Isnin, 2 November 2009

Keikhlasan Memperjuangkan Islam




Umar bin al-Khattab adalah seorang pemimpin ulung dan khalifah ternama yang mencatat sejarah sebagai pemimpin utama umat manusia. Ketika menjadi khalifah, beliau berjumpa dengan seorang peminta sedekah yang telah tua dan lemah dari bangsa Yahudi. Beliau terkejut kerana mendapati wujud di kalangan rakyat jelatanya peminta sedekah yang tidak berdaya. Beliau pun bertanya: “Mengapa orang tua ini meminta sedekah?” Lelaki itu menjawab: “Saya adalah pembayar jizyah, wahai Amirul Mukminin.” Mendengar keluhan Yahudi itu Umar terus memerintahkan pegawai kewangan Baitul Mal: “Tidak patut sungguh! Pada waktu muda tenaga orang ini ditumpahkan untuk mencari nafkah hidupnya dan jizyah pula sentiasa dia bayar. Sekarang dia telah tua, maka mengapa kita biarkan dia meminta sedekah. Mulai sekarang hapuskan namanya daripada senarai orang yang dipungut jizyah, lalu pindahkan namanya ke dalam senarai orang-orang fakir miskin yang berhak menerima zakat.”

Adil, rahmat dan toleran. Begitulah seharusnya gambaran Islam apabila ia menjadi dasar pada sebuah Negara. Prof Yusuf al-Qaradawi dalam ‘Al-Khasaisul Ammah Lil Islam’, memberikan pandangan yang lebih luas tentang karakteristik Islam yang merangkumi beberapa nilai-nilai yang utama iaitu nilai ketuhanan, kemanusiaan, universal, moderat dan gabungan transformasi dan konsistensi dalam seluruh ajarannya.

Nilai ketuhanan bermakna segala fahamannya tidak terlepas daripada bimbingan wahyu, kemudian nilai kemanusiaan yang membawa ajaran mengakui dan membela hak asasi manusia sejagat, adapun ciri yang ketiga ialah agama ini memiliki nilai universal iaitu mengatur segenap sistem hidup manusia secara lengkap bukan hanya aspek ibadah saja yang diutamakan tetapi juga sistem politik, ekonomi, sosial, ilmu dan teknologi serta kedaulatan negara dan kekuatan jihad juga diatur dengan sempurna. Yang keempat ialah Islam bersikap moderat, adil dan seimbang berlainan dengan fahaman-fahaman yang dibuat manusia seperti fahaman sosialis yang menghapuskan hak-hak setengah golongan daripada setengah yang lain ataupun fahaman kapitalis yang membebaskan golongan yang kuat memperhamba yang lemah. Islam juga bercirikan transformasi yang dipadu dengan kekuatan konsistensinya terhadap nilai-nilai wahyu. Islam menerima perubahan dan penggabungan nilai-nilai lama dan baru dengan syarat ianya tidak merosak syariahnya yang suci kerana yang menciptanya adalah Allah Yang Maha Suci dari kecacatan.

Islam yang cantik, ideologi yang sempurna, doktrin yang efektif, fahaman yang relevan! Tetapi sayang, ramai orang di luar Islam yang telah diberikan gambaran teruk tentang agama ini, gerak kerja orientalis yang bersepadu telah berjaya menconteng arang ke wajah sejarah Islam ditambah lagi dengan pengaruh media masa kini yang dikuasai kebencian terhadap Islam dan sumbangan besar daripada serpihan-serpihan kumpulan radikal yang mengatas namakan Islam sebagai alat untuk kepentingan peribadi dan golongan yang jelas-jelas bercanggah sama sekali daripada sistem Islam yang suci telah berjaya mencorotkan kedudukan agama kita dari mata dunia.

Jangan salahkan Islam tetapi peribadi yang membawa nama Islam itu yang sebenarnya menjelekkan lagi wajah agama Allah ini. Islam tetap suci tetapi perbuatan seorang muslim yang sepatutnya mesti disucikan kerana mengotori Islam. Banyak sungguh yang menggunakan nama Islam untuk kepentingan peribadi, akibat dari kejahatan ini maka orang-orang komunis berpendapat agama itu candu bagi manusia. Sedangkan yang sekular amat benci mendengar sistem Islam cuba diterapkan dalam ekonomi, politik dan sebahagian aspek kehidupan lainnya mereka mahu memisahkan agama dari kepentingan dunia. Apakah kejahatan yang lebih dahsyat pada agama ini selain mengambilnya jika mendatangkan keuntungan dan membuangnya jika dilihat menjejaskan kepentingan hawa nafsu?

Keuntungan yang didapat dari penjualan nama agama ini bukan dilakukan oleh ahli-ahli perniagaan atau politik sahaja tetapi juga para pendakwah yang mengambil peluang duniawi dalam dakwahnya. Ada yang meminta bayaran untuk khidmat membaca Al-Quran bagi arwah orang yang telah meninggal, kalau begitu bolehlah syurga itu dibeli untuk orang yang sudah mati, asalkan ada duit semuanya boleh diatur?! Amalan-amalan yang langsung tiada sandaran daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW semakin subur. Menambah cela di wajah agama ini. Semua itu kerana desakan kepentingan peribadi, erti  keikhlasan menjadi persoalan adakah memperguna agama boleh diterima sebagai usaha  meninggikan kalimah Allah?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukuman ke atasnya pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Dia dihadapkan kepada Allah kemudian Allah Taala mengingatkannya akan nikmat yang pernah dikurniakan sewaktu di dunia, maka dia pun mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan dengan nikmat yang telah Aku berikan kepadamu itu? Dia menjawab: Nikmat itu telah saya gunakan untuk berperang kerana membela agama-Mu sehingga aku mati syahid. Allah SWT berfirman: Engkau bohong, sebenarnya engkau berperang dengan matlamat supaya engkau dipuji sebagai pemberani dan telah pun dikatakan orang begitu kepadamu.” Orang itu kemudian diheret wajahnya dan dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jika orang yang syahid saja dipersoalkan matlamat jihadnya padahal dialah yang dipuji sebagai pahlawan dan pemberani, bagaimana pula dengan orang yang dicela kerana dengan terang-terangan merompak agama ini dan memperguna Islam demi kepentingan peribadi? Namun demikian kita tidak menafikan masih ada yang memiliki setulus-tulus keikhlasan di dalam memperjuangkan agama.


Allah SWT berfirman tentang karakter umat yang bersih dari segala kepentingan diri, yang bermaksud; “Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya. dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Sifat yang paling menonjol dari dalam diri mereka berjuang ikhlas untuk Islam ialah mereka mahukan perubahan ke arah kebenaran, suka menyebarkan amar makruf dan bergiat aktif menegakkan nahi munkar.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melihat kemunkaran hendaklah ubah dengan tangannya, Jika dia tidak kuasa maka ubahlah dengan lidahnya. Barangsiapa yang tidak kuasa dengan lidahnya hendaklah ubah dengan hatinya, itulah selemah-lemahnya iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Al-Imam Hasan Al-Basri berkata: “Tidak sedikit orang yang mati syahid tetapi bukan di medan perang melainkan di atas katilnya. Iaitu orang yang terus menerus bekerja keras melaksanakan kehendak Allah dan Rasul-Nya dengan menyampaikan dakwah, mempergunakan peluang, atau kekuatan dan kekuasaan yang ada padanya. Sehingga tegaklah kalimah Allah.”


Wallahua'lam Bissawab




Islam Agama Yang Syumul; Bukan Agama Yang Tempang Dan Sekular


Jika anda menilai di antara dua insan yang berlainan imej, anda akan tertanya-tanya siapakah di antara keduanya yang mewakili nilai-nilai Islam sebenar? Sungguh ramai yang keliru manakah yang Islamik dan tidak Islamik. Di antara seorang yang rajin solat dhuha ketika dalam keadaan bertugas dan bekerja, atau yang meninggalkannya kerana tidak mahu membuat pelanggan menunggu hingga menjejaskan kerja dan khidmatnya. Di antara orang yang mengantuk ketika mesyuarat kerana semalaman bertahajud atau orang yang cergas lagi amanah tetapi tidak sembahyang. Ada pula yang kaki masjid tetapi pemalas dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Sedangkan yang berjaya dalam perniagaan selamba saja lupakan Tuhan. Yang bertudung kadang-kadang sama perangai dengan yang bertelanjang, bahkan lebih teruk lagi. Hingga mereka yang membenci tudung dan hijab beralasan dan membuat hukum sendiri; ”Baik tudungkan hati sebelum kepala!”

Semua ajaran Islam menjadi begitu kabur dan luntur di dalam pemikiran mereka. Disebabkan seseorang yang mencemarkan imej Islam maka ramai yang terlalu emosi hingga menidakkan syariat. Begitulah keadaannya ketika menilai paras keislaman seseorang, kadang-kadang kita tertipu oleh pandangan mata zahir semata. Yang lemah-lembut kita kata baik budi walaupun jiwanya terlalu lembut hingga takut menyatakan mana yang hak dan batil sehingga ramai orang yang berpeluang menzaliminya. Sedangkan yang tegas dan rasional dipandang masyarakat sebagai orang yang biadab, walaupun dengan cara itu dia boleh menegakkan yang makruf dan membela maruahnya. Bagaimanakah seharusnya seseorang menegakkan jati dirinya sebagai Muslim sebenar yang mengikut cara dan Sunnah Rasulullah SAW?

Umar bin al-Khattab RA pernah direkomen dengan seorang pemuda yang akan dipilih sebagai pekerja dalam pemerintahan beliau. Mereka yang memilih pemuda itu berkata: “Dia seorang muslim yang amanah, dia sentiasa berada di masjid untuk beribadah.” Umar berkata: “Adakah kamu semua pernah bersama dengannya untuk waktu yang lama? Adakah sesiapa yang pernah bermusafir dengannya? Sesungguhnya kamu semua belum lagi mengenali pemuda itu!

Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadah yang dilakukannya tanpa melihat dari segenap aspek-aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi muslim padanya. Di sinilah Islam meletakkan sistem akhlak sebagai penanda aras kecemerlangan peribadi muslim. Tiga penanda aras yang lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadah dan muamalah. Setiap muslim yang cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan tersebut. Sewajarnya seorang muslim menyempurnakan peribadinya dengan hanya mengambil contoh teladan seorang insan agung, Rasulullah SAW. Tiada yang lain menjadi sandaran dan kekuatan melainkan peribadi baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai para pengikut dan para sahabat yang mengikut sunnahnya dan meneladaninya. Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Barangsiapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain dari itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi.” (Hadis riwayat Muslim)

Jika begitu, setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati saat dia bermaksud melakukan apa-apa jua perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan Sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang-orang yang meninggalkan Sunnah. Seorang muslim juga amat teliti menyaring unsur-unsur asing yang mempengaruhi perilakunya. Dengan ilmu dan kajian dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak menepati. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jikalau mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka! Para sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hari ini, di luar sana kita melihat pemandangan yang mengelirukan tentang imej Islam. Tak nampak perbezaan antara Muslim dengan non Muslim dari segi penampilan, pertuturan dan perwatakan mereka. Akhlak Islam terlalu kabur dalam pemikiran generasi muda yang sudah berkiblat kepada nafsu dan kebendaan. Peranan pembawa mesej Islam juga terlalu kolot dan menakutkan sehingga umat semakin lari daripada agama. Islam tidak dihantar ke hati-hati mereka dengan rahmat dan keindahan Islam. Mereka yang kolot ini suka menggambarkan Islam dengan pelbagai aneka kesusahan dan kesempitan. Segalanya haram dan dosa, sehingga seolah-olah sukar mencari yang halal dan berpahala. Sedangkan bilangan perkara haram yang disebut oleh al-Quran dan al-Hadis itu terhad bilangannya berbanding yang halal. Bagaimana mungkin seseorang yang baru berjinak-jinak dengan Islam dibebankan dengan amaran siksa dan azab padahal sepatutnya mereka diberi khabar gembira dengan luasnya ampunan dan kasih sayang Allah Taala.

Mesej akhlak Islam yang mesra dan mudah sepatutnya diamalkan para pendakwah untuk menarik minat masyarakat kepada ajaran Islam. Begitu pula ahli korporat Muslim seharusnya menampakkan imej cekap dan profesional di dalam menepati nilai ihsan dalam bekerja. Malangnya ramai yang memilih berurusan dengan non muslim disebabkan mereka lebih terkedepan dan amanah dibandingkan orang Islam. Di sinilah kita melihat betapa akhlak amat berpengaruh dalam membina umat. Sebenarnya kecekapan, amanah, profesionalisme, dinamik, progresif dan istilah-istilah seumpama ini berasal dari sistem akhlak Islam yang telah diterapkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan diamalkan secara berterusan oleh umat Islam ketika membina empayar Islam yang ulung pada masa lalu.

Untuk memperolehi kejayaan itu semula, umat Islam mestilah menemukan kembali kekuatan umat dengan berniat di dalam hati bahawa apa saja pekerjaan yang dilakukan hendaklah semata-mata untuk Islam dan anda wajib menjaga nama baik agama ini agar ia tidak tercemar pada perbuatan seharian. Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembab, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang-orang yang mengaku-aku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular mereka yang tempang, yang memisahkan Islam daripada intipati asalnya.


Wallahua'lam Bissawab

Syurga Allah SWT Bukan Tempat Orang Sombong


Zaman terus berputar menentukan naik turunnya keadaan seseorang. Yang miskin menjadi kaya, yang rendah pangkat menjadi tinggi jawatannya, dulu orang tak kenal sekarang sudah menjadi terkenal, disanjung dan dihormati kerana status atau kebolehan yang cemerlang di mata manusia. 


Tetapi bagi mereka yang duduk di atas singgahsana masing-masing, kadang-kadang ia terlalu terpesona oleh dirinya sendiri. Apabila melihat sesuatu yang kurang sempurna, timbul rasa tak selesa kerana diri sudah terbiasa dengan kesempurnaan. Duduk bersama orang-orang yang miskin terasa bosannya, tetapi ada juga yang suka duduk dengan orang yang ‘kurang’ darinya untuk menunjuk-nunjuk ‘kelebihannya’. Bersembang dengan orang yang tidak setaraf baik dari segi ilmu atau jawatan, terasa pelik dan membuang masa. Kerana diri terlalu dikejar oleh impiannya sendiri supaya dapat melompat lebih tinggi walaupun perlu menzalimi orang lain. Biar orang lain perlukan saya, bukan saya yang perlu kepada mereka!

Betapa kasarnya hati orang yang sombong! Dia lupa bukankah dulu dia miskin lalu Allah memberinya rezeki? Bukankah Allah yang meninggikan darjatnya, mengelokkan sebutan namanya di hati dan di bibir manusia? Apakah dia menyangka semua yang diperoleh semata-mata kerana kepintarannya? Kalau begitu, sama saja orang ini seperti Qarun, Firaun bahkan umpama Iblis laknat yang tunjuk pandai di hadapan Allah menolak perintah-Nya. Sungguh merbahaya sifat sombong yang mulai bercambah di hati. Rasulullah SAW telahpun mengingatkan para sahabatnya agar mereka terhindar dari penyakit yang boleh mematikan iman ini. Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu.” Seorang sahabat bertanya: Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang haq dan menghina orang lain.” Hadis riwayat Muslim.

Dua isyarat yang tegas telah dijelaskan dalam hadis ini. Pertama tunduklah kepada kebenaran dan syariat yang diatur oleh Yang Maha Pentadbir Alam Semesta. Yang kedua ialah jangan melakukan sesuatu dengan tujuan menghina orang lain atau merendah-rendahkan mereka, atau yang paling halus lagi hilang hormat dan adab di hadapan mereka.

Semakin tinggi kedudukan seharusnya kita bertambah tawaduk ketika membawa diri. Berikut adalah kisah yang cukup mengharukan yang telah mengajar setiap manusia yang hebat agar mereka tidak bermegah dengan kehebatannya. Di dalam kitab Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin (Taman Orang Yang Bercinta dan Penghiburan Orang Yang Rindu) karya al-Imam Ibnu al-Qayyim diriwayatkan, pada suatu pagi selepas solat Subuh, Saidina Umar bin al-Khattab RA mencari-cari sahabatnya Amirul Mukminin Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA. Beliau hairan kenapa Abu Bakar setiap pagi pergi seorang diri ke suatu tempat di sudut kota Madinah. Apa yang dilakukannya? Pagi itu Umar RA mengikut di belakang Khalifah. Abu Bakar terus berjalan dan masuk ke dalam sebuah khemah. Tidak lama kemudian beliaupun keluar dan Umarpun masuk. Umar RA bertanya kepada penghuni khemah iaitu seorang wanita tua yang buta. “Wahai hamba Allah siapakah kamu? Orang tua itu menjawab: “Saya adalah seorang yang buta, suamiku telah meninggal dunia dan bersamaku anak-anak yang masih kecil.” Lalu Umar bertanya lagi: “Siapa orang yang datang tadi?” Dia menjawab: “Saya tidak tahu, dia datang setiap hari menyapu rumah kami, menyediakan makanan dan memerahkan susu untuk kami.” Umar RA pun menangis kemudian berkata: “Wahai Abu Bakar RA, kamu telah menyusahkan para khalifah yang sesudahmu nanti.”

Begitulah seharusnya seorang manusia yang merendahkan dirinya kerana kita bukan siapa-siapa dan bukan apa-apa kalau Allah SWT tidak berfirman ‘kun’ maka jadilah kita seperti sekarang. Memang patut apabila Allah SWT membenci mereka yang sombong kerana mereka telah mencabar satu sifat dari sifat-sifat-Nya iaitu sifat ‘al-Mutakabbir’, dan mereka telah memakai pakaian keagungan Allah yang bernama Kemegahan dan Kegagahan. Kebencian Allah SWT kepada si penyombong ini terakam di dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang zalim dan sombong akan dihimpun pada hari kiamat dalam rupa semut. Manusia menginjak-injak mereka kerana kehinaan diri mereka di hadapan Allah Azza Wa Jalla.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Adakah wujud manusia yang terlepas dari sifat sombong ini? Jawapannya adalah mustahil. Kita bukan malaikat yang tidak berdosa. Akuilah diri kita ada sifat itu dan buatlah ubat penawar bagi melemahkan ‘kuasa’ kesombongan itu. Antara yang boleh dilakukan ialah;

1. Sombong dari sudut yang zahir seperti kerana paras rupa, nasab keturunan, ilmu, harta, pangkat dan jawatan - Kesombongan ini boleh diubati dengan cara mengingati tentang kemusnahan segala yang dimiliki suatu masa nanti. Hanya kuasa Allah SWT yang melebihi kehebatan manusia. Bukankah dengan mudah Allah SWT boleh menghancurkan diri kita? Pada setiap kali sujud saat kita mencium tanah, ingatlah betapa rendah dan hinanya diri kita. Dahulu kita adalah ‘sesuatu’ yang belum layak dikatakan makhluk kerana setitis mani yang tumpah itu amat memerlukan pertolongan Tuhannya untuk hidup. Kini ia telah menjadi seorang manusia sombong yang lupa kepada asal usul kejadiannya daripada titisan yang hina.


2. Sombong dari segi amal ibadah seperti suka menunjuk-nunjuk kehebatan amalannya dan merendahkan amal orang lain. - Tahukah anda bahawa syurga bukan ditebus dengan amalan sahaja? Menurut sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang dari kalian tidak akan masuk syurga kerana amalnya, dia akan memasukinya kerana rahmat Allah.” Para sahabat bertanya: Dan termasuk Engkau juga wahai Rasulullah? Baginda bersabda: ”Ya, termasuk aku kecuali Allah telah menyelimutiku dengan rahmat-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya rahmat Allah itu akan turun jika kita saling mengasihi. Bagaimana mungkin orang yang sombong memiliki sifat rahmat kepada manusia? Dan apakah ada kemungkinan pintu syurga terbuka luas kepada mereka yang pernah menginjak-injak kehormatan orang lain? Jika kebanyakan manusia membencinya, apakah Allah akan mencintainya?

Wallahua'lam Bissawab


Gejala Keruntuhan Akhlak Generasi Muda Islam


Tiada gunanya tangisan ibu dan ayah yang menyesali perbuatan terkutuk anak-anak mereka yang terlibat kes rogol, mencuri, menagih dadah dan arak bahkan membunuh secara kejam dengan gelaran samseng sekolah. 



Jika tangisan itu ditumpahkan semasa usia anak-anak mereka tujuh tahun alangkah bernilainya harga airmata itu, ia boleh merubah kehidupan sang anak menjadi anak harapan bukan anak buangan seperti sekarang. Dimana peranan ibu bapa? Bukankah pendidikan anak dalam Islam bermula dari persenyawaan benih di dalam rahim lagi dan proses ini berterusan sepanjang hayat. 


Tujuh tahun yang disebutkan dalam hadis Rasulullah agar menyuruh mereka salat menjadi panduan bagi setiap orang tua untuk memulakan sentuhan ruhani pada diri anak disamping mendidik mereka untuk berdisiplin dan berjiwa bersih. Tetapi ada juga sesetengah ibu bapa yang membela diri dengan mengatakan bahawa anak kami telah dididik dan dijaga dengan betul boleh juga terseleweng kerana pengaruh luaran. Maknanya belum memadailah penjagaan mereka itu jika anak mereka boleh terdedah kepada hal-hal negatif tanpa sepengetahuan mereka. Kerana proses mendidik amatlah tersusun, lengkap dengan kualiti metod dan sistem kawalan melalui pendekatan psikologi yang berterusan sampai ke mati. 


Tetapi sayang tidak sedikit ibu bapa yang menyerahkan tanggung jawab mendidik sepenuhnya kepada guru. Sikap tidak peduli dengan perasaan anak dalam tahap-tahap perkembangannya banyak menyumbang kepada kepincangan identiti pada diri anak itu sendiri. Kepada ibu bapa yang belum menitiskan airmata simpanlah segala alasan untuk menyalahkan sesiapapun di luar rumah anda atas keadaan anak-anak anda. +

Budaya Materialisme dan Hedonisme menyumbang kerosakan moral


Seorang sasterawan Jerman, Pruschert (yang meninggal dunia pada tahun 1947) mengungkapkan refleksi perasaannya yang mendalam tentang keputusasaannya terhadap generasi muda pada zaman itu: “Kita adalah generasi tanpa agama, tanpa ketenteraman. Matahari kita sempit dan cinta kita kekejaman, generasi muda kita hilang kemanusiaan. Kita generasi tanpa ikatan, tanpa batasan dan tanpa perlindungan dari siapapun.”
Demikianlah fenomena kehancuran generasi muda di Barat. Pada hakikatnya mereka hidup dengan kesengsaraan diperbudak hawa nafsu tanpa mengenal agama.


Malaysia yang merupakan salah satu negara Islam terbilang di dunia tidak terkecuali menghadapi bahaya kemunduran akhlak sama seperti negara-negara Islam yang lain. Alhamdulillah pemimpin-pemimpin negara sudah dapat merasakan gejalanya sehingga dilancarkan satu kempen kesedaran ummat iaitu Islam hadhari, usaha untuk mengembalikan ummat kepada kemurnian nilai-nilai Islam yang maju dan bertamadun serta menolak unsur-unsur negatif yang merosakkan agama, bangsa dan negara. Diantara tamadun-tamadun yang pernah berdiri megah, tamadun baratlah yang paling berpengaruh pada kehidupan masyarakat dunia sekarang ini. Nilai-nilainya amat cepat menyerap melalui globalisasi dunia tanpa sempadan. 


Pelbagai sistem teknologi menjadi alat transformasi budaya yang sungguh hebat. Sayangnya sistem yang baik dari tamadun barat ini kurang diserap oleh orang Islam bahkan sebaliknya budaya materialisme dan hedonisme (budaya keseronokan) yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak menjadi ikutan generasi Islam. Saat ini kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” rancak dijalankan adakah disebabkan terlalu teruknya perilaku sosial umat ini? Sehingga tergila-gila pada budaya barat yang melupakan nilai-nilai moral dan budaya?  


Montgomery adalah seorang bekas panglima tertinggi angkatan tentera pakatan atlantik utara (Nato) yang pernah menjadi pensyarah maktab tentera British, beliau menumpukan sepenuh perhatiannya kepada mengarang buku-buku dan memberi bimbingan kepada belia-belia di negaranya. Beliau berkata, “Saya pernah ditanya tentang jenayah apakah yang paling jahat yang pernah dilakukan seseorang, jawapan saya ialah perbuatan menyesatkan moral kanak-kanak dan belia. Walau apa hukumanpun tidak akan sepadan dengan manusia seperti ini.”  Sambungnya lagi: “Bukankah kita sekarang hidup di dalam kabus yang menipu, di alam yang dikuasai oleh kebendaan dan melemparkan nilai-nilai keruhanian. Apalah gunanya manusia jika hal ini berlaku di seluruh dunia, hilang jiwanya.” Keperihatinan negarawan British ini terhadap masa depan belia sungguh mengharukan kita sebagai orang Islam. Beliau memperjuangkan nilai-nilai agama kristian dalam sistem pendidikan belia di sana sementara banyak orang kita yang bangga memuja-muja nilai materialisme dan hedonisme dari barat dalam mendidik anak. Apakan jadi bila seorang bapa dengan bangganya memberitahu publik dalam surat khabar bahawa ia sengaja memperuntukkan wang RM 2000,00 seminggu untuk anak-anaknya mengundi rancangan hiburan realiti yang paling disukai ramai. Sementara anak-anak di luar Bandar terpaksa berjalan kaki ke sekolah dengan jarak berpuluh kilometer kerana kemiskinan. Dan kepada ibu bapa di bandar-bandar bahkan di pelosok kampung, yang buat tak tahu dengan sikap anak-anak mereka yang bergaul bebas, lari dari sekolah, hidup untuk kesenangan dan hiburan semata-mata, dimanakah nilai agama hendak ditegakkan? Adakah kemajuan itu diukur dengan mengikut gaya hidup metal, rock, punk, bolywood atau holywood? Siapa sebenarnya yang membiarkan anak-anak rosak, tersesat dan tak berguna?

Kembali kepada pendidikan Islam


Sebelum kehancuran itu menenggelamkan harapan sebuah keluarga, mengapa tidak memperbaiki keadaan dengan memulainya dari para ibu bapa, pendidik, pemuka masyarakat, ulama, pengkaji dan pensyarah, pemimpin politik, para penggiat seni dan budaya, ahli korporat dan semua lapisan masyarakat yang menjadi ikutan generasi akan datang. Berilah contoh teladan yang baik, bimbing anak-anak kita dengan nilai-nilai murni yang berlandaskan agama Allah SWT. Jangan sesatkan mereka dengan ideologi hamba nafsu dan kegilaan syahwat. Jika Motgomery bangga dengan ajaran al-Masih mengapa kita malu menerapkan ajaran Islam sebagai acuan pendidikan di rumah, di sekolah dan di masyarakat?


Sesungguhnya menjaga dan mendidik anak adalah kerja yang paling berat dan mencabar, jangan dipandang remeh pekerjaan yang berupaya menghasilkan insan baru yang akan berjalan dengan ideologi kita, akhlak kita, semangat kita, kepintaran dan intelektual hasil asuhan kita, kerana kitalah yang membentuk mereka. Sabda Rasulullah SAW: ”Anak-anak dilahirkan dalam keadaan suci, ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani.” (Bukhari Muslim)


Tidak sedikit ibu bapa yang lupa bagaimana menyayangi anak. Kerana sayang pada mereka bukan setakat dalam kehidupan di dunia ini saja semestinya bawalah mereka sampai ke akhirat dengan kasih sayang anda untuk hidup bersama di syurga.


Wallahua'lam Bissawab


Cemerlang Disaat Akhir Kehidupan





Keseronokan hidup yang dibentangkan di atas mukabumi yang kita pijak ini akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut ruh dari jasad. Berakhirlah segala kenangan tentang si polan yang dikasihi. Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatupun. Mati juga membangunkan kita dari angan-angan yang panjang tentang kenikmatan hidup yang tak bererti tanpa sifat kekekalan. Dunia adalah permainan dan kehidupan sebenarnya bermula di akhirat. Konsep percaya kepada alam barzakh, hari kebangkitan dan alam akhirat mampu menyedarkan manusia untuk bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan. Mustahil manusia tahu empat hal ghaib ( kelahiran dan kematian, rezeki, amal dan kesudahan hidupnya celaka atau bahagia. Hadis al-Bukhari dan Muslim) yang telah terpatri di Lauh al-Mahfuz. Empat rahsia itu tersimpan di bank data ciptaan Allah Yang Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa. Manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas. Penerokaan akalnya tak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku, supaya ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa hadir pada nalurinya yang paling tajam. Supaya kekuatan iradah menerusi elemen-elemen akal, jasmani dan ruhaninya terus bergejolak menyahut seruan Yang Maha Mencipta. Kerana dunia tempat bermujahadah untuk memenangi akhirat. Semuanya menghasilkan kesedaran bahawa kita semua akan mati. Junjungan mulia Rasul SAW bersabda: ”Perbanyakkanlah olehmu mengingat perosak kelazatan, iaitu mati.” (Hidis riwayat al-Tirmizi)

Kemampuan untuk mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Bila kegembiraan mencurah-curah dari hati, bolehkah kita selipkan peringatan  tentang mati. Bila cita-cita tercapai, kemewahan dikecapi, kebahagiaan tak sudah-sudah, adakah kita ingat besok kita mati dan semua akan musnah? Berhasilkah kita menasihati diri sendiri pada saat-saat kelalaian dan lupa daratan? Sungguh susah mengaplikasikannya kerana kita amat cenderung kepada tarikan cinta dunia dan takut mati. Takut mati yang diamalkan oleh kebanyakan manusia akhir zaman ialah tidak bersedia untuk menghadapi kematian dengan persediaan amal salih. Leka dengan dosa dan kekotoran yang berpalit pada diri. Menunda taubat dan menyangka masih banyak kesempatan untuk peluang terakhir. Padahal setiap hari yang berlalu tanah di pekuburan sentiasa memanggil-manggil, bahkan mengancam manusia yang degil. Sepertimana kekasih yang mulia Rasul SAW bersabda: ”Bahawasanya tidak berlalu satu hari ke atas kubur melainkan kubur berkata (kepada manusia): Akulah rumah perasingan, akulah rumah persendirian, akulah rumah tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat. Dan apabila dikuburkan orang yang bermaksiat dan orang yang kafir maka kubur berkata kepadanya: Tidak ada ucapan selamat datang bagimu, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling kubenci yang berjalan di atasku. Pada hari ini segala urusanmu telah diserahkan  kepadaku maka engkau akan lihat betapa aku akan membalas perbuatanmu. Lalu kubur itu menghimpitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya. (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Saat itu penilaian terhadap diri bermula, penyesalan tak merubah apapun, hanya kesedaran tentang betapa ruginya meremehkan nilai sesuatu amal hatta bersedekah dengan sepotong kurma, sesungguhnya ia boleh menyelamatkan dari api neraka. Maka akan terkenanglah kita pada peluang-peluang yang tak direbut, saat-saat leka dengan hiburan, kemalasan dan menunda ibadat yang menjadi kebiasaan. Dan menangislah mata-mata yang tak pernah menangis (kerana takut pada Allah) dan ketakutan hati-hati yang tak pernah takut. Menggigil sekujur badan yang akan menanggung salah lakunya sendiri. Tidak pernah dalam suatu haripun kecuali pada hari itu ia merasa begitu menyesal dan berputus asa dengan keadaannya. Semua itu kerana peluang kedua sudah tiada lagi.

Sebelum kedatangan maut, adakah kita mempunyai impian pada saat-saat akhir kehidupan? Seperti merancang untuk menikmati kematian dengan tenteram dan meninggalkan orang-orang yang disayang dengan reda dan yang paling penting adalah kerinduan untuk bertemu Allah. Rasulullah SAW bersabda: ”Barangsiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, sesungguhnya Allah pun tidak suka bertemu dengannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pertemuan itu merupakan pertemuan yang paling istimewa. Dengan panggilan istimewa ’nafs muthmainnah’ (jiwa yang tenang) dan ajakan yang mulia (kembalilah kepada Rabbmu) bahkan pelawaan yang amat berharga (masuklah ke dalam syurga-Ku). (Surah al-Fajr) Itulah impian hamba-hamba Allah tentang kematian. Bagi mereka bahagia bukan hanya ketika masih hidup bahkan disaat akhirpun mesti dilalui dengan perasaan bahagia dan reda.

Saat akhir hidup ini mesti ditutup dengan kecemerlangan, berjaya ketika hidup dan saat kematian menjemput. Betapa ruginya mereka yang terperosok masuk ke dalam lubang yang digali syaitan padahal perjalanan panjang yang dilalui sebelum ini dapat dengan mudah dilangkahi. Akhirnya di penghujung jalan terjunam juga kerana tidak berhati-hati dengan perangkapnya. Sepertimana sabda baginda SAW: ”Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu ketentuan yang tertulis lalu iapun mengerjakan amalan ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semoga kita semua dilindungi daripada perkara seperti ini. Cemerlang ketika saat akhir kehidupan sudah semestinya menjadi cita-cita terpenting dalam hidup kita. Biarlah manusia mengenal diri kita dengan kenangan pada kebaikan kita saja. Bukan sebaliknya, kejahatan yang menjadi sebutan ketika mayat dimasukkan ke lahad. Pastikanlah anda melalui kematian dengan persediaan yang rapi, amal yang cukup, sebutan dan kenangan yang baik yang anda tinggalkan untuk mereka yang mengasihi. Kerana impian kita semua adalah husnul khatimah.


Wallahua'lam Bissawab






Membersihkan Diari Hidup Dari Cacatan Dosa


Para penjenayah yang berada di dalam penjara memiliki gelaran yang paling buruk yang diberi oleh masyarakat yang membenci perbuatan mereka. Si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun mereka telah bertaubat, habis masa tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas-bekas banduan ini. Kalaupun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.

Dapatkah dibayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah Allah SWT nanti? Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu sepertimana si penjenayah malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam suratkhabar? Bolehkah muka ini ditutup? Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk mengahadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?

Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Tuhan Pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti. Mengapa Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapan adalah firman Allah SWT yang bermaksud: ”Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku siksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali.” Surah al-Hajj: Ayat 48

Biarlah para pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Kerana Allah SWT Maha Penerima Taubat. Tetapi sayang sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu adalah untuk berpuas-puas terlebih dahulu dan bertaubat kemudian. Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga ia lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongannya nanti. Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak di hujung keghairahan, tetapi ia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti dia terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyiksaan dan pembunuhan yang tak pernah berhujung dengan kematian. Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai siksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh tujuh puluh tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

’Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu baginda bertanya: ”Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: ”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: ”Itu adalah suara batu yang dilemparkan  ke dalam neraka jahanam semenjak tujuh puluh tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” Hadis riwayat Imam Muslim

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini. Mengapa mereka memilih kesenangan haram yang sebentar sahaja di dunia ini? Padahal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah SWT mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya yang bermaksud; ”Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun dari apa yang kamu hitung.” Surah Al-Hajj: Ayat 47

Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan dari keluarganya? Tangisan orang yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anak-anaknya? Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: ”Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun: Ayat 107)

Allah SWT menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya yang bermaksud: ”Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun: 108)

Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah. Barangsiapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di padang mahsyar nanti.

Balasan Allah SWT sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dahulunya tengadah sombong, kecutlah hati yang dahulunya bongkak dan bengkak, menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit. Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan Allah? Jawapannya payung Allah itu hanya untuk tujuh golongan sahaja.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Ada tujuh golongan yang akan mendapat pertolongan Allah SWT pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya iaitu:
1. Pemimpin yang adil.
2. Pemuda yang membesar dalam keadaan sentiasa beribadat kepada Allah.
3. Seseorang yang hatinya dekat dengan masjid.
4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana-Nya.
5. Seorang lelaki yang menolak pujuk rayu wanita bangsawan yang cantik, lalu ia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah.
6. Seorang yang bersedekah sedangkan ia merahsiakannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan tangan kanannya.
7. Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi sehingga menitis air matanya.
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Wallahua'lam Bisswab




Bagaimana Allah SWT Menyiksa Penderhaka




Para penjenayah yang berada di dalam penjara memiliki gelaran yang paling buruk yang diberi oleh masyarakat yang membenci perbuatan mereka. Si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun mereka telah bertaubat, habis masa tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas-bekas banduan ini. Kalaupun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.

Dapatkah dibayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah Allah SWT nanti? Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu sepertimana si penjenayah malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam suratkhabar? Bolehkah muka ini ditutup? Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk mengahadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?

Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Tuhan Pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti. Mengapa Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapan adalah firman Allah SWT yang bermaksud: ”Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku siksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali.” Surah al-Hajj: Ayat 48

Biarlah para pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Kerana Allah SWT Maha Penerima Taubat. Tetapi sayang sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu adalah untuk berpuas-puas terlebih dahulu dan bertaubat kemudian. Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga ia lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongannya nanti. Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak di hujung keghairahan, tetapi ia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti dia terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyiksaan dan pembunuhan yang tak pernah berhujung dengan kematian. Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai siksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh tujuh puluh tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

’Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu baginda bertanya: ”Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: ”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: ”Itu adalah suara batu yang dilemparkan  ke dalam neraka jahanam semenjak tujuh puluh tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” Hadis riwayat Imam Muslim

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini. Mengapa mereka memilih kesenangan haram yang sebentar sahaja di dunia ini? Padahal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah SWT mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya yang bermaksud; ”Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun dari apa yang kamu hitung.” Surah Al-Hajj: Ayat 47

Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan dari keluarganya? Tangisan orang yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anak-anaknya? Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: ”Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun: Ayat 107)

Allah SWT menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya yang bermaksud: ”Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun: 108)

Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah. Barangsiapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di padang mahsyar nanti.

Balasan Allah SWT sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dahulunya tengadah sombong, kecutlah hati yang dahulunya bongkak dan bengkak, menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit. Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan Allah? Jawapannya payung Allah itu hanya untuk tujuh golongan sahaja.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Ada tujuh golongan yang akan mendapat pertolongan Allah SWT pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya iaitu:


1. Pemimpin yang adil.
2. Pemuda yang membesar dalam keadaan sentiasa beribadat kepada Allah.
3. Seseorang yang hatinya dekat dengan masjid.
4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana-Nya.
5. Seorang lelaki yang menolak pujuk rayu wanita bangsawan yang cantik, lalu ia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah.
6. Seorang yang bersedekah sedangkan ia merahsiakannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan tangan kanannya.
7. Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi sehingga menitis air matanya.
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Wallahua'lam Bisswab




Zuhud Bukan Bermakna Membenci Dunia





Suatu hari Abdullah bin Abbas RA memakai pakaian yang paling indah dan mahal berharga 10.000 dirham. Beliau bermaksud mengadakan dialog dengan kaum Khawarij yang memberontak. Orang-orang Khawarij adalah golongan yang kuat beribadat tetapi mengenepikan ilmu dan tidak mahu mempelajari al-Quran, Fiqh dan Hadis. Mereka terkenal sebagai kaum yang degil, berpuak-puak dan membenci sesiapa saja yang tidak sefahaman dengan mereka.

Abdullah bin Abbas RA mandi dan memakai wangian yang paling harum, menyikat rambutnya dan mengenakan pakaian yang paling indah dan bersih. Beliau akan berhadapan dengan orang-orang degil yang memakai baju bertampal-tampal, muka yang berdebu dan kusut masai. Mereka berkata: “Kamu adalah anak bapa saudara Rasulullah SAW. Mengapa kamu memakai pakaian seperti ini? Abdullah bin Abbas RA menjawab: “Apakah kalian lebih tahu tentang Rasulullah SAW berbanding saya?” Mereka berkata: “Tentulah kamu yang lebih tahu.” Abdullah berkata lagi: “Demi Allah yang jiwaku dalam genggaman-Nya, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW berpakaian dengan mengenakan perhiasan yang berwarna merah dan itu adalah sebaik-baik perhiasan.”

Aisyah RA pada suatu ketika melihat sekumpulan pemuda yang berjalan dalam keadaan sangat lemah, pucat dan kelihatan malas. Beliau bertanya: “Siapakah mereka itu?” Para sahabat menjawab: “Mereka itu adalah kumpulan ahli ibadat.” Kemudian Aisyah RA berkata: “Demi Allah, yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya Umar bin al-Khattab RA adalah orang yang lebih bertakwa dan lebih takut kepada Allah SWT berbanding mereka itu. Kalau beliau berjalan, beliau berjalan dengan cepat dan tangkas. Apabila bercakap, beliau dalam keadaan berwibawa, jelas kedengaran percakapannya dan apabila beliau memukul, pukulannya terasa sakit.”

Hal ini semua berlaku adalah akibat memahami ilmu secara kurang menyeluruh, memberatkan hal ibadat yang sebenarnya mudah, sampai ke tahap berlebih-lebihan dan menyusahkan diri. Begitulah keadaan sebahagian umat Islam yang lupa kepada wasiat Rasulullah SAW yang telah disampaikan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal RA ketika beliau dikirim menjadi Duta dakwah ke negeri Yaman. Kata baginda yang maksudnya: “Wahai Muaz, mudahkanlah setiap urusan, jangan memberat-beratkannya.”

Apakah agama Islam mengajar untuk membenci dunia? Kalau begitu, mengapa Abu Bakar al-Siddiq boleh berbangga dengan harta kekayaannya untuk membela agama Allah? Begitu juga dengan Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin ‘Affan yang mengeluarkan perbelanjaan membiayai gerombolan tentera Allah dengan wang dari poket mereka sendiri. Adakah Rasulullah SAW melarang mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk meraih keuntungan duniawi?

Bahkan di dalam Al-Quran Allah SWT menegaskan bagi sesiapa yang menolong agama Allah mereka wajib mempunyai bekalan. Firman-Nya yang bermaksud: ”Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh-musuhmu.” Surah al-Anfal: Ayat 60

Bagaimanakah Islam akan menang jika umatnya adalah mereka yang berada dalam skala Negara Dunia Ketiga? Negara miskin dan terkebelakang serta dikuasai oleh musuh-musuhnya. Apabila mereka hendak membeli makanan, mereka terpaksa meminta belas ihsan orang kafir. Apakah zuhud itu bererti membiarkan dunia dimiliki dan dikuasai oleh musuh Allah? Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: ”Apabila emas seberat gunung diamanahkan kepadaku, aku tidak akan tidur selagi ia tidak habis dimanfaatkan untuk umat Islam.”

Sebagai panduan bersama, ingatlah pandangan Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah. Beliau berkata: ”Zuhud itu adalah kamu meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah untuk akhiratmu.”

Harta yang halal hendaklah dipastikan dikeluarkan pada tempat-tempat yang halal. Jangan mencari di lubuk yang halal sahaja tetapi membelanjakannya pada jalan maksiat. Atau kebalikannya, mengambil dari sarang penyamun dan membelanjakannya untuk ibadat. Itu semua bertentangan dengan perintah Allah SWT. Orang beriman percaya harta adalah titipan dan amanah Allah, pinjaman sementara dan bila-bila sahaja Dia mahukannya, akan lenyaplah ia dari tangan kita. Cukuplah ia berada dalam genggaman tangan, jangan masuk menguasai hati nurani.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya tentang seorang lelaki yang memiliki harta kekayaan sebanyak 100,000 dinar wang emas. Bolehkan dia dikatakan sebagai seorang yang zahid? Beliau menjawab: ”Lelaki itu dikatakan zuhud apabila ada dua sifat:


  1. Tidak terlalu bergembira ketika hartanya bertambah.
  2. Tidak terlalu berdukacita apabila hartanya berkurangan.” 
Nikmatilah dunia dan segala kesenangannya tetapi pastikan harta yang dimiliki tidak menahan langkah di akhirat kelak dan melambatkan perjalanan ke pintu syurga. Kerana semakin banyak harta, maka pasti semakin rumit hisab perhitungan yang dilakukan, kecuali harta yang halal yang dibelanjakan untuk keredaan Allah. Jika Bahagian Pencegah Rasuah (BPR) datang menyiasat harta dan ia adalah suatu yang menggerunkan, maka bagaimana dengan penyiasatan mahkamah Allah nanti, yang pasti memiliki segala bukti?


Wallahua'lam Bissawab





Muhasabah mengenang catatan sejarah kehidupan anak manusia di dunia dan akhirat






Kita kini sudah berada didalam peringkat akhir tahun. Tidak sampai dua bulan lagi, tahun baru yang akan disambut sebentar saja lagi telah meninggalkan catatan-catatan sejarah yang terukir dalam diari kehidupan setiap insan. Masanya untuk kita bertafakkur meraba nilai-nilai diri yang dicalit oleh tinta yang penuh noda. Hitam dan putih, dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan, untung dan rugi, kegagalan dan kejayaan, semua itu mematangkan pasti peribadi. Rasanya baru sekejap anak-anak dilahirkan, merangkak dan berlari, kini sama tinggi dengan ayah dan ibu mereka. Melihat cermin, nampak kulit semakin kedut, uban tumbuh di sana sini, hari-hari semakin sibuk melayari dunia yang mencabar keimanan.

Ada satu amalan yang paling sesuai dilakukan malam ini, bukalah album kenangan masa lalu yang letakkan ia di hati. Singkap lembaran demi lembaran yang mengandungi gambar-gambar tentang kehidupan kita. Kemudian cubalah memikirkan beberapa persoalan tentang takdir anda yang telah dilalui sepanjang tahun ini. Betapa lemahnya daya ingatan kita, apatah lagi mahu menjawab beberapa soalan yang menjadi rahsia Tuhan ke atas diri kita.

Mungkin ada yang menolak takdir ke atas dirinya, tapi setelah dijalani akhirnya Tuhan telah membuka matanya melihat bahawa takdir itu baik dan membawa kebahagiaan dalam hidupnya. Allah Taala Maha mengasihi hamba-hambanya yang reda lagi berusaha mempertingkatkan kualiti diri walaupun mereka diuji dengan cabaran-cabaran dunia. Allah Taala berfirman yang bermaksud: ”Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanaman-tanaman di bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-pemliknya mengira bahawa mereka pasti menguasasinya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami pada waktu malam atau siang, lalu kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanaman-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin. Demikianlah kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang berfikir.

Apa saja pencapaian yang telah kita perolehi atas hasil usaha kita di dunia ini hanyalah setitis daripada rahmat-Nya yang dituangkan ke dalam hati kita. Begitu juga kegagalan dan musibah yang berlaku adalah supaya kita lebih dekat kepada Allah SWT dan bergantung sepenuh pengharapan setelah sebelumnya kita berasa gagah dan hebat menguasai medan-medan kehidupan.

Ketika membuka album hati yang menyimpan rahsia diri, seorang hamba Allah SWT akan menjumpai kecacatan dan aib diri yang apabila tersingkap pasti sungguh memalukan. Tetapi Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia akan benar-benar membuka segala-galanya pada hari penghisaban nanti. Bolehkah anda membayangkan jika di dunia ini Allah Taala membuka satu persatu rahsia kita di hadapan manusia? Pastinya kebencian dan penghinaan yang akan kita dapat setiap hari. Al-Imam Muhammad bin Wasi’ pernah berkata: ”Seandainya dosa itu dapat dicium baunya, tentu tiada seorangpun manusia mahu mendekati diriku.”

Untuk itu, Umar RA berwasiat: ”Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab dan timbanglah amalmu sebelum kamu ditimbang kerana sesungguhnya kamu melakukan hisab terhadap dirimu sendiri pada hari ini akan lebih memudahkan bagi kamu menjalani hisab pada hari kiamat.”

Al-Quran telah menceritakan keadaan manusia ketika menghadapi penghisaban di mahkamah Allah Taala yang bermaksud: ”Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis) dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun".

Sesungguhnya amalan muhasabah diri lebih baik daripada ibadah sepanjang malam dalam keadaan hati dibiarkan lalai. Bagaimanakah cara kita mengetahui adakah hati kita lalai atau tidak? Rasulullah SAW menilai kelalaian hati dengan jauhnya seseorang daripada membaca Al-Quran dan merenungi dirinya. Sesuai dengan sabda baginda SAW yang bermaksud: ”Barangsiapa yang melakukan qiyam dengan membaca sepuluh ayat, maka dia tidak akan dicatat sebagai orang yang lalai. Barangsiapa yang membaca seratus ayat, maka dia dicatat sebagi orang yang khusyuk. Dan barangsiapa yang membaca seribu ayat maka dia dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang memperoleh pahala yang melimpah-limpah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tanda-tanda kelalaian berkait rapat dengan sengatan hawa nafsu ke atas hati kita. Rasulullah SAW sentiasa berdoa sebelum memulakan khutbahnya yang bermaksud: ”Segala puji bagi Allah, kami memohon pertolongan, petunjuk dan ampunan kepada-Nya dan kami memohon perlindungan daripada keburukan hawa nafsu dan dosa-dosa kami.”

Hawa nafsu pada hakikatnya adalah bekalan bagi manusia untuk menjalani kehidupan. Ia bersifat tercela melainkan bagi mereka yang dirahmati Allah SWT sesuai dengan perkataan Nabi Yusuf di dalam al-Quran yang bermaksud; Karena Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha penyanyang. (Surah Yusuf ayat 53).

Saat bermuhasabah, kita boleh merasai apakah kekuatan yang selama ini menunggangi keperibadian kita? Apakah kekuatan hawa nafsu ataukah keimanan? Di dalam diri kita hanya ada dua kekuatan itu, silih berganti yang satu memenangi perlawanan terhadap yang lain. Perlawanan itu berlangsung sepanjang hayat kita hingga akhirnya. Firman Alllah Taala yang bermaksud: Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya. Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.

Setelah beribu batu perjalanan ditempuhi, eloklah berhenti sejenak sambil bertafakkur untuk memastikan adakah jalan itu betul dan lurus sesuai dengan matlamat asal kita. Dari mana kita datang, untuk apa kita berjalan dan ke mana kita kita tuju? Kembalilah kepada Allah sebelum segalanya berakhir dengan kesengsaraan yang abadi. Firman Allah SWT yang bermaksud; Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).

Tidak ada ucapan selamat kepada mereka yang menyia-nyiakan hidupnya walaupun setiap tahun mereka menyambut perayaan tahun baru dengan gilang-gemilang. Yang sepatutnya diberi ucapan itu adalah orang-orang yang cekal dan gigih memperjuangkan imannya hingga menemui Tuhannya dengan hati yang reda.


Wallahua'lam Bissawab