Keseronokan hidup yang dibentangkan di atas mukabumi yang kita pijak ini akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut ruh dari jasad. Berakhirlah segala kenangan tentang si polan yang dikasihi. Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatupun. Mati juga membangunkan kita dari angan-angan yang panjang tentang kenikmatan hidup yang tak bererti tanpa sifat kekekalan. Dunia adalah permainan dan kehidupan sebenarnya bermula di akhirat. Konsep percaya kepada alam barzakh, hari kebangkitan dan alam akhirat mampu menyedarkan manusia untuk bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan. Mustahil manusia tahu empat hal ghaib ( kelahiran dan kematian, rezeki, amal dan kesudahan hidupnya celaka atau bahagia. Hadis al-Bukhari dan Muslim) yang telah terpatri di Lauh al-Mahfuz. Empat rahsia itu tersimpan di bank data ciptaan Allah Yang Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa. Manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas. Penerokaan akalnya tak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku, supaya ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa hadir pada nalurinya yang paling tajam. Supaya kekuatan iradah menerusi elemen-elemen akal, jasmani dan ruhaninya terus bergejolak menyahut seruan Yang Maha Mencipta. Kerana dunia tempat bermujahadah untuk memenangi akhirat. Semuanya menghasilkan kesedaran bahawa kita semua akan mati. Junjungan mulia Rasul SAW bersabda: ”Perbanyakkanlah olehmu mengingat perosak kelazatan, iaitu mati.” (Hidis riwayat al-Tirmizi)
Kemampuan untuk mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Bila kegembiraan mencurah-curah dari hati, bolehkah kita selipkan peringatan tentang mati. Bila cita-cita tercapai, kemewahan dikecapi, kebahagiaan tak sudah-sudah, adakah kita ingat besok kita mati dan semua akan musnah? Berhasilkah kita menasihati diri sendiri pada saat-saat kelalaian dan lupa daratan? Sungguh susah mengaplikasikannya kerana kita amat cenderung kepada tarikan cinta dunia dan takut mati. Takut mati yang diamalkan oleh kebanyakan manusia akhir zaman ialah tidak bersedia untuk menghadapi kematian dengan persediaan amal salih. Leka dengan dosa dan kekotoran yang berpalit pada diri. Menunda taubat dan menyangka masih banyak kesempatan untuk peluang terakhir. Padahal setiap hari yang berlalu tanah di pekuburan sentiasa memanggil-manggil, bahkan mengancam manusia yang degil. Sepertimana kekasih yang mulia Rasul SAW bersabda: ”Bahawasanya tidak berlalu satu hari ke atas kubur melainkan kubur berkata (kepada manusia): Akulah rumah perasingan, akulah rumah persendirian, akulah rumah tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat. Dan apabila dikuburkan orang yang bermaksiat dan orang yang kafir maka kubur berkata kepadanya: Tidak ada ucapan selamat datang bagimu, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling kubenci yang berjalan di atasku. Pada hari ini segala urusanmu telah diserahkan kepadaku maka engkau akan lihat betapa aku akan membalas perbuatanmu. Lalu kubur itu menghimpitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya. (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Saat itu penilaian terhadap diri bermula, penyesalan tak merubah apapun, hanya kesedaran tentang betapa ruginya meremehkan nilai sesuatu amal hatta bersedekah dengan sepotong kurma, sesungguhnya ia boleh menyelamatkan dari api neraka. Maka akan terkenanglah kita pada peluang-peluang yang tak direbut, saat-saat leka dengan hiburan, kemalasan dan menunda ibadat yang menjadi kebiasaan. Dan menangislah mata-mata yang tak pernah menangis (kerana takut pada Allah) dan ketakutan hati-hati yang tak pernah takut. Menggigil sekujur badan yang akan menanggung salah lakunya sendiri. Tidak pernah dalam suatu haripun kecuali pada hari itu ia merasa begitu menyesal dan berputus asa dengan keadaannya. Semua itu kerana peluang kedua sudah tiada lagi.
Sebelum kedatangan maut, adakah kita mempunyai impian pada saat-saat akhir kehidupan? Seperti merancang untuk menikmati kematian dengan tenteram dan meninggalkan orang-orang yang disayang dengan reda dan yang paling penting adalah kerinduan untuk bertemu Allah. Rasulullah SAW bersabda: ”Barangsiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, sesungguhnya Allah pun tidak suka bertemu dengannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pertemuan itu merupakan pertemuan yang paling istimewa. Dengan panggilan istimewa ’nafs muthmainnah’ (jiwa yang tenang) dan ajakan yang mulia (kembalilah kepada Rabbmu) bahkan pelawaan yang amat berharga (masuklah ke dalam syurga-Ku). (Surah al-Fajr) Itulah impian hamba-hamba Allah tentang kematian. Bagi mereka bahagia bukan hanya ketika masih hidup bahkan disaat akhirpun mesti dilalui dengan perasaan bahagia dan reda.
Saat akhir hidup ini mesti ditutup dengan kecemerlangan, berjaya ketika hidup dan saat kematian menjemput. Betapa ruginya mereka yang terperosok masuk ke dalam lubang yang digali syaitan padahal perjalanan panjang yang dilalui sebelum ini dapat dengan mudah dilangkahi. Akhirnya di penghujung jalan terjunam juga kerana tidak berhati-hati dengan perangkapnya. Sepertimana sabda baginda SAW: ”Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu ketentuan yang tertulis lalu iapun mengerjakan amalan ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Semoga kita semua dilindungi daripada perkara seperti ini. Cemerlang ketika saat akhir kehidupan sudah semestinya menjadi cita-cita terpenting dalam hidup kita. Biarlah manusia mengenal diri kita dengan kenangan pada kebaikan kita saja. Bukan sebaliknya, kejahatan yang menjadi sebutan ketika mayat dimasukkan ke lahad. Pastikanlah anda melalui kematian dengan persediaan yang rapi, amal yang cukup, sebutan dan kenangan yang baik yang anda tinggalkan untuk mereka yang mengasihi. Kerana impian kita semua adalah husnul khatimah.
Wallahua'lam Bissawab