Tragedi Nabi Adam AS dan Hawwa dikeluarkan dari istana syurga mengajar kita untuk memandang sejarah itu dengan perspektif reda kepada Allah SWT. Hikmah yang lain daripada peristiwa ini ialah kebijaksanaan manusia yang mampu mengatasi malaikat dan syaitan akhirnya tersungkur juga akibat nafsu yang kadang-kadang boleh mengatasi kehebatan akal. Akhirnya dengan kehendak Allah SWT, kehidupan di dunia diwujudkan, taubat Adam AS diterima dan masanya untuk zuriat manusia diuji adakah benar imannya kepada Allah pun bermula.
Sesungguhnya yang menjadi penyelamat Adam AS adalah permohonan taubatnya kepada Allah SWT. Allah SWT menceritakannya: “Kemudian Adam menerima beberapa kalimah (ajaran kata-kata untuk bertaubat). Maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 37)
Adam AS mengajar kepada kita bagaimana hendak menjadi manusia yang mulia. Bukankah semasa Allah menciptakannya, seluruh makhluk diperintah untuk sujud kepadanya. Tetapi pengaruh syaitan dan nafsu syahwat boleh menukar jenis makhluk yang bernama manusia menjadi makhluk yang lain.
Memetik dari Kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali Rahimahullah mengkaji empat sifat yang merosakkan sifat kemanusiaan seorang manusia iaitu:
Yang pertama, sifat Subu’iyah atau kebuasan. Ciri-cirinya adalah seperti suka marah, busuk hati, suka menyerang, memukul, memaki dan membinasakan harta benda.
Naik ke peringkat kedua iaitu sifat Bahimiyah atau kebinatangan. Gelojoh dan tamak seperti anjing, suka benda-benda yang kotor seperti harta yang haram, zina dan liwat.
Bertambah teruk keadaan mereka jika masuk ke peringkat ketiga iaitu sifat syaitaniyah iaitu layaknya umpama syaitan dengan ciri-cirinya seperti dengki, penipu, memutar belit, menyuruh yang munkar dan melarang kebaikan.
Dan kemuncaknya sifat terakhir iaitu apabila ketiga-tiga sifat itu berkumpul maka naiklah kejahatan manusia itu sampai ke peringkat Sifat Rububiyah, ketuhanan iaitu sifat Tuhan ingin dirampas menjadi miliknya. Sifat bangga diri, sombong, mahukan puji dan pujaan orang, sukakan kemuliaan dan kedudukan tinggi. Akhirnya ia mengatakan akulah Tuhan, bukan manusia, aku tak sudi mentaati dan mematuhi kerana aku berkuasa. Tak ada sesuatu yang setanding diriku.
Begitulah kejahatan terbesar anak-anak Adam apabila mereka telah melupakan Allah dan hidup di kubang lumpur dosa yang kotor dan menjijikkan.
Belajar dari kekhilafan ayahanda manusia iaitu Nabi Adam AS kepada Allah SWT, setelah khilaf beliau bertaubat seraya berdoa tanpa mengenal erti putus asa dari rahmat-Nya. Iinilah ibadat paling agung yang pertama kali diajarkan oleh Allah SWT kepadanya, iaitu berdoa. Apakah sebenarnya fungsi doa itu bagi kita?
Yang pertama, doa adalah tali Allah SWT. Doa juga adalah sebagai pengikat kita dengan Allah. Sebagai hamba yang kekal bersifat lemah, manusia perlu sentiasa berhubungan dengan Allah yang Maha Perkasa. Lafaz doa mengandungi makna pengharapan dan kebergantungan kepada Allahus-Somad (Allah Sebagai Tempat Bergantung). Mengakui kelemahan diri dan keperluan kepada pertolongan dan perlindungan Allah. Apabila seseorang manusia merasa tidak perlu kepada doa, dia sebenarnya terlalu angkuh dan sombong dengan jaminan dirinya sendiri. Ia telah memutuskan tali Allah yang mengikatnya sehingga dia terdedah kepada kebinasaan akibat dosa-dosanya melupakan Allah. Seorang seorang Muslim, dia hendaklah sentiasa membiasakan dirinya menyebut nama Allah pada setiap perbuatannya. Seawal bangun dari tidurnya, mandi, memakai pakaian, berwuduk, sembahyang, makan, minum, keluar masuk rumah, bekerja, belajar, bermuamalat sesama manusia, hatta suami yang menggauli isteri, semua itu hendaklah diiringi dengan doa supaya perbuatan itu selari dengan perintah dan suruhan Allah SWT. Sungguh indah perhubungan antara hamba dengan Tuhannya itu. Dia begitu hampir dan tidak pernah bercerai kerana penghubungnya adalah doa yang penuh keyakinan bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Fungsi doa yang kedua ialah: Cita-cita dan impian yang ingin dimiliki diusahakan dengan berikhtiar sesuai dengan permintaannya kepada Allah SWT. Orang yang meminta syurga mestilah diiringi dengan kesungguhannya beramal salih. Orang yang meminta keberkatan rezeki hendaklah bersungguh-sungguh bekerja untuk mendapatkannya. Manakala bila dia meminta dihindari dari kejahatan diri sendiri maka dia hendaklah berusaha untuk tidak berbuat dosa dan maksiat. Doa dan ikhtiar adalah saling lengkap melengkapi. Sebagaimana firman Allah SWT: ”Sesungguhnya Allah tidak akan merubah suatu kaum kecuali mereka merubah diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’du Ayat 11).
Hakikatnya iman itu bukanlah angan-angan. Ia perlu dibuktikan dengan kesungguhan atau jihad dalam beramal salih.
Fungsi doa yang ketiga ialah sebagai pengubat hati. Saat diri dihina, tidak dipedulikan, diceraikan kekasih dan dibuang oleh pujaaan hati, perasaan yang hadir adalah rasa putus asa dan sirna segala cahaya kehidupan tanpa masa depan. Jika berlaku ujian dan cubaan melanda iman seperti kekurangan harta, kehilangan jiwa, kecacatan, kesakitan, bencana alam dan kegagalan setiap perjuangan, kepada siapakah manusia harus mengadu, merintih dan bersandar? Setiap pengharapan akan datangnya cahaya, kepada siapa hendak dipohonkan? Keyakinan dan kekuatan untuk meneruskan hidup, dari manakah penjana kuasanya? Hanya kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Rahmat-Nya meliputi alam semesta, Dia tidak menguji makhluk-Nya kecuali mereka yang sanggup memikulnya. Setiap kesusahan ada kemudahan. Dengan untaian doa penuh keikhlasan dan tangisan yang meruntuhkan tembok kesombongan, manusia kembali kepada Allah menadah tangan, mengakui kelemahan, mengharap pertolongan, perlindungan dan keselamatan dunia akhirat. Maka datanglah keyakinan pasti Allah mengabulkan sudah cukup sebagai penawar bagi jiwa yang kekeringan.
Doa adalah kekuatan bagi setiap muslim, tetapi jika ia tidak difungsikan dengan cara yang betul maka kekuatan itu akan hilang, yang tinggal hanya lafaz-lafaz kosong tanpa makna dan tujuan. Kembalikanlah fungsi doa agar kita sentiasa mendapat jawapan yang pasti dari Ilahi.
Wallahua'lam Bissawab