Khamis, 19 November 2009

IKHLAS DALAM AMALAN BUKTI KEMURNIAN CINTA KEPADA ALLAH.







Tiada yang lebih menyakitkan hati seorang isteri jika suami berpaling kasih pada yang lain. Hari-hari yang berlalu terasa mendung dan sesekali memanahkan petir kekecewaan, air mata tumpah bagai lelehan lahar gunung berapi, sedih bercampur dendam. Begitulah hakikat orang yang bercinta. Tak akan mahu diduakan oleh sesiapa. Hidup mati biar bersama. Sebagai hamba Allah, pernahkah kita bertafakur tentang konsep cinta dan cemburu ini dalam konteks pengabdian diri kepada Allah SWT. Adakah Allah cemburu dan relakah Ia diduakan dan mempunyai sekutu? Seorang hamba yang dekat dengan Tuhan amat teliti dalam menjaga perhubungan hatinya. Dia hanya mahu memenuhi hatinya dengan kehadiran Allah SWT. Muraqabatullah seperti inilah yang ditunjukkan oleh Rabiah al-Adawiyah ketika beliau berkata: ”Sungguh aku jadikan Engkau Rabbku dalam hatiku, sedangkan tubuhku aku biarkan duduk dengan sesiapa saja.”

Jiwa dan raga adalah milik-Nya. Pesona kebesaran Allah amat mempengaruhi gerak hati dan tubuh seseorang sepertimana dinyatakan dalam hadis qudsi: ”Jika aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya, untuknya ia mendengar dan Aku menjadi pandangannya untuk melihat dan Aku menjadi tangannya untuk memegang dan Aku menjadi kakinya untuk berjalan, maka apa-apa yang dia minta kepada-Ku nescaya Aku kabulkan permintaannya dan jika dia minta perlindungan dari-Ku, maka Aku pasti akan lindungi dia.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Bukan sebarang orang akan dapat keutamaan yang amat istimewa seperti itu. Kemurnian cintanya kepada Allah saja yang dapat menaikkan dirinya pada kedudukan yang amat mulia di sisi Allah. Konsep ikhlas mencintai Allah telah lama menjadi prioriti dalam amalan para sahabat Rasulullah SAW. Pernah suatu ketika Umar RA bertanya kepada Muaz bin Jabal RA: ”Mengapa engkau menangis wahai Muaz? Lalu beliaupun menjawab: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Sedikit saja riya’ itu adalah syirik.” Demikian juga ketika Saad bin Abi Waqqash RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: ”Sesungguhnya Allah cintakan hamba-Nya yang takwa dan menyembunyikan dirinya (amalnya).” (Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi dalam Syarah Hadis Arba’in ada menerangkan tentang makna ikhlas iaitu, gerakan hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredaan Allah SWT dan menyatakan tunduk patuh hanya kepada perintah-Nya. Begitu halusnya setiap amal akan dinilai di hadapan Allah. Barangsiapa yang masih memiliki niat lain dalam ibadatnya selain daripada Allah maka amalnya itu akan diganjari menurut niatnya dengan seadil-adilnya. Amalan ikhlas mempunyai peringkat-peringkat yang berlainan kedudukannya sesuai dengan keadaan seseorang iaitu:

Yang pertama ikhlas peringkat permulaan iaitu manakala seseorang berusaha membersihkan amalnya dari perasaan riya’ dan kepentingan diri peribadi. Ia beramal dengan tujuan keredaan Allah dan bermatlamat mendapatkan ganjaran yang dijanjikan-Nya serta terhindar dari azab-Nya. Hamba Allah ini begitu teliti dalam setiap amalannya, doa yang diajarkan oleh Rasulullah menjadi kekuatan amalannya, doa itu adalah: ”Ya Allah sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu dari berbuat syirik dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun kepada-Mu dari perbuatan syirik yang tidak kami ketahui.” Menurut Rasulullah SAW, barangsiapa yang mengamalkan doa ini maka Allah akan membersihkan amalannya daripada syirik dan riya’.

Peringkat ikhlas yang kedua ialah ikhlas orang-orang yang tinggi kecintaannya kepada Allah. Mereka beramal bukan kerana pahala semata-mata, bahkan bertujuan membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya. Dalamnya makrifat kepada Allah membuat hamba-hamba ini tidak peduli dengan perhitungan pahala dan ancaman siksa kerana bagi mereka ketajaman mata hati melihat kebesaran Allah dan perasaan khusyuk dan tunduk pada kebesarannya adalah lebih penting dari syurga dan neraka. Seperti seorang kekasih yang reda menerima apa saja yang diberikan kekasihnya kerana cintanya begitu murni tanpa sebarang kepentingan. Keikhlasan hamba-hamba Allah ini tak pernah surut walaupun ujian daripada-Nya sentiasa datang, ibadat mereka tetap berterusan tidak berkurangan disebabkan ujian Allah. Kerana mereka tidak mengharapkan keuntungan semata-mata dari ibadat mereka itu, hanya keredaan Allah dan cinta-Nya yang menjadi kekuatan.

Yang terakhir adalah jika kita telah sampai pada peringkat ikhlas yang tertinggi iaitu bersandar pada kalimat ’La hawla Wala Quwwata Illa Billah’ ”Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.” Ibadat yang dilakukan adalah gerakan daripada kuasa Allah, bukan kuasa peribadi, Allahlah yang menggerakkanku ketika solat, berdoa, puasa dan sedekah. Kerana pertolongan Allah saja yang membuat aku berada pada rahmat-Nya. Kerana Dia berkehendak menolong dan memberi hidayah kepadaku maka aku menjadi hamba pilihan-Nya. Tidak ada perasaan sombong sedikitpun dengan amalan yang dikerjakan kerana kita tahu semua itu adalah kerana gerakan dari Allah semata-mata. Sesuai dengan firman-Nya: ”Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan Rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorangpun antara kamu menjadi bersih selama-lamanya, akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur: ayat 21)

Maka sudah sepatutnya kita bersyukur dengan iman yang ada, rasa syukur inilah yang menjadi penggerak dalam ibadat kita. Demikianlah yang diajarkan Rasulullah SAW ketika Aisyah bertanya tentang ibadat baginda yang menyebabkan kebengkakan pada kaki Rasulullah SAW ketika solat malam, Rasulullah menjawab: ”Tidak bolehkah aku bersyukur pada Tuhanku?”

Walaupun baginda pasti dijamin masuk syurga dan dialah kekasih Allah. Bagaimana dengan kita yang tiada jaminanpun mendapat kemuliaan daripada-Nya?


Wallahua'lam Bissawab