Hari ini ramai yang menyambut hari baru dengan penuh kesyukuran. Yang pasti satu hari lagi peluang hidup berkurang. Entah tinggal berapa hari lagi baki yang masih ada. Rahsia yang Maha Kuasa tiada siapa boleh menembusi ruang-Nya. Ajal, jodoh, rezeki dan titik akhir yang menjadi penentu bahagia ataukah sengsara menjadi persoalan yang tak mungkin terjawab. Saat menyambut hari bahagia setiap hari, eloklah kita meneliti arah garis nasib masa hadapan. Mampukah kita merubah nasib dan bukan berserah kepada nasib?
Rasulullah SAW mengingatkan kita agar sentiasa gerun memikirkan misteri takdir manusia menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang terkumpul kejadiannya dalam perut ibu selama empat puluh hari berupa mani, kemudian empat puluh hari berupa darah, kemudian berupa daging seperti itu juga. Lalu diutus malaikat meniup roh di dalamnya dan diperintahkan mencatat empat perkara iaitu; Rezeki, ajal, amal perbuatan dan nasib sial atau untungnya. Demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang itu adakalanya melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dia dan syurga hanya selangkah sahaja. Maka sesungguhnya telah tertulis di dalam Kitab dan dia berubah melakukan perbuatan ahli neraka sehingga masuk ke dalamnya. Dan seseorang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga tidak jauh jarak antara dirinya dan neraka melainkan selangkah saja, maka telah tertulis dalam catatan Kitab dia melakukan amal ahli syurga dan masuk ke dalamnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Suatu ketika anda berjumpa dengan fenomena pelik yang menyimpan kenangan sepuluh atau dua puluh tahun lalu. Takjub dan hairan berjumpa dengan kawan lama, mengapa lelaki ini boleh berjaya mengatasi anda padahal sepuluh tahun yang lalu dia bukan siapa-siapa. Akhirnya nasib nyata boleh berubah, Allah Taala tidak pernah berbuat zalim kepada makhluk-Nya, siapa yang berusaha pasti akan dapat hasil yang sesuai dengan usahanya itu. Tetapi ramai pula yang berputus asa, mereka berkata: ”Nasib tidak menyebelahi aku. Setiap kali berniaga pasti muflis, nak minta projek ke sana ke mari macam peminta sedekah tak juga dapat. Bila aku boleh kaya? Tuhan dah tetapkan nasib aku sentiasa sial, tak payahlah buat kerja sungguh-sungguh, tak berfaedah, semua tak menjadi.”
Apakah ubat bagi orang yang berputus asa dan berserah kepada nasib.
1. Kalau takdir anda buruk berlarilah menuju takdir yang baik.
Tiada siapa yang tahu suratan nasib yang melingkari perjalanan hidup di dunia ini. Susah senang silih berganti menjadi lumrah alam. Tiada kata putus untuk memahami takdir diri anda. Tak akan mampu akal manusia mencapai rahsia Allah itu. Hikmahnya adalah supaya kita tidak melampau di dalam kesombongan. Ada masa sihat kadang kala jatuh sakit, kaya sebentar lalu miskin tiba-tiba. Ketika berkuasa beringat suatu hari nanti kerajaannya akan jatuh ke tangan orang lain. Semua berputar dalam genggaman Allah Taala, supaya kita tahu kita tidak mampu mencabar kuasa Allah SWT. Maka diciptakan manusia dalam keadaan tidak mengetahui takdir dirinya sendiri. Dia serba lemah dan jahil. Supaya manusia sentiasa berharap kepada Allah SWT dan memohon dikurnia nasib yang baik dan berusaha berlari daripada takdir yang buruk menuju takdir yang baik.
Allah SWT tidak akan menolong sesiapa yang tak mahu menolong dirinya sendiri. Jadi tiada alasan bagi seorang Muslim menyerah kepada nasibnya. Jangan salahkan takdir, kerana perjalanan hidup anda belum selesai dan ia telah tertulis di Lauh Mahfuz. Sepertimana kata-kata hikmah yang dilontarkan Umar Al-Khattab tentang takdir manusia; ”Sesungguhnya kita berlari dari takdir buruk kepada takdir yang baik.” Semua itu rahsia Allah SWT. Anda masih mampu merubah keadaan buruk menjadi yang baik atas izin Allah Taala.
2. Lonjakkan energi positif dalam diri anda.
Kejayaan hanya akan didapat setelah anda betul-betul mengalami tekanan. Semakin tertekan semakin kuatlah usaha anda untuk keluar daripada tekanan itu. Begitulah kehidupan, setiap manusia memiliki energi positif yang melayakkannya tetap bertahan mengharungi mara bahaya. Energi positif itu telah merubah seorang yang tidak dikenal dan bukan siapa-siapa menjadi orang ternama. Ia berada pada jiwa orang yang lahir di tengah-tengah mangsa kemiskinan kemudian memberi kekuatan pada seluruh jiwa raganya sehingga dia mampu melepaskan diri dari belenggu kemiskinan yang telah diwarisi secara turun temurun. Energi positif itu seolah-olah bisikan Tuhan yang mengusik air mata taubat para penjenayah yang pekak telinga mereka daripada mendengar nasihat orang-orang mulia lagi warak.
Jika manusia telah kehilangan energi positif ini seolah-olah dia telah menjadi mayat sebelum dicabut rohnya. Hidup tidak berguna sama sekali, ada dan tiadanya tidak memberi kesan kepada alam maya ini. Apabila kita memiliki energi positif ini, berbahagialah orang-orang di sekeliling kita. Mereka rasa selesa berdampingan dengan kita. Adaptasi sosial yang kita jalinkan begitu indah dan kemas, jauh dari penyimpangan yang menyakitkan hati. Begitulah gambaran seorang mukmin menerusi sabda baginda SAW yang bermaksud: ”Mukmin yang terbaik adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain.”
Seperti seorang bapa yang memegang tangan anaknya dengan lembut, matanya yang redup menitipkan semangat positif ke jiwa si anak, ibunya pula mengungkapkan bahasa indah mengandungi hikmah dan nasihat mengiringi langkah-langkah kecil anak-anaknya menghirup khazanah ilmu. Seperti seorang yang sakit dan diramal tak akan dapat disembuhkan lagi, energi positif itu telah membangunkan jiwanya yang masih menyimpan kekuatan untuk menghabiskan sisa hidup dengan amal yang bermanfaat bagi orang lain. Setiap saat menjadi peluang untuk memperbaiki hubungannya dengan Allah Taala dan manusia di sekelilingnya.
Sesungguhnya energi positif itu berasal daripada kuasa Allah Taala. Yang membuka mata hati kita sehingga mampu melihat hikmah kebaikan di bawah tompokan ujian kehidupan. Membuat anda mampu tersenyum, memujuk hati yang luka dan melupakan rasa sakit yang menghiris-hiris kalbu. Rasulullah SAW pernah memohon kepada Allah SWT agar diberi energi positif yang berasal daripada Nur Allah Taala. Dalam doa baginda memohon kepada Allah agar menghapuskan kesedihannya kerana penghinaan dan kekejaman yang dilakukan penduduk Taif. Baginda SAW berdoa supaya hilang segala kesedihan dan rasa putus asa: ”Aku berlindung kepada Nur Wajah-Mu yang mulia yang memberi cahaya kepada langit dan bumi dan yang menyinari segala yang gelap-gelita. Dan menjadi baik kerananya segala urusan dunia dan akhirat.”
Jika hati telah diterangi oleh cahaya Allah SWT, serta merta kekuatan itu bangkit dan menghidupkan jiwa raga kita, jadi tiada alasan untuk berserah kepada nasib yang tak pasti.
Wallahua'lam Bissawab