Khamis, 19 November 2009

Penggerak Masjid Berhak Mendapat Anugerah Naungan Allah SWT







Masjid yang berdiri megah dengan segala kemudahan lengkap serba moden menjadi kebanggaan umat Islam. Suasana yang asyik dan tenang menggamit seribu satu kedamaian di jiwa para abid yang ikhlas. Tetapi apakah kekuatan jiwa dari dalam masjid itu mampu menghantar kuasanya sampai ke luar kawasan liputan? Bolehkah syiarnya menembusi setiap rumah muslimin bagi mendatangkan kerinduan mereka kepada Rabbul ‘Alamin? Padahal tarikan duniawi begitu hebat memancing perasaan setiap penghuni rumah untuk menikmati kelalaian yang ditawarkan. Benarkah tawaran masjid tidak popular seperti akademi fantasia? Tidak pernahkah kita berfikir untuk membikin rancangan syiar masjid yang tak kalah menariknya? Ramai menyalahkan para penggerak masjid yang tidak kreatif terhadap isu-isu semasa. Masalah moraliti umat yang kian meruncing, generasi Islam yang terbabit jenayah, isu pendidikan dan institusi keluarga, bahkan perekonomian umat terasa tidak tersentuh oleh kekuatan syiar masjid. Sekali lagi jangan mudah menyalahkan orang lain jika diri kitapun tak mampu memberikan apa-apa komitmen untuk keberkesanan program masjid.

Mereka yang menggerakkan masjid ini adalah sebaik-baik hamba Allah yang telah memperjuangkan agama-Nya setakat yang mampu. Rasulullah SAW bersabda: ”Tujuh golongan manusia yang Allah menaungi mereka pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya, ... (salah satunya) Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Alangkah beruntungnya mereka dengan janji Allah SWT itu. Pada hari akhirat akan terbukti segala kerja dan usaha demi menjana kekuatan masjid yang boleh menghantar kehangatan syiar Islam ke setiap penjuru bumi Allah ini. Ada beberapa kekuatan yang diperlukan oleh para penggerak masjid untuk mendapatkan gelaran terhormat di sisi Allah SWT. Bahkan ia adalah bagi sesiapa sahaja yang memperjuangkan syiar Islam di sektor mana saja mereka berperanan. Mempersiapkan kekuatan ini adalah tuntutan yang diserukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Kekuatan berkenaan ialah;

  1. Kekuatan kepimpinan dalam diri. Jiwa Imam dan para penggerak Masjid tidak boleh dibatasi pada ruang gerak sembahyang sahaja. Mereka hendaklah menyerlah hingga menjadi tokoh yang disegani dan memiliki keperibadian yang penuh karisma lagi berwibawa. Mereka hendaklah sentiasa peka dengan permasalahan umat dan mempunyai kekuatan daya tarik dalam dakwahnya. Mampu mengatur dan merancang strategi dakwah yang jitu dan yang paling penting memiliki akhlak terpuji bukan hanya pada dirinya tetapi juga pada keluarga yang menjadi teladan umat. Firman Allah SWT: ”Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyeri hati kami. Dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” ( Surah al-Furqan Ayat 74)

Semua kekuatan itu hendaknya ada pada diri setiap muslim. Jangan meletakkannya di bahu para Imam sahaja. Tidak semestinya gelaran Imam menjadi syarat untuk kita menggerakkan masjid yang kita cintai. Jika para makmum turut memiliki sifat kepemimpinan yang kental, alangkah bertuahnya agama ini yang memiliki umat yang berkualiti.

  1. Kekuatan ilmu. Para penggerak masjid yang ikhlas sentiasa melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu. Tafsir al-Quran, Hadis, Fiqah, Akhlak dan Sirah Rasulullah SAW adalah bacaan asas yang penting untuk membentuk pemikiran Islam yang sempurna. Manakala kemahiran berorganisasi, penulisan dan pengucapan awam, pengurusan dakwah bahkan kemahiran teknologi maklumat terkini adalah amat dituntut untuk memastikan gerakan syiar masjid yang lebih progresif. Banyak persediaan yang mesti dibekalkan kepada para Imam dan penggerak masjid kerana keadaan semasa amatlah mencabar keilmuwan dan kepakaran mereka bagi menghadapi pelbagai masalah umat. Tentu saja ilmu tersebut tidak menyumbang kepada keangkuhan peribadi dan merasa lebih hebat daripada orang lain kerana ilmu yang mengisi hati orang yang beriman menjadikan mereka lebih takut kepada Allah dan tawaduk kepada sesama manusia. Firman Allah SWT: ”Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Faathir Ayat 28)

  1. Kekuatan Ukhuwah. Umat yang bersatu akan saling mengasihi dan menyayangi serta menjauhkan perbezaan dan khilaf demi menjaga silaturrahim sesama mukmin. Hal ini sememangnya akan menciptakan kedamaian dan keharmonian. Hanya hamba Allah SWT yang mempunyai sifat rahmat kasih sayang sahaja yang boleh mengetepikan fahaman politik atau idealisme tertentu agar tidak menimbulkan jurang perpecahan dalam tubuh umat. Akan tetapi proses menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran wajib dijalankan. Ia sudah tentu dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan metod dakwah. Isu menggunakan masjid sebagai alat politik hendaknya dibendung agar umat ini tidak keliru arah tuju syiar masjid yang digerakkan. Kekuatan jentera penggerak masjid bukan terletak di tangan segelintir orang yang berkebolehan sahaja. Bahkan segenap jemaah kaum muslimin hendaklah menjadi inspirasi pengukuhan dan penanaman nilai-nilai Islam pada diri umat. Perpecahan menyebabkan kita kalah. Manakala perpaduan atas nama Islam dan iman akan menjadi akar kekuatan. Walaupun wujud banyak perbezaan dan fahaman tetapi adalah lebih baik kita sibuk mencari persamaan dalam diri yang boleh menjadikan kita lebih selesa duduk bermuafakat mencari penyelesaian atas kemunduran umat hari ini. Firman Allah SWT: ”Dan janganlah kamu bersengketa kerana ia menyebabkan kamu gagal dan hilangnya kekuatan kamu.” ( Surah al-Anfal Ayat 46)

  1. Kekuatan gerak kerja di semua peringkat. Pernahkah anda melihat jemaah masjid yang tekun dengan segala aktiviti dari kalangan remaja atau belia? Sungguh jarang sekali terlihat anak-anak kita di masjid atau surau. Mengapa mereka yang menjadi Ahli Jawatankuasa Masjid selalunya orang-orang tua sahaja? Bolehkan mereka mendengar sebarang idea dari perspektif remaja Islam? Bagaimanakah dakwah kepada generasi muda boleh disampaikan ke dasar jiwa mereka? Sudah tentu program untuk remaja yang berupa ceramah-ceramah yang berat dan menjemukan tidak sesuai untuk mereka. Aktiviti lasak dan mencabar seperti perkhemahan ibadat atau yang berunsurkan seni Islam seperti nasyid dan teater, atau penanaman ilmu agama yang digabungkan dengan sistem teknologi maklumat tentunya amat menarik minat mereka. Semua metod dakwah seperti itu lebih berkesan jika belia dan remaja yang berminat menjadi rakan masjid diberi peluang untuk berdakwah.

Melalui bimbingan dan dorongan mereka yang lebih senior akan membuahkan tim kerja dakwah masjid yang berjaya. Begitu juga pembabitan wanita muslimah yang boleh memberikan sumbangan untuk menggerakkan syiar masjid di kalangan mereka agaknya tidak boleh dianggap remeh kerana setiap orang mesti berperanan demi menyelamatkan nilai-nilai Islam pada masyarakat kita. Jadikanlah diri anda penggerak-penggerak masjid yang ikhlas kerana anda tidak rela melihat umat ini semakin terhakis kekuatannya oleh unsur-unsur jahiliyah moden yang semakin membimbangkan.



Wallahua'lam Bissawab