanya kerana kita memilih jalan Allah untuk dilalui. Kerana tangisan pada jalan Allah SWT bermakna kegembiraan yang terlalu hebat. Sebaliknya tangisan di jalan kekufuran adalah kehancuran yang menjunamkan diri ke jurang kehancuran.

Bagi mereka yang telah bertaubat dan bahagia hidupnya dengan iman yang sentiasa menyala, ada beberapa tips untuk memastikan kekufuran tidak akan berulang dalam hidup mereka.

Berdoa kepada Allah agar dimudahkan segala ujian keimanan.
Daripada Asma’ binti Abu Bakar al-Siddiq RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: ”Ketika aku sedang berdiri di tepi telagaku (al-Kauthar pada hari kiamat nanti) sambil menunggu orang-orang yang datang meminum daripadanya, maka tiba-tiba ada orang-orang yang dihalang daripada sampai ke sisiku (ke tepi telagaku). Lalu aku berkata: ”Bukankah mereka itu dahulunya dari kalangan umatku? Maka dikatakan kepadaku: ”Ya benar, tetapi engkau tidak mengetahui bahawa mereka setelah itu kembali ke belakang (berpaling tadah meninggalkan ajaranmu).” Berkata Ibnu Abu Mulaikah (salah seorang daripada perawi hadis): ”Ya Allah kami berlindung dengan-Mu daripada kembali kepada kekufuran atau kami diuji dengan ujian yang berat.” (Riwayat al-Bukhari)

Cucuran air mata penyesalan pada setiap doa yang dilafazkan begitu menusuk ke jiwa orang yang beriman apatah lagi dengan ingatan pada diari kekufuran yang tertulis di sepanjang lembar kehidupannya. Siapakah yang merasa terjamin imannya akan selamat sampai dia menjumpai keredaan Allah SWT pada penghujung hidupnya? Tiada siapapun mengetahui adakah langkah-langkahnya menuju pintu syurga itu akan terhenti lalu berpaling ke lubuk neraka. Berlindunglah kita kepada Allah dari Suul Khatimah.

Waspada dengan tipudaya syaitan.
Musuh yang paling berbahaya, syaitan boleh berada di dalam tubuh manusia. Bahkan ia bergerak bersama aliran darah orang yang dapat dikuasainya. Pujuk rayunya begitu halus bahkan ia seolah-olah boleh menjadi kawan yang amat rapat (Qarin) dan memahami jiwa orang yang dirasuknya. Pendekatan tipudaya syaitan adalah pelbagai bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang alim melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dirasuk dengan amalnya. Orang kaya dirosakkan dengan hartanya, pemimpin dengan egonya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran kerana kesusahan yang ditanggungnya. Hanya orang beriman yang dilindungi Allah SWT sahaja yang dapat mematahkan tipu daya syaitan.

Aisyah RA berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah keluar dari rumah Aisyah pada suatu malam, lalu aku merasa cemburu terhadapnya. Apabila beliau kembali dan melihat apa yang aku lakukan, beliau berkata kepadaku: ”Wahai Aisyah apakah engkau cemburukan aku? Jawabku: Bagaimanakah orang seperti aku ini tidak merasa cemburu terhadap orang sepertimu?  Kemudian Beliau berkata pula: Kenapa sampai begitu? Apakah syaitanmu telah merasukmu? Aku lalu bertanya: Wahai Rasulullah, apakah aku memiliki syaitan? Jawab Beliau: Benar! Aku bertanya lagi: Apakah syaitan itu ada pada semua manusia? Jawab Beliau: Benar. Aku bertanya lagi: Dan Engkau juga ada syaitan? Jawab Beliau: Benar, akan tetapi Tuhanku menolongku terhadap syaitan itu hingga akhirnya ia menyerah kalah.” (Riwayat Muslim)

Hadis di atas menerangkan kepada kita bahawa setinggi manapun ilmu kita dan sebanyak manapun amalan yang dilakukan tidak menjamin kita selamat daripada tipudaya syaitan. Sedangkan isteri Rasulullah SAW pernah merasakan tipudaya syaitan ini hingga Rasulullah SAW menegurnya supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan serangan syaitan laknatullah. Kemampuan mengawal kehendak syaitan dalam diri kita dan mengusirnya menuntut perjuangan yang panjang dan berterusan. Jangan berlengah sedikitpun dengan melepaskan diri kita jatuh ke dalam gelanggang perlawanan syaitan tanpa iman yang mantap sebagai senjata pertahanan diri.

Iman, ilmu dan amal salih benteng pertahanan diri.
Bantulah diri anda untuk istiqamah di jalan Allah dengan tiga kekuatan yang saling berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Iman mesti diperoleh dengan ilmu yang benar dan ilmu mesti disemai dengan amal salih sebagai hasilnya. Iman sifatnya relatif, naik dan turun mengikut keadaan semasa. Jika anda merasa kekurangan semangat iman, cuba ingatkan diri anda berapa lama anda tidak aktif mengkaji dan menghayati ilmu Allah? Tiada dorongan dan kesedaran menuntut ilmu menyebabkan anda semakin malas untuk beramal salih dan akhirnya kekerasan hati semakin menjadi dengan palitan-palitan nafsu yang dituruti kemahuannya. Akhirnya terjerumuslah anda dalam kealpaan seperti seseorang yang sedang menaiki anak tangga yang tinggi untuk mendapatkan keredaan Tuhannya, tiba-tiba kerana satu kesilapan ia jatuh terperosok kembali ke anak tangga yang paling bawah.

Imam al-Ghazali di dalam Bidayatul Hidayah merumuskan empat aktiviti yang mesti dilakukan oleh orang yang di hatinya tersimpan iman yang mendalam;
Pertama menuntut ilmu, kedua beribadat, ketiga menolong untuk kemaslahatan kaum muslimin dan terakhir bekerja mencari nafkah untuk keluarga.

Jika waktu kita dipenuhi dengan aktiviti seperti di atas insya Allah tiada ruang untuk kembali kepada kekufuran kerana keyakinan kepada janji Allah iaitu kejayaan di dunia dan akhirat, seperti yang tertulis di dalam firman-Nya: ”Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih bahawa Dia bersungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang kafir sesudah (perjanjian) itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” ( Surah al-Nur: Ayat 55)


Wallahua'lam Bissawab






Setiap Satu Detik Amat Berharga







Duduk dua jam di depan televisyen tidak terasa jika dibandingkan duduk sebentar membaca dua muka surat al-Quran! Ya! Bukan main berat rasanya hendak menghabiskan ayat-ayat al-Quran yang tersekat-sekat di lidah. Jika tiba waktu sembahyang, tiba-tiba datang pula rancangan televisyan yang diminati. Alangkah beratnya percaturan untuk memilih. Pembaziran masa sering terjadi pada semua peringkat usia dan latar belakang pekerjaan, dari suri rumah, kanak-kanak dan remaja, para pekerja sampai ke peringkat warga tua. Pernahkah anda merasa bosan pada suatu hari? Semua tugas dan tanggungjawab di pejabat tidak selesai dan terpaksa ditunda esok dan esok entah sampai bila. Ada pula seorang suri rumah yang suka memanjakan diri, duduk berjam-jam membelek-belek majalah yang telah berkali-kali dibaca, shopping tanpa ada keperluan yang benar-benar penting, bersembang dengan kawan sampai terlebih masa, akhirnya kerja-kerja mengurus rumahtangga tak dapat diselesaikan apatah lagi hendak mendidik anak-anak. Sementara ada juga di kalangan warga tua yang apabila bersara terus berehat sepanjang masa, makan dan tidur tidak dapat dikawal lagi, ditambah dengan gejala kemurungan kerana rindu mengenangkan anak-anak yang jauh akhirnya datang penyakit tiba-tiba. Begitulah kehidupan manusia. Masing-masing memilih di antara dua kenyataan, hidup dengan cara yang positif atau sebaliknya.

Menurut teori psikologis Dr. Norman Vincent Peale, pakar pemikiran positif yang terkenal berpendapat, “Tugas utama manusia bukanlah menanggung kehidupan tetapi menguasai kehidupan.” Ada persamaan orientasi pemikiran antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas’ud, apabila beliau berkata: “Belum pernah aku menyesal, melainkan penyesalanku ketika matahari terbenam, semakin singkat umurku sedangkan amalanku tidak bertambah.” Peribadi seperti ini tidak akan menyerah dengan kehidupan yang dijalani bahkan ia berusaha untuk menguasai kehidupan dengan bersemangat. Orang beriman sentiasa prihatin dengan masa yang berlalu tanpa kerja yang berfaedah untuk dunia dan akhiratnya. Kerana mereka sedar bahawa dunia ini tempat untuk berjuang, di sini kita menanam esok di akhirat tinggal menuai. Satu detik yang dihabiskan untuk membaca Subhanallah cukup untuk memberatkan timbangan amal salih di akhirat. Dan mungkin kerana satu detik saja yang digunakan untuk maksiat akan menjadi penyesalan ke atas timbangan hisab nanti. Sepertimana keadaan orang-orang yang rugi dalam firman Allah SWT: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari neraka) supaya kami dapat beramal salih, bukan seperti apa yang kami amalkan dahulu.” (Surah Fathir Ayat 37)

Pembahagian masa yang efektif dan kesungguhan anda mematuhinya menjadi faktor yang amat penting memperoleh kejayaan dunia dan akhirat. Seorang mukmin yang hidup pada zaman moden ini terpaksa bersaing dengan manusia-manusia hamba wang yang mempunyai prinsip ‘time is money’. Alangkah ironisnya jika kemenangan dan kemajuan seringkali berpihak kepada orang-orang kafir sementara kaum muslimin masih dibuai mimpi yang panjang. Kurangnya motivasi tentang budaya ilmu dan menguruskan masa menjadi penyumbang kelemahan umat.  Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya “al-Waqt fi hayal al-muslim” (Detik-detik Masa Dalam Kehidupan Seorang Muslim) menyatakan keprihatinannya tentang budaya kerja di negeri Mesir dibandingkan dengan rakyat Eropah. Beliau mengungkapkan satu kajian yang dibuat bahawa orang Eropah bekerja tidak kurang 7 jam, bahkan lebih setiap hari sedangkan rakyat Mesir bekerja tidak melebihi 30 minit sehari. Mengapa umat Islam rela terhina dengan kemalasan dan terlena dengan mimpi panjang yang melemahkan akal, ketika orang-orang kafir menguasai daratan dan lautan bahkan sampai menembus cakerawala.

Hendaklah setiap mukmin itu mengisi masanya dengan tiga aktiviti sebagai berikut:
Merancang Kerja
Setiap hari yang dilalui seorang mukmin adalah simpanan baginya. Kerana waktu sesaat akan menjadi penyumbang pada ‘buku laporan kerja’ yang berada di bawah pemegang kuasa dua malaikat, Raqib dan ‘Atid. Segala kerja baik akan direkodkan dan tidak terkecuali dengan kerja kejahatan pasti akan direkodkan. Kerja baik merupakan ibadat jika diniatkan kerana mengharap reda Allah SWT. Tugas memakmurkan bumi adalah ibadat yang menjanjikan imbalan. Seorang mukmin sejati tidak boleh duduk diam melihat kemiskinan dan kebodohan melanda umat, kerana dia dilahirkan untuk menjadi khalifatullah fil Ardh. Bahkan al-Quran mengajar kita untuk merancang masa depan dan bersungguh-sungguh bekerja agar dapat dilihat hasilnya di akhirat nanti sebagai amal salih yang dibanggakan oleh Allah, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Firman Allah SWT: ”Dan katakanlah, bekerjalah kamu nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan menyaksikan pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata lalu diberitakannya kepada kamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)  

Kerja yang dilakukan hendaklah memberi manfaat kepada dunia dan akhirat seseorang. Kerana sebenarnya kita bekerja untuk Allah SWT. Hidup ini adalah untuk memastikan eksistensi diri kita berada pada tahap paling mulia, berjaya dan diredai Allah SWT. Tentu saja semua itu dimiliki bukan dengan cara duduk berangan yang tak sudah-sudah.

Mengurus Diri
Mukmin yang amanah terhadap masa cekap menguruskan dirinya. Jika kita hendak merancang masa dengan efektif maka kebijaksanaan mengenal diri dan mengawalnya adalah kunci kejayaan bagi perancangan yang dibuat. Kenali diri anda dan cuba terokai nilai-nilai positif yang ada padanya dan serlahkanlah ia untuk kemajuan anda. Demikian juga dengan nilai-nilai negatif agar anda boleh mengawalnya dengan baik. Ilmu mengenal potensi diri mengajar kita sentiasa bermuhasabah terhadap apa yang baik dan buruk yang ada pada diri kita untuk menjamin kejayaan. Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam Ihya’ ‘Ulumuddin mengajar kita mengawal tujuh anggota badan yang zahir iaitu; mata, telinga, mulut, tangan, kaki, perut dan kemaluan agar mereka tunduk kepada nilai-nilai yang positif. Begitu juga perhatian beliau kepada pentingnya membersihkan hati yang merupakan anggota badan yang esensial dan maha hebat pengaruhnya kepada keperibadian seseorang. Pada diri Rasulullah SAW berkumpulnya nilai-nilai teladan terbaik, seorang manusia unggul yang mencerminkan kesempurnaan kerana baginda diasuh secara langsung oleh Rabbnya. Sebagai mukmin kita diwajibkan mengambil pengajaran daripada sahsiah baginda SAW untuk diamalkan dalam kehidupan kita.

Memberi Manfaat Kepada Orang Lain
Hidup kita akan menjadi lebih bererti jika perbuatan yang dilakukan memberi kebahagiaan kepada orang lain. Disebabkan seorang surirumah yang bertanggung jawab, berhati mulia, penuh cinta dan kasih sayang kepada suami dan anak-anaknya, maka kehadiran dirinya begitu penting untuk memastikan kebahagiaan dan keselamatan keluarga itu berpanjangan. Disebabkan keikhlasan dan dedikasi seorang guru, maka masa depan generasi umat ini menjadi begitu cemerlang. Kerana anda pekerja yang amanah, bangsa dan negara ini begitu bergantung kepada pertolongan anda bagi menjayakannya. Biarlah hidup ini berjalan dengan potensi setiap orang yang dicurahkan untuk kesejahteraan bersama. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang mengalami kesulitan, maka Allah akan memudahkan urusannya baik di dunia maupun di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, Allah pasti akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama ia menolong saudaranya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seorang yang membuat perancangan masa adakalanya berputus asa apabila terlepas daripada menepati apa-apa yang sudah dirancang. Jangan bersikap pesimis jika kita gagal, cepatlah kembali bangkit sambil beristighfar dan berusaha bersungguh-sungguh membayar kecuaian dengan kerja yang berfaedah. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari suatu urusan) kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh urusan yang lain. Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaklah kamu berharap.” (Surah al-Insyirah Ayat 6,7 dan 8)

 Wallahua'lam Bissawab






Penggerak Masjid Berhak Mendapat Anugerah Naungan Allah SWT







Masjid yang berdiri megah dengan segala kemudahan lengkap serba moden menjadi kebanggaan umat Islam. Suasana yang asyik dan tenang menggamit seribu satu kedamaian di jiwa para abid yang ikhlas. Tetapi apakah kekuatan jiwa dari dalam masjid itu mampu menghantar kuasanya sampai ke luar kawasan liputan? Bolehkah syiarnya menembusi setiap rumah muslimin bagi mendatangkan kerinduan mereka kepada Rabbul ‘Alamin? Padahal tarikan duniawi begitu hebat memancing perasaan setiap penghuni rumah untuk menikmati kelalaian yang ditawarkan. Benarkah tawaran masjid tidak popular seperti akademi fantasia? Tidak pernahkah kita berfikir untuk membikin rancangan syiar masjid yang tak kalah menariknya? Ramai menyalahkan para penggerak masjid yang tidak kreatif terhadap isu-isu semasa. Masalah moraliti umat yang kian meruncing, generasi Islam yang terbabit jenayah, isu pendidikan dan institusi keluarga, bahkan perekonomian umat terasa tidak tersentuh oleh kekuatan syiar masjid. Sekali lagi jangan mudah menyalahkan orang lain jika diri kitapun tak mampu memberikan apa-apa komitmen untuk keberkesanan program masjid.

Mereka yang menggerakkan masjid ini adalah sebaik-baik hamba Allah yang telah memperjuangkan agama-Nya setakat yang mampu. Rasulullah SAW bersabda: ”Tujuh golongan manusia yang Allah menaungi mereka pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya, ... (salah satunya) Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Alangkah beruntungnya mereka dengan janji Allah SWT itu. Pada hari akhirat akan terbukti segala kerja dan usaha demi menjana kekuatan masjid yang boleh menghantar kehangatan syiar Islam ke setiap penjuru bumi Allah ini. Ada beberapa kekuatan yang diperlukan oleh para penggerak masjid untuk mendapatkan gelaran terhormat di sisi Allah SWT. Bahkan ia adalah bagi sesiapa sahaja yang memperjuangkan syiar Islam di sektor mana saja mereka berperanan. Mempersiapkan kekuatan ini adalah tuntutan yang diserukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Kekuatan berkenaan ialah;

  1. Kekuatan kepimpinan dalam diri. Jiwa Imam dan para penggerak Masjid tidak boleh dibatasi pada ruang gerak sembahyang sahaja. Mereka hendaklah menyerlah hingga menjadi tokoh yang disegani dan memiliki keperibadian yang penuh karisma lagi berwibawa. Mereka hendaklah sentiasa peka dengan permasalahan umat dan mempunyai kekuatan daya tarik dalam dakwahnya. Mampu mengatur dan merancang strategi dakwah yang jitu dan yang paling penting memiliki akhlak terpuji bukan hanya pada dirinya tetapi juga pada keluarga yang menjadi teladan umat. Firman Allah SWT: ”Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyeri hati kami. Dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” ( Surah al-Furqan Ayat 74)

Semua kekuatan itu hendaknya ada pada diri setiap muslim. Jangan meletakkannya di bahu para Imam sahaja. Tidak semestinya gelaran Imam menjadi syarat untuk kita menggerakkan masjid yang kita cintai. Jika para makmum turut memiliki sifat kepemimpinan yang kental, alangkah bertuahnya agama ini yang memiliki umat yang berkualiti.

  1. Kekuatan ilmu. Para penggerak masjid yang ikhlas sentiasa melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu. Tafsir al-Quran, Hadis, Fiqah, Akhlak dan Sirah Rasulullah SAW adalah bacaan asas yang penting untuk membentuk pemikiran Islam yang sempurna. Manakala kemahiran berorganisasi, penulisan dan pengucapan awam, pengurusan dakwah bahkan kemahiran teknologi maklumat terkini adalah amat dituntut untuk memastikan gerakan syiar masjid yang lebih progresif. Banyak persediaan yang mesti dibekalkan kepada para Imam dan penggerak masjid kerana keadaan semasa amatlah mencabar keilmuwan dan kepakaran mereka bagi menghadapi pelbagai masalah umat. Tentu saja ilmu tersebut tidak menyumbang kepada keangkuhan peribadi dan merasa lebih hebat daripada orang lain kerana ilmu yang mengisi hati orang yang beriman menjadikan mereka lebih takut kepada Allah dan tawaduk kepada sesama manusia. Firman Allah SWT: ”Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Faathir Ayat 28)

  1. Kekuatan Ukhuwah. Umat yang bersatu akan saling mengasihi dan menyayangi serta menjauhkan perbezaan dan khilaf demi menjaga silaturrahim sesama mukmin. Hal ini sememangnya akan menciptakan kedamaian dan keharmonian. Hanya hamba Allah SWT yang mempunyai sifat rahmat kasih sayang sahaja yang boleh mengetepikan fahaman politik atau idealisme tertentu agar tidak menimbulkan jurang perpecahan dalam tubuh umat. Akan tetapi proses menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran wajib dijalankan. Ia sudah tentu dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan metod dakwah. Isu menggunakan masjid sebagai alat politik hendaknya dibendung agar umat ini tidak keliru arah tuju syiar masjid yang digerakkan. Kekuatan jentera penggerak masjid bukan terletak di tangan segelintir orang yang berkebolehan sahaja. Bahkan segenap jemaah kaum muslimin hendaklah menjadi inspirasi pengukuhan dan penanaman nilai-nilai Islam pada diri umat. Perpecahan menyebabkan kita kalah. Manakala perpaduan atas nama Islam dan iman akan menjadi akar kekuatan. Walaupun wujud banyak perbezaan dan fahaman tetapi adalah lebih baik kita sibuk mencari persamaan dalam diri yang boleh menjadikan kita lebih selesa duduk bermuafakat mencari penyelesaian atas kemunduran umat hari ini. Firman Allah SWT: ”Dan janganlah kamu bersengketa kerana ia menyebabkan kamu gagal dan hilangnya kekuatan kamu.” ( Surah al-Anfal Ayat 46)

  1. Kekuatan gerak kerja di semua peringkat. Pernahkah anda melihat jemaah masjid yang tekun dengan segala aktiviti dari kalangan remaja atau belia? Sungguh jarang sekali terlihat anak-anak kita di masjid atau surau. Mengapa mereka yang menjadi Ahli Jawatankuasa Masjid selalunya orang-orang tua sahaja? Bolehkan mereka mendengar sebarang idea dari perspektif remaja Islam? Bagaimanakah dakwah kepada generasi muda boleh disampaikan ke dasar jiwa mereka? Sudah tentu program untuk remaja yang berupa ceramah-ceramah yang berat dan menjemukan tidak sesuai untuk mereka. Aktiviti lasak dan mencabar seperti perkhemahan ibadat atau yang berunsurkan seni Islam seperti nasyid dan teater, atau penanaman ilmu agama yang digabungkan dengan sistem teknologi maklumat tentunya amat menarik minat mereka. Semua metod dakwah seperti itu lebih berkesan jika belia dan remaja yang berminat menjadi rakan masjid diberi peluang untuk berdakwah.

Melalui bimbingan dan dorongan mereka yang lebih senior akan membuahkan tim kerja dakwah masjid yang berjaya. Begitu juga pembabitan wanita muslimah yang boleh memberikan sumbangan untuk menggerakkan syiar masjid di kalangan mereka agaknya tidak boleh dianggap remeh kerana setiap orang mesti berperanan demi menyelamatkan nilai-nilai Islam pada masyarakat kita. Jadikanlah diri anda penggerak-penggerak masjid yang ikhlas kerana anda tidak rela melihat umat ini semakin terhakis kekuatannya oleh unsur-unsur jahiliyah moden yang semakin membimbangkan.



Wallahua'lam Bissawab