Ketenangan dan kebahagiaan hidup tidak boleh diukur dengan banyaknya wang ringgit, perhiasan yang mewah dan mahal, istana yang indah atau anak-anak yang ramai. Semua itu boleh menjadi boomerang yang memusnahkan pemiliknya jika si pemilik tidak pandai menggunakannya dengan baik.
Adakalanya hidup ini dirasa tidak bererti, maka ramai yang kesal dengan nasib dirinya, putus asa dan bersedih. Penyakit-penyakit manusia moden pada hari ini banyak berpunca daripada jiwa. Jika jiwa terasa hampa, akan terdengarlah nyanyian duka yang begitu menyayat hati. Rupanya bukan hanya orang miskin yang menderita penyakit ini, bahkan orang kaya lebih parah dan terdedah kepadanya.
Semua kenikmatan terlalu susah untuk disyukuri apabila ujian Allah datang. Hal ini diungkapkan dalam surah al-Fajr ayat 15 dan 16 yang bermaksud: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku.”
Sesungguhnya kesedihan itu sering berpunca daripada hilangnya nikmat yang Allah SWT berikan kepada manusia. Isteri kehilangan suami yang kahwin lain, seorang lelaki yang kehilangan pekerjaan, orang yang diancam hutang, orang tua yang memiliki anak-anak yang derhaka atau remaja yang merasa tidak dihargai ibu bapanya. Musibah seperti ini jika diterima dengan hati yang lapang, iman yang kuat dan kemampuan mengawal perasaan serta sikap yang positif dan berani akan menjadi tidak bererti pada diri yang terkena musibah.
Sebagaimana firman Allah SWT yang menjadi penghibur kepada jiwa Rasul-Nya yang dilanda kesedihan kerana beban dakwah yang berat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Insyirah ayat 1-6 yang bermaksud: “Bukankah telah kami lapangkan dadamu (wahai Muhammad). Dan kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu. Yang memberatkan bahumu. Dan kami tinggikan bagimu sebutan namamu. Kerana sesungguhnya selepas kesusahan itu ada kemudahan. Selepas kesusahan ada kemudahan.”
Yakinilah kalimah Allah yang Maha Suci ini bahawa: “Setiap kesusahan ada kemudahan,” mendung dan ribut hujan akan hilang oleh pelangi yang menawan. Kita perlukan sikap berani dalam menerima setiap musibah. Kegagalan adalah hanyalah suatu proses bagi mendapatkan kejayaan. Islam yang kita banggakan ini mengajar kita untuk melalui musibah dengan beberapa teknik bagi menghadapinya iaitu:
Pertama; Zikrullah iaitu ingat kepada Allah. Sebutlah nama-Nya, katakanlah kita memerlukan pertolongan-Nya dan redha dengan segala ketentuan-Nya. Pada saat benturan yang keras dan menyakitkan itu datang, kembalilah kita kepada Allah, menangislah kerana syukur masih banyak lagi nikmat Allah yang kekal sedia ada pada kita. Bukannya menangis kerana putus asa dari rahmat Allah. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Berprasangka baiklah kepada Allah. Ini akan menyejukkan hati. Allah SWT berfirman dalam hadits qudsi yang bermaksud: “Aku menurut sangkaan hamba-Ku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika kita menerimanya sebagai kebaikan dari Allah maka akan jadi baiklah musibah itu. Tetapi jika kita meraung dengan penuh kemarahan dan tidak mahu menerimanya, akan datanglah kemurkaan Allah. Antara bentuk kemurkaan-Nya adalah kita dibiarkannya berputus asa, menyakiti diri sendiri, bahkan depresi. Tanda kemurkaan Allah juga adalah Dia membiarkan kita dengan tidak diberinya hidayah atau petunjuk untuk memperbaiki keadaan yang berlaku ketika itu.
Oleh itu berzikirlah dengan penuh keredaan kepada-Nya. Sepertimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW apabila kita mendapat musibah bacalah:
“Aku reda dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasulku.”
Elok juga jika kita renungkan kata-kata hikmah ini: “Redalah kamu dengan nikmat Allah yang sedikit nescaya Ia reda kepada amalmu yang sedikit.”
Kedua, Ubatilah kesedihan dengan berbuat sesuatu yang bermanfaat. Mulakan usaha ini dengan mengatur masa yang baik. Buatlah jadual aktiviti seharian dengan teratur, kerana masa begitu bernilai. Jangan rehatkan diri terlalu lama kerana ingatan kepada kesedihan kita akan kembali lagi. Mengemas rumah atau bilik pejabat, menanam bunga dan menziarahi sanak saudara. Membaca juga baik untuk menajamkan akal dan mengubat perasaan. Buku yang paling baik untuk dibaca pada masa itu adalah buku-buku motivasi, sirah Rasulullah dan kisah perjuangan sahabat-sahabat Rasulullah atau buku tentang biografi orang-orang yang berjaya. Kisah cinta yang menyedihkan atau kisah kehidupan yang penuh tragedi dan penderitaan boleh memberi kesan negatif kepada orang yang sedang mengalami kegoncangan jiwa. Senaman badan juga elok untuk memudahkan mengantuk dan tidur malam sehingga bayangan kesedihan tidak akan sempat mengganggu pada malam hari.
Ketiga, memaksa hati khusyuk walaupun pada ibadat yang sedikit. Sembahyang lima waktu pada hakikatnya mengingatkan diri kita kepada alam akhirat. Jadikan tikar sembahyang seakan-akan titian sirat, kain sembahyang ibarat kafan, di kanan syurga, di kiri neraka, di hadapan timbangan amal dan di belakang syaitan musuh yang dahsyat. Maka kita akan memujuk pada diri sendiri: ”Jangan bersedih atas musibah di dunia kerana kengerian dan kedahsyatan akhirat lebih menakutkan berbanding dengannya.”
Khusyuk bukan pada sembahyang sahaja tetapi dalam sedekah ada khusyuk dalam membaca Al-Quran ada khusyuk, puasa dan hajipun ada khusyuk. Kesedaran hati tentang kehadiran dan pengamatan Allah kepada kita itulah dia khusyuk. Betapa indahnya seseorang yang sentiasa diperhatikan kekasihnya, didengar segala keluhannya, dijanjikan dengan syurga yang penuh kenikmatan serta disembuhkan lukanya dengan kepuasan beribadat kepada-Nya.
Keempat, membandingkan musibah pada diri kita dengan musibah orang lain yang lebih dahsyat dan menyedihkan. Betapa beruntungnya kita yang masih dikurniakan nikmat hidup untuk bertaubat kepada Allah. Sentuhan ajaib Tuhan pada hati kita sehingga kita menyedari kesilapan sendiri itulah pertolongan-Nya. Musibah ini umpama hilangnya sebutir bintang, bukankah masih ada berjuta yang masih berkilauan? Allah mengambil yang sedikit dan memberi terlalu banyak pada kehidupan kita.
Bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu, itulah tanda iman yang sebenar-benarnya. Sambutlah hari esok dengan keceriaan kerana hidup ini terlalu berharga untuk ditangisi.
Wallahua'lam Bissawab