Isnin, 2 November 2009

Adab Bloggers Muslim yang berilmu bukan taklid buta







Laungan slogan kembali kepada Islam menimbulkan reaksi di pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang bersikap prejudis penuh kecurigaan dan menganggapnya sebagai seruan kembali kepada kemunduran, semua serba haram dan bayangan kerumitan dalam mengimplementasikan nilai-nilai ajarannya. Wujud juga golongan yang mahu mengambil kesempatan ke atas Islam, mereka mengambil semangat Islam untuk kepentingan peribadi. Ada pula golongan yang Islamnya hanya kulit sahaja, mereka menggunakan Islam pada saat-saat diperlukan untuk mendapat keuntungan duniawi. Manakala inti ajaran Islam yang mengatur seluruh dimensi kehidupan dicampak bagai sampah tidak terpakai.

Lalu, bagaimanakah sikap seorang muslim sewaktu menyahut seruan ini? Sudahkah dikaji keaslian Islamnya dan bersih dari penyelewengan akibat percampuran dengan fahaman-fahaman buatan manusia seperti kapitalisme, sosialisme, nasionalisme, liberalisme, hedonisme dan pelbagai isme lainnya. Apakah Islam yang dianuti itu terbebas sama sekali dari pengaruh transformasi budaya yang telah membuka pintu dunia seluas-luasnya? Ataukah masih digigit dengan gigi geraham peninggalan-peninggalan nenek moyang tanpa usul periksa? Untuk itu sesiapa yang mahu hidup dalam pimpinan Islam yang benar hendaklah kembali kepada yang asal. Hanya pendedahan ilmu yang boleh menjawab semua persoalan tersebut kerana pusaka para Nabi yang tidak akan hilang ditelan zaman.

Pada masa teknologi maklumat yang semuanya serba hebat dan cepat seperti sekarang, muncullah Islam yang terpampang di blog-blog ciptaan manusia. Ramai pula orang Islam yang mencari hidayah Allah dengan berlayar di lautan siber tanpa sempadan. Hakikatnya pemikiran dan fahaman yang dipaparkan dalam blog-blog tersebut perlu dikaji, diuji dan diperiksa kesahihannya, adakah benar ia tidak menyalahi Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Proses mencari ilmu tidak boleh terlepas dari amalan membaca, berdialog bersama ulama dan melakukan perbandingan kajian secara bertanggungjawab. Boleh jadi, ajaran-ajaran sesat telah menyusup masuk tanpa disedari melalui teknologi maklumat dengan begitu mudah. Sikap menerima dan mengikut secara membuta-tuli tanpa usul periksa dan mencari dari sumber-sumber lain boleh memudaratkan seorang penuntut ilmu.

Mencari kebenaran Islam mestilah dipandu oleh ulama yang amanah dengan ilmunya. Jangan pula taksub kepada seseorang dan menolak pandangan para ulama lain. Kadang-kadang hujah yang dinyatakan dalam blog-blog sebegini terlalu miskin ilmu umpama perbualan di kedai kopi dengan memperguna dalil Al-Quran dan Hadis yang disalah guna, lebih teruk lagi sikap hentam dan caci maki, fitnah dan kebencian mula menjadi tren yang dihalalkan dalam blog-blog yang kononnya berlandaskan Islam itu. Islam yang begitukah boleh diharap membangkitkan jiwa-jiwa umat supaya berjuang memartabatkan agama? Tidak nampak keindahannya ketika membaca maklumat yang bertajuk Islam tapi berisi sumpah seranah yang tidak bertamadun. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap muslim itu bersaudara, maka janganlah kamu menganiaya, menelantarkan dan menghina saudaramu. Takwa itu ada di sini (menunjuk dada tiga kali). Seseorang cukup dianggap jahat apabila ia menghina saudara muslimnya, setiap muslim diharamkan darah, harta dan kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Bukankah satu ayat yang ditulis itu akan menjadi saksi bagi penulisnya pada hari kiamat nanti, adakah dia berkata jujur atau menipu manusia atas nama Allah dan Rasul-Nya? Sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya kebenaran itu menunjukkan jalan kebaikan dan kebaikan pula memimpin ke syurga. Dan sesungguhnya seseorang itu bersikap jujur (shiddiq) sehingga ditulis di sisi Allah sebagai orang yang shiddiq. Dan sesungguhnya dusta itu menunjukkan kepada jalan kemaksiatan dan maksiat menunjukkan pada neraka. Dan sesungguhnya seseorang itu berbuat dusta hingga ditulis di sisi Allah sebagai pendusta.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Melalui tulisan, seorang penulis boleh membuka mata hati manusia dan menolongnya mencari cahaya Allah di atas jalan yang diredai. Tetapi tidak mustahil dia bertanggungjawab menjerumuskan manusia dengan tulisannya ke lembah yang gelap, penuh kebencian dan membutakan hati. Kerana itu para pencari Islam mesti mengikuti arahan Al-Quran di dalam mengumpulkan maklumat supaya mereka tidak tersesat dalam pencariannya. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat ayat: 6)

Para penulis mesti bersikap adil dalam memandang suatu isu. Sikap fanatik dengan pandangan sendiri biasanya terbentuk kerana mereka tidak berminat bermuzakarah dan berbincang dengan orang yang berlainan pendapat dengan mereka. Tertutup pintu musyawarah dan usaha-usaha menganalisa kesahihan maklumat di antara mereka. Keadaan mereka sepertimana yang diceritakan Al-Quran yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Surah al-Rum ayat: 32)

Apabila sikap fanatik itu mencapai puncaknya kadang-kadang mereka berdusta atas nama Rasulullah SAW untuk menguatkan hujah mereka tanpa takut lagi atas ancaman neraka. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja dia telah menempah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di manakah kedudukan ilmu jika hati mereka dipenuhi kebencian dan permusuhan. Fenomena sebegini bukan hanya ditemui di internet bahkan di dalam masjid-masjid yang mengadakan majlis ilmupun dijumpai sikap-sikap tak beradab yang semestinya dikawal  oleh seorang penuntut ilmu. Tidakkah mereka melihat keagungan Al-Imam Al-Syafi’ie yang mencari ilmu dari pelbagai sumber dan manhaj. Beliau bersedia menerima pandangan guru-guru yang mempunyai manhaj dan kaedah berlainan. Beliau pernah berguru dengan Imam Malik, bahkan pernah dikatakan berguru pada guru yang berfahaman Muktazilah dalam menzahirkan ilmu kalam tetapi tidak pernah mengakui bahawa beliau termasuk daripada golongan Muktazilah. Sesungguhnya penyelewengan di atas jalan ilmu terjadi apabila matlamat akhir dalam mencari ilmu itu berada di puncak kepuasan hawa nafsu.

Para penulis dan pembaca blog yang bernafaskan Islam akan mendapatkan faedah dan ganjaran serta keluasan ilmu dari aktiviti mereka jika mereka mengamalkan adab-adab yang dituntut Al-Quran dan Hadis kepada seorang pencari hidayah.
  1. Meletakkan sumber utama bagi setiap pandangannya berasaskan al-Quran dan Hadis.
  2. Berbuat adil dan menghormati kewibawaan, ketokohan dan pandangan orang lain walaupun bertentangan dengan pendapat peribadi. Sebagaimana seruan Al-Quran yang bermaksud: “Janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Maidah ayat: 8)
  3. Tidak terikat dengan taklid buta dan semangat asabiyah yang memandulkan kajian ilmiah.
  4. Ikhlaskan niat, bersihkan hati dan meletakkan matlamat mencari ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengenal kelemahan diri dan memperbaiki hubungan sesama manusia.
  5. Sentiasa mengemaskini maklumat dan menganalisa semula maklumat dengan melakukan ujian dan pemeriksaan berterusan terhadapnya serta bersedia berubah pandangan jika ia menepati al-Quran dan al-Sunnah.


 Wallahua' lam Bissawab