Sabtu, 17 Oktober 2009

Muslim Produktif




(Illusi Optikal - Titik Titik Putih atau Hitam?)




Pernahkah anda berfikir mengapakah di negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika sekarang ramai manusia yang tergerak hatinya mahu mengkaji agama Islam. Fenomena ini terjadi selepas peristiwa tragis 11 September. Bangsa yang berjaya dan maju sedang berbondong-bondong masuk agama Islam tetapi sebaliknya di negara-negara mundur dan miskin ramai orang yang mahu murtad daripada Islam? Mengapa fenomena ini terjadi?


Mereka yang mengkaji Islam secara benar telah menemukan ajaran-ajarannya yang bersifat seimbang dan relevan. Islam tidak mengharamkan kemodenan, bahkan menjadi penggerak ke arah kehidupan maju dan moden. Tetapi Islam juga menyediakan ruang untuk mendidik rohani di tengah-tengah kehidupan yang serba materialistik. Islam bersifat mudah dan fleksibel, tata cara ibadatnya diatur oleh disiplin ilmu yang relevan sepanjang zaman. Islam sesuai dengan tabiat manusia yang memerlukan ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan. Islam membawa fahaman yang universal, tidak jumud dan menolak keras praktik kerahiban. Seorang Muslim apabila dia berdiri sebagai Imam sembahyang, dia juga adalah seorang pemimpin, pentadbir, pejuang dan pekerja yang dedikasi


Sepertimana seorang orientalis terkenal bernama H.A.R. Gibb telah memuji tanpa segan silu tentang ajaran Islam. Beliau berkata: ”Islam bukanlah semata-mata ajaran ibadat dan upacara, bahkan Islam meliputi politik dan kenegaraan, sosial dan ekonomi, undang-undang dan kekuasaan, perang dan perdamaian. Islam adalah satu sistem hidup.”


Inilah di antara daya tarikan Islam bagi orang-orang Barat yang berfikiran maju. Mereka menemukan keserasian di antara Islam dan gaya hidup moden yang produktif. Islam adalah agama produktif. Ciri-ciri produktiviti dalam Islam antara lain ialah;


1. Islam adalah agama yang meletakkan ibadat dan bekerja sebagai satu visi dan misi kehidupan.  Sebagaimana firman Allah dalam surah Hud ayat 61 yang mana Allah SWT berfirman melalui lisan Nabi Saleh kepada kaumnya yang bermaksud; ”Wahai kaumku!, sembahlah Allah yang tiada Tuhan lain bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya.” 


Ayat tersebut jelas dan terang menetapkan visi dan misi manusia dicipta iaitu menyembah Allah dan memakmurkan bumi. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Wasta’maru bermaksud: Menuntut supaya kamu membangunkannya. Asal tuntutan ini adalah wajib dan jika dilakukan menurut perintah Allah SWT serta menepati syarak maka bekerja memakmurkan bumi ini menjadi ibadat di sisi Allah SWT.


Begitulah Islam menuntut setiap umatnya menjadi muslim yang produktif. Melalui lisan Nabi SAW baginda bersabda yang bermaksud: ”Jika kiamat telah hampir sedangkan pada tangan salah seorang dari kamu terdapat biji benih yang hendak ditanamnya maka jika dia mampu hendaklah dia menanamnya!” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Imam Ahmad)


Betapa agungnya ajaran agama ini yang mengajarkan kepada kita supaya bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah seakan-akan kamu akan mati esok hari. Jika umat Islam betul-betul komitmen terhadap ajaran Islam maka tidak akan ada orang Islam yang hidupnya merempat, miskin dan tertinggal. Jika sudah dilanda oleh bencana kemiskinan maka akan menular pula penyakit sosial. Dan kita melihat tidak sedikit orang Islam yang rela anak-anaknya tidak berpelajaran, bodoh dan rosak oleh gejala sosial. Semua ini berpunca dari kemalasan dan gaya hidup yang tidak produktif. 


2. Merancang masa depan adalah wajib di sisi agama.


Jabir bin Abdullah berkata, pada suatu ketika kami berada di majlis Rasulullah SAW,  tiba-tiba datang seorang lelaki membawa seketul emas seperti sebiji telur, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah SAW ambillah ini sebagai sedekah daripadaku, dan demi Allah aku tidak punya harta yang lain daripada ini. Tetapi Rasulullah SAW enggan menerimanya. Kemudian lelaki itu datang lagi sambil menunjukkan seketul emas itu. Baginda pun bersabda: Bawalah kemari! Rasulullah SAW mengambilnya dan dengan bersikap marah lalu dilemparkan ketulan emas itu dengan kuat, jika mengenai lelaki itu pasti terasa sakit. Kemudian baginda bersabda: Adakalanya seorang di antara kamu membawa hartanya semua sekali padahal dia tiada memiliki selain dari itu. Kemudian setelah itu dia berkeliling meminta-minta orang. Ingatlah sesungguhnya sedekah itu dikeluarkan dari harta yang lebih. Ambillah kembali ketulan emas ini. Kami tidak memerlukannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)


Berhabis-habisan mengeluarkan wang belanja sehingga terpaksa meminta-minta kepada orang lain adalah perbuatan yang dibenci oleh Rasulullah SAW. Kita sering mendengar orang yang tidak cukup makan gaji selama sebulan dan mempunyai tabiat boros dalam berbelanja. Akhirnya dia terpaksa berhutang dan meminta-minta ke sana ke mari. Jika kita merenungi hadis Rasulullah SAW tadi, jelas dengan tegasnya baginda SAW memarahi orang yang tidak merancang kewangannya. Bahkan untuk melakukan ibadat pun perlukan perancangan. 


Betapa pentingnya umat Islam merancang kewangan dan mentadbir urus harta benda yang dimilikinya. Supaya umat Islam tidak jatuh ke dalam lembah kemiskinan dan selanjutnya menjadi umat yang lemah dan bergantung dengan orang-orang kafir. Ada sebahagian orang Islam yang salah faham di dalam mengamalkan sifat tawakal dan zuhud. Mereka langsung tidak merancang dan mengurus kewangan peribadi dan keluarga.


Padahal Rasulullah SAW dinyatakan bahawasanya baginda sentiasa menyimpan makanan untuk keluarganya buat masa setahun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


3. Dedikasi, jujur dan amanah. 


Sistem perekonomian yang seimbang sewajarnya diamalkan oleh setiap pekerja Muslim yang produktif. Seimbang dari segi keupayaan melipat gandakan keuntungan yang sifatnya materialistik dan moralistik yang berpaksikan pada iman dan takwa.


Islam mewajibkan setiap umatnya berjuang untuk kemaslahatan umat manusia seluruhnya. Setiap muslim yang produktif hendaklah bermoral bersih dan bersifat amanah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: ”Peniaga-peniaga yang amanah dan jujur akan dibangkitkan bersama-sama dengan orang-orang yang mati syahid di hari kiamat nanti.” (Ibnu Majah dan al-Hakim) 


Wallahua'lam Bissawab

Perjuangan Sebenar Umat Islam









Hati yang jahil pernah bertanya mengapa Allah Taala menguji umat Islam dengan peperangan, pengkhianatan, kelaparan, penyeksaan dan penyembelihan oleh tangan-tangan kuffar? Mengapa ujian itu kini tidak bernoktah? Kita sering bertanya, namun kita sendiri sebenarnya telah tahu jawapan dan syarat bagi melepasi ujian berat ini. Muslimin terdahulu telah memenuhi syaratnya dan mereka berjaya, namun kita yang jauh lebih moden kini buat-buat alpa dan tertanya-tanya. Padahal Allah Taala telah berjanji dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad ayat: 7)


Bilakah datangnya pertolongan Allah? Dahulu, disebabkan hebatnya siksaan yang dialami para sahabat di sisi baginda SAW, mereka mendesak Rasulullah SAW dengan satu pertanyaan: “Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak memintakan pertolongan untuk kami? Apakah engkau tidak mendoakan kami? Baginda SAW yang saat itu sedang berbaring, bangkit dengan wajah yang merah padam akibat marah bersabda yang bermaksud: Ketahuilah bawah sesungguhnya orang-orang sebelum kalian ada yang ditanam hidup-hidup, digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua dan ada pula yang disisir dengan sisir besi sehingga mengenai dagingnya hingga memisahkan ia daripada tulangnya, semua itu tidak menggoyahkan agama mereka. Demi Allah, Allah pasti memenangkan agama ini hingga merata dari San’aa sampai Hadhramaut dan manusia saat itu nanti semuanya tidak takut melainkan hanya kepada Allah melebihi takutnya kambing terhadap serigala. Tetapi kalian sangat tergesa-gesa (meminta kemenangan).” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari) 


Kesedihan yang dialami para pejuang Islam di merata dunia berikutan pertumpahan darah dan pencerobohan ke atas Palestin semestinya tidak menyurutkan semangat para pejuang untuk tetap istiqamah menjaga agama Allah dari makar-makar jahat musuh-musuhnya. Apatah lagi untuk berputus harap kepada Allah kerana terjangkit penyakit cinta dunia dan takut mati. Gesaan untuk memboikot barangan Amerika pastinya melahirkan polemik hangat yang mencetuskan pendapat di antara yang menyokong dan menolak gagasan tersebut. Melalui tragedi ini akan jelas terlihat siapakah yang berpeluk tubuh dan memekakkan telinga atau sekadar basa-basi membantah tanpa aksi sebenar dan hakiki di kalangan negara-negara saudara seagama yang sembahannya adalah sama iaitu Allah SWT. 


Hal ini hakikatnya adalah suatu bentuk ujian iman supaya Allah SWT membersihkan di kalangan barisan umat ini orang-orang yang terpilih sebagai pejuang di jalan Allah dan mereka yang terkeluar dari barisan, duduk ketakutan, cemas kehilangan tahta, harta dan jiwanya. Padahal akhirat itu jauh lebih baik dan kekal, ternyata betapa dunia amat membius jiwa manusia. 


Namun begitu di kalangan manusia yang jahil, lalai dan memilih menjual akhiratnya dengan harga dunia yang murah, pasti wujud golongan yang diselamatkan Allah Taala daripada fitnah dunia. Mereka sentiasa dibangkitkan untuk satu peranan penting demi menjaga agama Allah. Tak semestinya mereka berada di medan perang terbuka, menghadapi senapang, bom dan roket bahkan mereka boleh mengikut jejak para mujahidin melalui kepakaran ilmu dan teknologi demi masa depan Islam. Mereka sedar tentang amaran Al-Quran supaya umat Islam berwaspada hingga ke akhir zaman disebabkan peperangan ini sentiasa wujud baik secara terbuka mahupun senyap, bukan kerana umat Islam yang memetik apinya bahkan musuh-musuh merekalah yang membakar dendam yang tak mungkin dihapuskan.


Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.” (Surah Al-Baqarah: 217)


Dengan kekuatan persenjataan orang-orang kafir yang jauh lebih canggih dari umat Islam, strategi dan perancangan umat Islam mesti disusun secara matang dan tidak tergopoh-gapah. Sesuai dengan hadis baginda SAW tadi yang mengingatkan supaya umatnya tidak tergesa-gesa dan kurang sabar dalam perjuangan. Langkah-langkah jangka panjang ini melibatkan para ilmuwan dan cendekiawan Islam bersama umara dan seluruh lapisan umat. 


Peranan umara sebagai pemimpin Islam seharusnya meletakkan wawasan yang jauh dan perancangan yang jitu supaya umat mampu berdiri setanding bangsa-bangsa Yahudi dan Nasrani yang telah pun jauh lebih maju. Sudahkah disediakan pakar-pakar nuklear setanding ilmuwan Amerika dan Yahudi? Teknologi canggih dan penemuan-penemuan baru apakah telah diterokai oleh generasi muslim? Apakah kestabilan negara, politik dan ekonomi menjadi agenda utama para pemimpin walaupun berlainan fahaman politik? Sejauhmana usaha melahirkan hartawan muslim di peringkat antara bangsa dan melatih para pendidik, ilmuwan dan cendekiwan supaya menerima transformasi ilmu dari seluruh jendela dunia sebagai bekalan mempersiapkan anak bangsa yang berdaya saing di segala bidang keilmuwan setaraf dengan bangsa maju. Amat menyedihkan, fakta sejarah telah menyenaraikan seramai 180 orang Yahudi telah memenangi hadiah Nobel selama 105 tahun dan hanya 3 orang Muslim yang memenanginya. Dengan perbandingan 14 juta Yahudi dan 1,5 bilion Muslim di seluruh dunia. 


Kemudian bagaimana pula peranan ulama untuk menghadapi gelombang kebangkitan Yahudi dan Nasrani? Ulama seharusnya lebih bersikap terbuka dan bersedia melakukan dialog antara penganut agama dan kepercayaan di seluruh dunia untuk memberi maklumat yang benar tentang Islam. Usaha-usaha untuk menyampaikan Islam yang asli  dengan strategi dakwah moden menjadi keutamaan. Slogan kembali kepada Islam seharusnya menjadi jenama yang boleh dijual di pasaran dunia. Bukan untuk umat Islam saja tetapi kepada bangsa lain yang belum mengetahui keindahan Islam. Jangan asyik-asyik suka mengharamkan, mengeluarkan fatwa yang menyebabkan ketegangan di antara kaum dan umat beragama. Seolah-olah memusuhi dan mahu menguasai dengan kuasa majoriti. 


Bukankah Rasulullah SAW mengirim duta-duta ulamanya ke luar negara untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan dakwah kepada mereka? Semangat kemanusiaan seharusnya lebih ditonjolkan dari semangat perkauman dan fanatik kepercayaan agama yang membabi buta. Padahal Islam tidak sesekali membenarkan umatnya memaksakan aqidah kepada umat lain. 


Seharusnya menjadi tugas para ilmuwan Islam mendekati para orientalis yang mengkaji Islam secara bermuzakarah, berdialog dan membincangkan fakta-fakta Islam yang indah dengan semangat perdamaian bukan kebencian. Pada kurun ke 20 sikap orientalis berbeza-beza, kalau dahulu mereka bekerja untuk kepentingan imperialisme dan menggunakan hasil kajian itu sebagai senjata untuk menjajah dan memusnahkan umat Islam. Kini, ramai di kalangan mereka yang bersikap terbuka, jujur dan bebas mengkaji seiring dengan berkurangnya kuasa imperialisme. Jika para ulama tidak menyediakan kitab-kitab yang bermutu serta karangan-karangan ilmiah yang boleh menjawab hujah negatif tentang Islam mustahil para orientalis ini menemui kebenaran dan hidayah dalam Islam. Antara mereka yang terkenal seperti Reneich Jino (Abdul Wahid Yahya), Martin Lengh, Titos Brokart dan Leopold Fez (Mohammad Asad), Murad Hoffman dan ramai lagi yang hampir mengucap syahadah.


Kekuatan ilmu para ulama mesti dimanfaatkan untuk penyiaran dakwah dengan cara penglibatan langsung ke medan dakwah. Mencetak kader-kader dakwah yang berwibawa, menyampaikan Al-Quran dan hadis secara indah dan tidak menakutkan apatah lagi memberat-beratkan. Kadang-kadang sebutan haram itu lebih kedengaran dan membuat umat fobia dan meninggalkan terus agamanya padahal yang haram itu sedikit berbanding yang halal dalam agama kita. Akhirnya kejahilan berleluasa dalam diri generasi yang menolak agama, mereka menganggap Islam sebagai agama warisan yang hanya dipakai untuk mengurus hal-hal kematian, kelahiran dan sambutan hari-hari kebesarannya saja tetapi tidak berupaya menjawab permasalahan keduniaan. 


Kerana kelalaian ulama dan para pendakwah telah lahir satu fenomena merbahaya di tengah-tengah umat, kewujudan dua generasi Islam. Pertama, yang melepaskan habis ikatan agama dan yang kedua golongan tradisional jumud yang memberat-beratkan permasalahan agama sehingga melupakan perjuangan yang sebenar. Jika orang kafir telah sampai ke bulan dan mengkaji teknologi perang luar angkasa, umat Islam yang jumud ini masih bercakaran dan berselisih tentang mazhab siapa yang paling baik dalam berwudhuk. 


Fanatisme mazhab menjadi punca terpecahnya perpaduan umat, ia bertanggungjawab atas kemunduran umat Islam yang tak mampu bersaing melalui teknologi, ekonomi dan kekuatan senjata dengan orang-orang kafir. Padahal Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh umatnya memegang pada satu mazhab saja, bukankah mazhab-mazhab itu lahir setelah baginda wafat dan tak ada satu pun yang lebih tinggi nilainya dari kesahihan Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW? Bahkan Imam al-Syafiie melarang pengikut-pengikutnya bertaklid buta dan menyuruh mereka mengutamakan kitabullah dan sunnah Rasul dari pendapat-pendapatnya. 


Peranan ulama dan para pendakwah seterusnya ialah berganding bahu bersama umara dalam menyelesaikan isu-isu umat. Sikap ulama terhadap umara hendaklah sesuai dengan suruhan Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; “Aku berwasiat kepada kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat sekalipun yang memimpin kamu hanya seorang hamba.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi) 


Antara kelemahan umat Islam ialah tercabutnya kasih sayang antara ulama dan umara. Bagaimanakah masa depan umat jika para umara melepaskan ikatan agama dalam memimpin negara? Dan para ulama pula menjauhkan diri dari pemimpin dan membiarkan kesilapan berlaku sehingga menghancurkan agama, bangsa dan Negara? Bukankah kebinasaan akan berlaku jika tidak ditegakkan amar makruf nahi munkar? Peranan ulama di sisi umara adalah sahabat dan saudara dekat yang ikhlas memberi pandangan dan fatwa dengan semangat ijtihad demi kemajuan umat. 


Ulama dan umara seharusnya duduk bersama merancang strategi menyediakan generasi pelapis yang bakal memperjuangkan misi agama. Ketiadaannya akan mematikan nadi umat. Pencerobohan ke atas umat terjadi di mana-mana kerana kemunduran, kemiskinan, kebodohan dan kejumudan cara berfikir.Tetapi, perlu diingat bahawa faktor yang paling utama penyebab kehancuran Islam ialah kejahilan umat terhadap agamanya. 


Agama menjadi benteng terkuat untuk memenangi perjuangan, ia adalah asas yang paling penting sebagai tenaga penggerak paling hebat untuk melawan kezaliman. Tanpa asas agama tidaklah lahir orang-orang yang sanggup mati membela Islam. Sesekali mereka tidak pernah takut mati bahkan mengharapkan syahid di jalan Allah. Mereka memandang dunia dengan harga yang murah dan memilih syurga yang kekal abadi di sisi Tuhannya. 

Kembali kepada Islam menjadi slogan yang sering dilaungkan, sejauhmana ia boleh berjaya bergantung dengan peranan ulama dan umara serta sikap umat yang diharapkan mahu berubah. Mampukah kebangkitan Islam direalisasikan oleh generasi yang berkiblat ke barat, berjiwa kapitalis dan bernafsukan liberalis? Rasulullah SAW pernah meramalkan perkara ini dan tiada satupun perkataan baginda melainkan benar belaka: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani? Nabi SAW bersabda: Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)


Wallahua'lam Bissawab

Perpaduan Islam Tergadai Dengan Politik?



Sesungguhnya pemerintah itu adalah bayangan Allah SWT. Oleh itu para ulama Salaf seperti al-Fudhail bin ’Iyadh, Ahmad bin Hanbal dan selain keduanya menyatakan: Sekiranya kami memiliki doa yang makbul lagi mustajab nescaya kami akan doakan untuk pemerintah.” (Al-Siyasah al-Syar’iyah dan Majmu’ Fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah juzu’ 28 halaman 390-391)


Inilah sikap ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap para pemerintah mereka. Suatu sikap yang diwarisi daripada para ulama Salafus Saleh yang akan terus dipertahankan dalam tatacara berhubungan dengan pihak pemerintah. Para ulama yang memahami keadaan umat Islam dan mempunyai harapan yang sangat besar untuk melihat kemenangan Islam akan sentiasa mengambil berat tentang kepentingan mendakwahkan para pemimpin umat, menyeru mereka dengan nasihat bilhikmah wal mauizatil hasanah dan sentiasa membuka jalan dialog dengan semangat wajadilhum billati hiya ahsan antara ulama dan umara demi kepentingan Islam. 


Zaman demokrasi telah membuka ruang yang lebih lebar kepada para ulama untuk lebih berperanan menegakkan amar makruf nahi munkar dengan melibatkan diri dalam bidang politik, sehingga mereka terpaksa berhadapan dengan para pemimpin yang berlainan haluan dan cita-cita, tetapi masing-masing berjanji memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Ulama yang menggunakan wadah politik sebagai jalan perjuangan fisabilillah sentiasa memahami bahawa mereka adalah umpama khadam dan orang gaji bagi rakyat mereka, bukannya sebagai tuan dan raja atau rahib yang suci maksum tanpa dosa. 


Abu Muslim Al-Khawalani, seorang fakih Tabiin yang zuhud lagi mulia telah masuk menemui Muawiyah bin Abu Sufyan RA yang waktu itu menjadi Khalifah Islam. Beliau berkata kepadanya: “Assalamu ‘alaika ayyuha al-Ajir, salam sejahtera atas kamu wahai orang gaji. Lalu berkatalah pemimpin-pemimpin di sekeliling Khalifah: “Assalamu ‘alaika ayyuha al-Amir, salam sejahtera atas kamu wahai Amir (Ketua atau Raja). Mereka saling mengulang-ulangi salam itu sehingga Muawiyah berkata: Cukuplah! Biarkan Abu Muslim, sesungguhnya dia lebih arif dengan apa yang dikatakannya.”


Abu Muslim dengan kecintaannya kepada khalifah mahu mengingatkan bahawa kedudukan beliau adalah seperti orang gaji kepada rakyat. Sebagaimana pernah dinyatakan oleh Khalifah yang bijaksana, Umar bin Abdul Aziz sewaktu menerima perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah salah seorang daripada kamu, hanyasanya Allah SWT telah menjadikan aku lebih berat bebanannya daripada kamu.”


Dengan keimanan dan ketakutan menerima tanggungjawab sebagai amanah Allah SWT, para ulama dan umara Salafus Saleh sentiasa merasa diri terdedah kepada kesilapan. Walaupun mereka ulama, mereka tidaklah maksum sepertimana para Nabi, mereka mengaku dengan sepenuh ketundukan bahawa setiap langkah dan strategi politik yang diambil boleh jadi silap kerana mereka hanya mampu berijtihad dalam hal itu. 


Para ulama yang ikhlas memperjuangkan Islam dalam arena politik hendaklah memiliki sensitiviti jiwa yang halus, sentiasa memperbaharui niat dan menilai strategi yang dijalankan, bukan untuk keuntungan partinya semata-mata, bahkan hendaklah melihat dari sudut yang lebih luas dan terbuka serta menerima pandangan parti lain demi kepentingan agama. Mereka hendaklah sedar, perjuangan itu bukan untuk parti tetapi untuk umat Islam keseluruhannya dan agama Allah SWT semata-mata. Maka, hendaklah dikikis rasa kebencian dan dendam yang pernah ditoreh oleh parti lain ke atas mereka kerana mengingati Sunnah Rasulullah SAW yang menyeru kepada jihad kerana Allah semata-mata, bukannya kerana membela suatu kaum atau menuntut balas atas kematian keluarga apatah lagi kerana mahukan habuan dunia. 


Para ulama yang mahu menegakkan Islam perlu mengkaji strategi politik Rasulullah SAW yang mahu memaafkan kaum Quraisy padahal merekalah yang telah membunuh bapa saudara yang paling dikasihinya, Hamzah bin Abdul Muttalib RA. Orang-orang kafir Quraisy itulah yang telah merampas harta benda umat Islam pengikut Nabi SAW dan mengusir mereka dari tanahair Mekah, menyiksa bahkan membunuh orang-orang Islam awal yang mereka kasihi. Tetapi, saat terbukanya gerbang kemenangan Fathu Makkah, mereka memasuki Mekah dengan semangat rahmatan lil alamin, semangat perdamaian demi menyatukan kekuatan semata-mata untuk menegak dan menyebarkan lagi agama Islam. 


Pada saat di Madinah, Rasulullah SAW juga sentiasa mengingatkan kaum Aus dan Khazraj supaya jangan sesekali membangkitkan sentimen jahiliyah tentang Peperangan Buath kerana ia boleh menjejaskan kesatuan umat dan melemahkan Islam. Betapa jelas teladan dan contoh yang dicatat oleh sejarah umat ini, bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengamalkan dendam politik walaupun ke atas orang kafir. Inilah uswah hasanah dan sunnah yang wajib diikuti dalam berhadapan dengan mereka yang pernah dimusuhi.


Seandainya orang-orang yang mahu membela Islam dalam arena politik masih memiliki saki baki kudis dendam ke atas golongan dan parti umat Islam yang lain serta menutup pintu serapat-rapatnya dan menolak sebarang bentuk rundingan bagi mencapai perdamaian maka dikhuatiri niat perjuangan mereka tidak lagi murni dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Mungkin telah timbul bibit-bibit niat lain yang berputar-putar sekitar perebutan kuasa, kedudukan dan sentimen kepuakan yang indikatornya adalah saling memuji diri sendiri dan merendahkan puak lain. Semua ini adalah hembusan fitnah habuan dunia dan sifat takbur dengan kekuatan sendiri yang ditiupkan oleh syaitan.


Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya supaya berhati-hati terhadap penyakit hati yang boleh mengharamkan syurga ke atas orang yang dijangkitinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sifat takbur walau sebesar zarrah. Ada seorang lelaki yang berkata: Sesungguhnya ada seorang yang suka memakai pakaian yang cantik dan selipar yang cantik. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan menyukai keindahan. TAKBUR itu ialah menolak kebenaran dan merendahkan sesama manusia.” (Hadis riwayat Muslim)


Selain keikhlasan liwajhillah, sifat memaafkan dan semangat menyatupadukan umat, kekuatan politik Rasulullah SAW juga terletak pada amalan syura. Daulah Islam tidaklah dibina melalui politik kuku besi, bahkan Islam menyeru supaya dipotong kuku-kuku yang mencengkam bahu rakyat, juga dipotong kuku-kuku besi yang menyuruh para pengikut taat dan setia secara membuta tuli, yang memperguna agama sebagai tali pencekik yang mengikat leher umat dan menakut-nakuti mereka dengan gelaran murtad atau kafir.


Daulah Islam bukanlah sebagaimana amalan politik para rahib dan pendita Kristian yang mengamalkan negara teokrasi di Eropah suatu ketika dahulu. Mereka menguasai rakyat dengan undang-undang ciptaan yang dicapkan AGAMA, yang mengikut hawa nafsu dan keinginan sendiri dan mendakwa bahawa kebijakan-kebijakan politik mereka itu adalah suara Tuhan. Mereka mengaku-ngaku kerajaan yang dibina adalah kerajaan Tuhan tetapi sebenarnya rakyat telah ditipu supaya mereka tidak melawan setiap kebijakan politik para Raja yang menjadi sekutu golongan gereja. Rakyat tidak boleh bersuara, membangkang apatah lagi melawan. Kerana suara Tuhan dan para rahibnya lebih berkuasa dari suara rakyat yang hina. Lihatlah betapa liciknya mereka memperbodohkan rakyat. 


Al-Quran telah menceritakan keadaan mereka ini yang bermaksud: “Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai Tuhan-Tuhan selain Allah.” (Surah al-Taubah ayat: 31)


Rahib-rahib itu telah dijadikan seolah-olah Tuhan kerana mereka percaya pemimpin-pemimpin agama yang berkuasa itu semuanya maksum, tidak akan tersilap langkah dan wajib ditaati sebagaimana mereka mentaati Tuhan. Siapa yang membangkang akan dikafirkan bahkan dihalalkan darahnya.


Sedangkan amalan politik Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW ketika mendirikan Daulah Islamiyah sama sekali jauh daripada amalan kuasa absolut di tangan pemimpin tanpa mengambil kira pandangan pengikut dan rakyat. Politik Islam hakikatnya memperjuangkan suara rakyat. Walaupun Rasulullah SAW bersifat maksum tetapi dalam mengambil kebijakan-kebijakan politik yang tidak turun wahyu padanya, baginda SAW sentiasa mengambil kira pandangan para sahabat dan umat Islam keseluruhannya.


Rasulullah SAW pernah bersetuju dengan pandangan Salman al-Farisi dalam perang Khandak, Rasulullah SAW juga mengikuti suara terbesar ketika mengambil keputusan menyerang orang kafir di luar kota Madinah saat perang Uhud. Padahal pandangan Rasulullah SAW pada mulanya adalah menyerang mereka di dalam kota. Tetapi disebabkan Rasulullah SAW melihat ramai di kalangan pemuda-pemuda Ansar yang bersetuju keluar menyerang, akhirnya Rasulullah SAW akur dengan keputusan suara terbanyak, walaupun baginda seorang Rasul yang maksum dan mendapat dokongan wahyu dari langit.


Memelihara perdamaian dan kesatuan umat adalah perjuangan sunnah Rasulullah SAW sedangkan dendam politik dan takbur parti dan kepuakan merupakan benih-benih dosa dan maksiat yang akan meruntuhkan kekuatan umat.


Kuasa memerintah merupakan anugerah Allah SWT dan amanah kepada orang mukmin. Para pembela Islam yang kalah dalam perjuangan politik dunia tetap akan menerima pahala di sisi Allah SWT, maka mereka tidak perlu sedih dan berputus asa. Maka tiada sebab untuk mereka merosakkan niat sucinya kerana inginkan kemenangan dunia semata. Kerana mereka wajib percaya bahawa mereka hanyalah penyambung risalah perjuangan para Nabi dalam membela agama Allah, kalah dan menang hanya sebuah permainan dunia yang akan menjadi dugaan terhadap matlamat dan tujuan akhirat mereka.


Wallahua'lam Bissawab

Ciri Ciri Tamadun Islam




Barisan sarjana Barat yang terkenal seperti Thomas Cerlyle, Gustav Le Bon, Oswald Spengler dan Arnold Toynbee pernah mengambil kesimpulan yang amat menarik setelah melakukan kajian terhadap bekas-bekas peninggalan tamadun Islam. Mereka menyatakan bahawa perubahan-perubahan hebat yang berlaku ke atas tamadun-tamadun di serata dunia ini tidak terlepas daripada pengaruh Islam. Tanpa malu dan segan mereka mengakui bahawa kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di sana, iaitu di Sepanyol, Andalusia. Tamadun itu itu berakhir pada 1492M setelah ia ditawan oleh musuhnya. Namun kesan tamadun dan warisan ilmunya telah mencorak dan menunjangi kebangkitan tamadun moden barat setelah itu. Suatu hakikat yang diakui oleh musuh kepada pembina tamadun asal itu sendiri.


Cahaya agama Allah pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam telah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Panglima Tariq bin Ziyad telah membakar semangat para mujahidnya. Beliau berkata: ”Sesungguhnya lautan berada di belakang kamu dan musuh di hadapan kamu. Tiada lagi jalan pulang! Nasib kamu akan ditentukan oleh keberanian atau jiwa pengecut!” Sejak saat itu Islam masuk dan berkembang pesat di bumi Sepanyol, hingga saat ini masih ada sisa-sisa masjid berjumlah 1400 buah di Cordova dan istananya yang terkenal di seluruh dunia iaitu al-Hamra’ di Granada. Bukan sekadar itu, warisan ilmu sains, teknologi, matematik dan sebagainya yang menunjangi tamadun Andalusia telah menapak kukuh di dada bangsa Eropah. Puncanya, Andalusia pernah menjadi pusat tamadun, kebudayaan dan gedung ilmu. Bangsa Eropah berdatangan ke Andalusia menuntut ilmu yang dikembangkan oleh umat Islam. Mereka mempelajari Bahasa Arab dan ilmu Islam demi mencungkil ilmu sains dan teknologi yang dimonopoli oleh umat Islam ketika itu.


Catatan sejarah tamadun Islam juga mencatatkan bahawa selepas kewafatan baginda SAW, Khalifah Umar bin al-Khattab RA telah memerdekakan Palestin dengan damai. Penyerahan kekuasaan ke atas tanah Palestin dilakukan sendiri oleh Uskup tertinggi Nasrani yang rela tunduk dalam pentadbiran kerajaan Islam yang adil dan beramanah. 


Belum sampai 50 tahun selepas kewafatan baginda SAW, perjuangan Baginda SAW telah diteruskan oleh generasi Islam yang cintakan agama dan Rasul-Nya. Di Afrika Utara Islam ditegakkan oleh panglima Tariq bin Ziyad. Islam turut merebak hingga ke Asia Tengah seterusnya menyeberangi sungai Sind dan Ganges. Agama Allah dibela oleh bala tenteranya yang perkasa, ketika itu yang memimpin tentera itu adalah pemuda yang masih berumur 17 tahun bernama Muhammad bin al-Qasim.


Persoalan yang sering timbul pada minda para pengkaji sejarah ketamadunan ialah, siapakah Muhammad? Kekuatan apakah yang baginda bawa hingga mampu menenggelamkan kuasa Kaisar-kaisar dan Raja-raja? Asan Tamadun apakah yang digunakan hingga mampu mencorakkan sistem dan undang-undang, ilmu dan politik, budaya dan ekonomi, ketenteraan dan kedaulatan umat manusia hingga kini? 


Jawapannya terkandung pada ciri-ciri Tamadun Islam itu sendiri yang dapat disimpulkan sebagai berikut;


Islam adalah agama yang bersifat universal, tidak mengamalkan fanatik kesukuan atau asabiyah dan menjunjung tinggi sistem keadilan sesama manusia. Tanpa mengira ras dan agama.


Apabila negara-negara di seluruh dunia bersatu dalam wadah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, mereka merumuskan satu deklarasi sejagat yang bercirikan keadilan dan kemanusiaan. Mereka menyebutnya sebagai: Declaration of Human Rights yang diharap berupaya memberikan setiap individu hak-hak mereka sebagai manusia merdeka seadil-adilnya. Padahal Islam telah terlebih dahulu meletakkan dan mengamalkan prinsip keadilan dan kesaksamaan bagi seluruh umat manusia. 


Firman Allah Taala yang bermaksud: ”Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kamu dalam agama, dan tidak mengusir kamu dari perkampungan kamu, Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahinah: Ayat 8)


Ajaran Nabi Muhammad SAW menolak diskriminasi terhadap non-muslim, iaitu mereka yang bukan pengikut agamanya. Bahkan haram menyakiti orang bukan Islam yang tidak menentang Islam. Melalui sabdanya Rasulullah menegaskan yang maksud: ”Barangsiapa yang mengganggu orang zimmi (non-Muslim dalam negara Islam) maka samalah dia seperti menggangguku, dan barangsiapa yang menggangguku maka dia telah mengganggu Allah Taala.” (Hadis riwayat al-Tabrani)


2. Islam tidak memisahkan agama dari negara. Islam menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama dari kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Sedangkan neraca agama adalah sesuai bagi mentadbir seluruh urusan kehidupan keduniaan manusia.


Musuh-musuh Islam dan golongan yang tidak memahami Islam berusaha memburuk-burukkan imej negara Islam dengan kemunduran, keganasan dan sikap kuku besi. Generasi Islam yang celaru dengan keadaan semasa dan hanya memiliki kefahaman Islam yang lemah amat mudah mengikuti fahaman musuh-musuh Islam yang menyatakan Islam mesti dipisahkan daripada negara dan politik. Mereka meminjam istilah fahaman sekular yang mengajarkan bahawa Agama ini untuk Tuhan dan negara untuk semua. Dengan demikian barulah keamanan dan kesejahteraan dapat dikecapi seluruh umat manusia, dakwa mereka.


Maknanya mereka mahu apabila Islam dipisahkan dari negara, tiada lagi syiar Islam yang perlu diperjuangkan. Biarlah Islam hanya tinggal di masjid-masjid tetapi tidak perlu diamal dalam pentadbiran negara. Sungguh ia suatu pemikiran yang merbahaya, seperti racun dan bisa yang boleh mematikan cahaya agama Allah di serata dunia. Namun kita boleh berbangga, negara kita telah melakukan lonjakan pemikiran dan perubahan sikap. Malaysia dengan bangganya menyatakan sikap bahawa kami adalah negara Islam yang bertamadun. Berdiri di atas dunia ini menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa misi kedamaian ke seluruh alam.  


3. Perpaduan Ulama dan Umara, pemimpin dan rakyat untuk merealisasikan cita-cita tamadun Islam yang gemilang, cemerlang dan terbilang.


Sesungguhnya setiap Muslim berkewajipan membela agamanya. Agama dan negara tidak boleh dipisahkan. Sejarah telah membuktikan wujudnya negara Islam yang pertama di Madinah. Dan pemimpin negara Islam pertama bernama Nabi Muhammad SAW. Kepemimpinan itu sambung menyambung hingga ke hari ini. Dan bagi setiap pemimpin Islam di mana pun, yang memiliki satu persepsi dan agenda yang serupa dengan Muhammad SAW maka wajib bagi umatnya untuk mengasihi dan mentaati kepemimpinannya. Hal ini pernah dinyatakan oleh Imam yang agung, Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah RA dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar’iyyah yang menukilkan pendapat ulama salaf seperti al-Fudail bin Iyadh dan Imam Ahmad bin Hanbal yang menyatakan: ”Jikalau kami para ulama memiliki doa yang mustajab nescaya kami akan mendoakannya untuk kebaikan para pemimpin kami.”


Ibnu Taimiyah juga mengulas tentang keagungan peranan dalam memimpin negara, katanya: ”Wajib diketahui bahawa memimpin manusia adalah kewajipan agama yang paling besar, bahkan tidak akan wujud agama dan dunia tanpanya.”


Apabila ketiga-tiga ciri-ciri tersebut dapat direalisasikan oleh generasi Islam kini, insya Allah pelbagai konspirasi musuh-musuh Islam akan dapat diatasi. Islam tidak akan lemah kerana Allah Taala menciptakannya untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan dan kehancuran. 


Jumaat, 16 Oktober 2009

Fungsi Doa Hamba Kepada Tuhannya







Mengingati tragedi pengusiran ayahanda Nabi Adam AS dan bonda Siti Hawa dari istana syurga mengajar kita untuk memandang sejarah itu dengan perspektif redha pada Allah. Rahasia hikmah yang lain daripadanya ialah bahawa kebijaksanaan manusia yang mengalahkan malaikat dan syaithan akhirnya tersungkur juga akibat nafsu yang merupakan elemen penting disamping akal. Dan akhirnya kuasa Allah menjadi penuntun kehidupan di dunia. Taubat diterima dan masanya untuk manusia diuji adakah benar imannya kepada Allah. 


Sesungguhnya yang menjadi penyelamat Adam AS adalah permohonan taubatnya kepada Allah SWT. “Kemudian Adam menerima beberapa kalimah (ajaran kata-kata untuk bertaubat) Maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 37)


Beliau mengajar kepada kita bagaimana hendak menjadi manusia yang mulia. Bukankah semasa Allah menciptakannya seluruh makhluk diperintah untuk sujud kepadanya. Tetapi kuasa syaitan dan nafsu syahwat boleh menukar jenis makhluk yang bernama manusia menjadi makhluk lain. Memetik dari Ihya’ Ulumuddin Imam al-Ghazali Rahimahullah mengkaji empat sifat yang merosakkan sifat kemanusiaan seorang manusia.
Yang pertama, sifat Subu’iyah atau kebuasan yang ciri-cirinya adalah seperti suka marah, busuk hati, suka menyerang, memukul, memaki dan membinasakan harta benda.


Naik ke peringkat kedua sifat Bahimiyah atau kebinatangan. Gelojoh dan tamak seperti anjing, suka benda-benda yang kotor seperti harta yang haram, zina dan liwat.


Bertambah teruk keadaan mereka jika masuk ke peringkat ketiga, sifat syaitaniyah iaitu layaknya syaitan dengan ciri-cirinya, dengki, penipu, memutar belit, menyuruh yang munkar dan melarang kebaikan.


Dan terakhir apabila ketiga-tiga sifat itu berkumpul maka naiklah kejahatan manusia itu sampai keperingkat Sifat Rububiyah, ketuhanan iaitu sifat Tuhan ingin dirampas menjadi miliknya. Sifat bangga diri, sombong, mahukan puji dan pujaan orang, suka kemuliaan dan kedudukan tinggi. Akhirnya ia mengatakan akulah Tuhan bukan manusia, aku tak sudi mentaati dan mematuhi kerana aku berkuasa. Tak ada sesuatu yang setanding diriku.
Begitulah kejahatan terbesar anak-anak Adam apabila mereka telah melupakan Allah dan hidup dikubangan lumpur dosa yang kotor dan menjijikkan.


Belajar dari kekhilafan ayahanda Nabi Adam yang berdosa kepada Allah maka beliau bertaubat seraya berdoa tanpa mengenal erti putus asa dari rahmat-Nya. Ibadat yang paling agung yang pertama kali diajarkan Allah kepadanya adalah doa. Apakah sebenarnya fungsi doa itu bagi kita?


Yang pertama, Tali Allah. Adanya doa sebagai pengikat kita dengan Allah. Hamba yang lemah dan Tuhan yang Maha Perkasa. Lafaznya mengandungi pengharapan dan kebergantungan kepada Allahus Shomad. Mengakui kelemahan diri dan keperluan kepada pertolongan dan perlindungan Allah. Apabila seseorang merasa tidak perlu kepada doa sebenarnya ia terlalu angkuh dan sombong dengan jaminan dirinya sendiri. Ia telah memutuskan tali Allah yang mengikatnya sehingga terdedah kepada kebinasaan akibat dosa-dosanya melupakan Allah. Seorang muslim sentiasa membiasakan dirinya menyebut nama Allah disetiap perbuatannya. Seawal bangun dari tidurnya hingga, mandi, memakai pakaian, berwudhu , sembahyang, makan minumnya, keluar masuk rumah, bekerja, belajar, bermuamalat sesama manusia hatta suami yang menggauli isteri semua itu diiringi dengan doa dengan tujuan supaya perbuatan itu selari dengan perintah dan suruhan Allah. Sungguh indah perhubungan antara hamba dengan Tuhannya itu, begitu hampir dan tak pernah bercerai kerana penghubungnya adalah doa yang penuh keyakinan bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.


Fungsi doa yang kedua adalah: Cita-cita dan impian yang mesti dimiliki dengan berikhtiar sesuai dengan permintaannya kepada Allah SWT. Orang yang meminta syurga mestilah diiringi dengan kesungguhannya beramal salih. Orang yang meminta keberkahan rezeki, bersungguh-sungguh bekerja untuk mendapatkannya dan bila ia meminta dihindari dari kejahatan diri sendiri maka ia berusaha tidak berbuat dosa dan maksiat. Doa dan ikhtiar saling lengkap melengkapi. Sebagaimana firman Allah: ”sesungguhnya Allah tidak akan merubah suatu kaum kecuali mereka merubah diri mereka sendiri.”


Kerana iman itu bukan angan-angan ia perlu dibuktikan dengan kesungguhan atau jihad dalam beramal salih.


Yang ketiga ialah, Pengubat hati. Saat diri dihina, dipersia, tidak dipedulikan, diceraikan kekasih, dibuang oleh pujaaan hati. Yang hadir rasa putus asa dan sirna segala cahaya kehidupan tanpa masa depan. Jika ujian dan cubaan melanda iman, kekurangan harta, kehilangan jiwa, kecacatan, kesakitan, bencana alam, kegagalan setiap perjuangan. Pada siapa manusia mengadu, merintih dan bersandar? Setiap pengharapan akan datangnya cahaya pada siapa dipohonkan? Keyakinan dan kekuatan untuk meneruskan hidup darimanakah penjana kuasanya? Hanya kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Rahmat-Nya meliputi alam semesta, Dia tidak menguji makhluk-Nya kecuali yang sanggup mereka memikulnya. Setiap kesusahan ada kemudahan. Dengan untaian doa penuh keikhlasan dan tangisan yang meruntuhkan tembok kesombongan, manusia kembali kepada Allah menadah tangan, mengakui kelemahan, mengharap pertolongan, perlindungan dan keselamatan dunia akhirat. Maka datanglah keyakinan pasti Allah mengabulkan sudah cukup sebagai penawar bagi jiwa yang kekeringan.


Doa adalah kekuatan bagi setiap muslim, tetapi jika ia tidak difungsikan dengan cara yang betul maka kekuatan itu akan hilang yang tinggal hanya lafaz-lafaz kosong tanpa makna dan tujuan. Kembalikanlah fungsi doa agar kita sentiasa mendapat jawapan yang pasti dari Illahi.




Wallahua'lam Bissawab