Amirul Mukminin Khalifah Sulaiman bin Abdul-Malik merupakan sepupu kepada Umar bin Abdul Aziz. Hubungan mereka berdua sangat erat sehingga khalifah menamakan Umar bin Abdul Aziz sebagai pewaris tahtanya. Walaupun kaum kerabat khalifah tidak menyukai namun demikian khalifah tetap meneruskan hasratnya itu kerana Umar amat taat kepada agama. Seorang Menteri dan penasihat khalifah yang terkenal alim lagi warak bernama Raja’ bin Haiwah menasihati Sulaiman sewaktu akhir hayatnya; "Wahai Amirul Mukminin, antara perkara yang menyebabkan engkau akan dijaga di dalam kubur dan menerima syafaat dari Allah di akhirat kelak adalah apabila engkau tinggalkan untuk orang Islam khalifah yang adil, maka siapakah pilihanmu?". Jawab Khalifah Sulaiman, "Aku melihat Umar Ibn Abdul Aziz".
Suatu hari, sewaktu pemerintahannya, Sulaiman mengajak Umar ke kem tentera Bani Umayyah. Sulaiman bertanya kepada Umar "Apakah yang kamu lihat wahai Umar bin Abdul-Aziz?" Khalifah nampak terlalu bangga ketika melihat kekuatan pasukan yang telah dilatih. Namun Umar menjawab tanpa rasa takut: "Aku sedang melihat dunia itu sedang dilahap antara satu sama lain, dan engkau adalah orang yang paling bertanggungjawab dan akan ditanyakan oleh Allah mengenainya".
Khalifah Sulaiman berkata lagi "Tidakkah kamu takjub dengan kehebatan pemerintahan kita ini?" Jawab Umar lagi, "Bahkan yang paling hebat dan membuatku takjub ialah orang yang mengenali Allah kemudian menderhakai-Nya, mengenali syaitan kemudian mengikutinya, mengenali dunia kemudian condong kepadanya".
Mengamati perbualan di antara khalifah dan sahabat sejatinya Umar bin Abdul Aziz itu jelas terlihat keikhlasan dan cinta kasih di dalam perhubungan dua insan atas nama persahabatan dunia akhirat. Sulaiman menangis setiap kali Umar menasihati dengan penuh kasih sayang. Kedua bapa mereka iaitu, Abdul Malik dan Abdul Aziz merupakan adik beradik dari keturunan kerajaan Bani Umayah. Pertalian darah ini merapatkan hubungan mereka. Namun yang paling ketara ialah pertalian hati yang ikhlas kerana Allah Taala dalam mencintai saudaranya.
Teman yang paling rapat kadang-kadang boleh menjadi musuh dalam selimut melainkan orang-orang yang dipelihara Allah hati mereka dari khianat, dengki yang disembunyi dan dendam yang dipendam. Dunia telah menunjukkan kesudahan orang-orang yang teraniaya angkara teman sendiri, ada yang muflis disebabkan mahu meolong kawan. Dipenjara kerana membela orang yang istimewa baginya tetapi orang tersebut akhirnya langsung tidak mengenal budi dan jasa sahabatnya itu. Semua terjadi kerana sikap kepura-puraan, bermuka-muka dan saling mengampu. Hubungan yang langsung tidak diasaskan dengan kejujuran, keimanan dan ketakwaan kepada Allah Taala.
Al-Quran telah mengabadikan kejujuran dan keikhlasan persahabatan di antara Muhajirin dan Anshar dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin) dan mereka (Anshar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung.” (Surah Al-Hasyr ayat: 9)
Syarat-syarat tali persaudaraan boleh menjadi kukuh menurut Al-Quran ialah: Jika anda dan sahabat anda disatukan oleh ikatan iman. Bukan kerana ikatan perniagaan, parti politik atau asabiyah jahiliyah. Ketiga-tiganya terlalu rapuh untuk dipegang, bahkan dua orang insan boleh dirosakkan oleh hubungan sebegitu. Kalau untung boleh jadi kawan, rugi pula saling tikam menikam. Masa berkuasa semua menyokong jika jatuh tanpa kuasa tiada seorang pun mahu menolong. Begitu pula di dunia mereka boleh jadi sahabat rapat yang saling menguntungkan tetapi di akhirat mereka menjadi musuh yang saling cela mencela. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud: “Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Zukhruf ayat: 67)
Semasa di dunia mereka saling tolong menolong pada jalan yang batil, jika seseorang melakukan kejahatan maka sahabatnya itu malah memuji dan mengampu kerana mahu mengambil sempatan di atas kelemahan saudaranya. Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud telah meriwayatkan daripada Abi Bakrah RA, beliau berkata: Seorang lelaki telah memuji-muji seseorang di sisi Rasulullah SAW kemudian baginda bersabda yang bermaksud: “Engkau telah memotong leher sahabatmu. Barangsiapa yang memuji saudaranya dengan tidak dapat dielakkan juga, maka hendaklah dia berkata: “Aku menilai si polan. Dan Allah yang menjadi penilai yang sebenar, seseorang tidak boleh mensucikan seseorang melebihi Allah.”
Oleh itu para sahabat Rasulullah SAW amat membenci perbuatan suka mengampu, padahal mereka memang selayaknya mendapat pujian. Seorang lelaki telah memuji Abdullah bin Umar RA, katanya: “Wahai sebaik-baik manusia, wahai anak sebaik-baik manusia.” Maka Ibu Umar berkata: Aku bukan sebaik-baik manusia dan bukan anak sebaik-baik manusia tetapi aku seorang hamba Allah dari hamba-hamba Allah, aku berharap kepada Allah dan aku takut kepada Allah. Demi Allah jika kamu tidak mahu berhenti mengatakan yang demikian itu kepada seorang lelaki maka engkau sesungguhnya telah membinasakan dia.”
Iman menjadi penyatu dua hati, jika iman berbicara sikap yang ditunjukkan seseorang kepada saudaranya benar-benar bersih daripada kepentingan dunia. Dia berdiri sebagai pendamping yang jujur dalam menyatakan pandangannya, tidak ada apa-apa yang ditutupi, yang pahit sama ditelan yang manis sama dirasa. Dialah penasihat yang paling ikhlas demi kebaikan saudaranya, dia mewarnai pemikiran dan perasaan, pandangan dan sikap saudaranya dengan nilai-nilai agama yang membawa suasana harmoni di antara dua hati. Matlamat mereka bertemu dan bersahabat ialah kerana Allah Taala, agenda yang mereka rancang bersama ialah demi cita-cita akhirat. Tidak sesekali mereka biarkan dunia menghancurkan persahabatan itu.
Rasulullah SAW bersabda tentang keperibadian sahabat sejati yang bermaksud: “Mahukah kamu aku beritahukan tentang orang-orang baik di kalangan kamu? Para sahabat menjawab: Ya Wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Apabila kamu memandang kepada mereka, kamu teringat kepada Allah Taala. Kemudian baginda bersabda lagi: Mahukah kamu aku beritahukan orang-orang yang jahat di kalangan kamu? Mereka ialah orang-orang yang suka melaga-lagakan di antara dua orang, yang suka merosakkan hubungan kasih sayang di antara mereka yang berkasih sayang dan yang suka mencari aib cela orang yang baik-baik.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Wallahua'lam Bissawab