Sabtu, 17 Oktober 2009

Perpaduan Islam Tergadai Dengan Politik?



Sesungguhnya pemerintah itu adalah bayangan Allah SWT. Oleh itu para ulama Salaf seperti al-Fudhail bin ’Iyadh, Ahmad bin Hanbal dan selain keduanya menyatakan: Sekiranya kami memiliki doa yang makbul lagi mustajab nescaya kami akan doakan untuk pemerintah.” (Al-Siyasah al-Syar’iyah dan Majmu’ Fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah juzu’ 28 halaman 390-391)


Inilah sikap ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap para pemerintah mereka. Suatu sikap yang diwarisi daripada para ulama Salafus Saleh yang akan terus dipertahankan dalam tatacara berhubungan dengan pihak pemerintah. Para ulama yang memahami keadaan umat Islam dan mempunyai harapan yang sangat besar untuk melihat kemenangan Islam akan sentiasa mengambil berat tentang kepentingan mendakwahkan para pemimpin umat, menyeru mereka dengan nasihat bilhikmah wal mauizatil hasanah dan sentiasa membuka jalan dialog dengan semangat wajadilhum billati hiya ahsan antara ulama dan umara demi kepentingan Islam. 


Zaman demokrasi telah membuka ruang yang lebih lebar kepada para ulama untuk lebih berperanan menegakkan amar makruf nahi munkar dengan melibatkan diri dalam bidang politik, sehingga mereka terpaksa berhadapan dengan para pemimpin yang berlainan haluan dan cita-cita, tetapi masing-masing berjanji memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Ulama yang menggunakan wadah politik sebagai jalan perjuangan fisabilillah sentiasa memahami bahawa mereka adalah umpama khadam dan orang gaji bagi rakyat mereka, bukannya sebagai tuan dan raja atau rahib yang suci maksum tanpa dosa. 


Abu Muslim Al-Khawalani, seorang fakih Tabiin yang zuhud lagi mulia telah masuk menemui Muawiyah bin Abu Sufyan RA yang waktu itu menjadi Khalifah Islam. Beliau berkata kepadanya: “Assalamu ‘alaika ayyuha al-Ajir, salam sejahtera atas kamu wahai orang gaji. Lalu berkatalah pemimpin-pemimpin di sekeliling Khalifah: “Assalamu ‘alaika ayyuha al-Amir, salam sejahtera atas kamu wahai Amir (Ketua atau Raja). Mereka saling mengulang-ulangi salam itu sehingga Muawiyah berkata: Cukuplah! Biarkan Abu Muslim, sesungguhnya dia lebih arif dengan apa yang dikatakannya.”


Abu Muslim dengan kecintaannya kepada khalifah mahu mengingatkan bahawa kedudukan beliau adalah seperti orang gaji kepada rakyat. Sebagaimana pernah dinyatakan oleh Khalifah yang bijaksana, Umar bin Abdul Aziz sewaktu menerima perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah salah seorang daripada kamu, hanyasanya Allah SWT telah menjadikan aku lebih berat bebanannya daripada kamu.”


Dengan keimanan dan ketakutan menerima tanggungjawab sebagai amanah Allah SWT, para ulama dan umara Salafus Saleh sentiasa merasa diri terdedah kepada kesilapan. Walaupun mereka ulama, mereka tidaklah maksum sepertimana para Nabi, mereka mengaku dengan sepenuh ketundukan bahawa setiap langkah dan strategi politik yang diambil boleh jadi silap kerana mereka hanya mampu berijtihad dalam hal itu. 


Para ulama yang ikhlas memperjuangkan Islam dalam arena politik hendaklah memiliki sensitiviti jiwa yang halus, sentiasa memperbaharui niat dan menilai strategi yang dijalankan, bukan untuk keuntungan partinya semata-mata, bahkan hendaklah melihat dari sudut yang lebih luas dan terbuka serta menerima pandangan parti lain demi kepentingan agama. Mereka hendaklah sedar, perjuangan itu bukan untuk parti tetapi untuk umat Islam keseluruhannya dan agama Allah SWT semata-mata. Maka, hendaklah dikikis rasa kebencian dan dendam yang pernah ditoreh oleh parti lain ke atas mereka kerana mengingati Sunnah Rasulullah SAW yang menyeru kepada jihad kerana Allah semata-mata, bukannya kerana membela suatu kaum atau menuntut balas atas kematian keluarga apatah lagi kerana mahukan habuan dunia. 


Para ulama yang mahu menegakkan Islam perlu mengkaji strategi politik Rasulullah SAW yang mahu memaafkan kaum Quraisy padahal merekalah yang telah membunuh bapa saudara yang paling dikasihinya, Hamzah bin Abdul Muttalib RA. Orang-orang kafir Quraisy itulah yang telah merampas harta benda umat Islam pengikut Nabi SAW dan mengusir mereka dari tanahair Mekah, menyiksa bahkan membunuh orang-orang Islam awal yang mereka kasihi. Tetapi, saat terbukanya gerbang kemenangan Fathu Makkah, mereka memasuki Mekah dengan semangat rahmatan lil alamin, semangat perdamaian demi menyatukan kekuatan semata-mata untuk menegak dan menyebarkan lagi agama Islam. 


Pada saat di Madinah, Rasulullah SAW juga sentiasa mengingatkan kaum Aus dan Khazraj supaya jangan sesekali membangkitkan sentimen jahiliyah tentang Peperangan Buath kerana ia boleh menjejaskan kesatuan umat dan melemahkan Islam. Betapa jelas teladan dan contoh yang dicatat oleh sejarah umat ini, bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengamalkan dendam politik walaupun ke atas orang kafir. Inilah uswah hasanah dan sunnah yang wajib diikuti dalam berhadapan dengan mereka yang pernah dimusuhi.


Seandainya orang-orang yang mahu membela Islam dalam arena politik masih memiliki saki baki kudis dendam ke atas golongan dan parti umat Islam yang lain serta menutup pintu serapat-rapatnya dan menolak sebarang bentuk rundingan bagi mencapai perdamaian maka dikhuatiri niat perjuangan mereka tidak lagi murni dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Mungkin telah timbul bibit-bibit niat lain yang berputar-putar sekitar perebutan kuasa, kedudukan dan sentimen kepuakan yang indikatornya adalah saling memuji diri sendiri dan merendahkan puak lain. Semua ini adalah hembusan fitnah habuan dunia dan sifat takbur dengan kekuatan sendiri yang ditiupkan oleh syaitan.


Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya supaya berhati-hati terhadap penyakit hati yang boleh mengharamkan syurga ke atas orang yang dijangkitinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sifat takbur walau sebesar zarrah. Ada seorang lelaki yang berkata: Sesungguhnya ada seorang yang suka memakai pakaian yang cantik dan selipar yang cantik. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan menyukai keindahan. TAKBUR itu ialah menolak kebenaran dan merendahkan sesama manusia.” (Hadis riwayat Muslim)


Selain keikhlasan liwajhillah, sifat memaafkan dan semangat menyatupadukan umat, kekuatan politik Rasulullah SAW juga terletak pada amalan syura. Daulah Islam tidaklah dibina melalui politik kuku besi, bahkan Islam menyeru supaya dipotong kuku-kuku yang mencengkam bahu rakyat, juga dipotong kuku-kuku besi yang menyuruh para pengikut taat dan setia secara membuta tuli, yang memperguna agama sebagai tali pencekik yang mengikat leher umat dan menakut-nakuti mereka dengan gelaran murtad atau kafir.


Daulah Islam bukanlah sebagaimana amalan politik para rahib dan pendita Kristian yang mengamalkan negara teokrasi di Eropah suatu ketika dahulu. Mereka menguasai rakyat dengan undang-undang ciptaan yang dicapkan AGAMA, yang mengikut hawa nafsu dan keinginan sendiri dan mendakwa bahawa kebijakan-kebijakan politik mereka itu adalah suara Tuhan. Mereka mengaku-ngaku kerajaan yang dibina adalah kerajaan Tuhan tetapi sebenarnya rakyat telah ditipu supaya mereka tidak melawan setiap kebijakan politik para Raja yang menjadi sekutu golongan gereja. Rakyat tidak boleh bersuara, membangkang apatah lagi melawan. Kerana suara Tuhan dan para rahibnya lebih berkuasa dari suara rakyat yang hina. Lihatlah betapa liciknya mereka memperbodohkan rakyat. 


Al-Quran telah menceritakan keadaan mereka ini yang bermaksud: “Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai Tuhan-Tuhan selain Allah.” (Surah al-Taubah ayat: 31)


Rahib-rahib itu telah dijadikan seolah-olah Tuhan kerana mereka percaya pemimpin-pemimpin agama yang berkuasa itu semuanya maksum, tidak akan tersilap langkah dan wajib ditaati sebagaimana mereka mentaati Tuhan. Siapa yang membangkang akan dikafirkan bahkan dihalalkan darahnya.


Sedangkan amalan politik Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW ketika mendirikan Daulah Islamiyah sama sekali jauh daripada amalan kuasa absolut di tangan pemimpin tanpa mengambil kira pandangan pengikut dan rakyat. Politik Islam hakikatnya memperjuangkan suara rakyat. Walaupun Rasulullah SAW bersifat maksum tetapi dalam mengambil kebijakan-kebijakan politik yang tidak turun wahyu padanya, baginda SAW sentiasa mengambil kira pandangan para sahabat dan umat Islam keseluruhannya.


Rasulullah SAW pernah bersetuju dengan pandangan Salman al-Farisi dalam perang Khandak, Rasulullah SAW juga mengikuti suara terbesar ketika mengambil keputusan menyerang orang kafir di luar kota Madinah saat perang Uhud. Padahal pandangan Rasulullah SAW pada mulanya adalah menyerang mereka di dalam kota. Tetapi disebabkan Rasulullah SAW melihat ramai di kalangan pemuda-pemuda Ansar yang bersetuju keluar menyerang, akhirnya Rasulullah SAW akur dengan keputusan suara terbanyak, walaupun baginda seorang Rasul yang maksum dan mendapat dokongan wahyu dari langit.


Memelihara perdamaian dan kesatuan umat adalah perjuangan sunnah Rasulullah SAW sedangkan dendam politik dan takbur parti dan kepuakan merupakan benih-benih dosa dan maksiat yang akan meruntuhkan kekuatan umat.


Kuasa memerintah merupakan anugerah Allah SWT dan amanah kepada orang mukmin. Para pembela Islam yang kalah dalam perjuangan politik dunia tetap akan menerima pahala di sisi Allah SWT, maka mereka tidak perlu sedih dan berputus asa. Maka tiada sebab untuk mereka merosakkan niat sucinya kerana inginkan kemenangan dunia semata. Kerana mereka wajib percaya bahawa mereka hanyalah penyambung risalah perjuangan para Nabi dalam membela agama Allah, kalah dan menang hanya sebuah permainan dunia yang akan menjadi dugaan terhadap matlamat dan tujuan akhirat mereka.


Wallahua'lam Bissawab