Khamis, 19 November 2009

SEDEKAH DARI HATI







Kepuasan rupanya bukan sekadar mendapatkan sesuatu yang kita mahu, akan tetapi memberikan sesuatu kepada orang lain, justeru itulah setinggi-tinggi kepuasan. Bila seseorang berterimakasih kepada kita, menghargai atau cukup dengan isyarat mata dan senyumannya yang memancarkan kegembiraan, sungguh diri kita berasa seperti sedang menjulang trofi penghargaan yang berprestij di hadapan jutaan manusia. Bahagia, puas dan bangga kerana dapat memberi sesuatu yang bernilai. Menolong dan membantu sesama manusia.

Tapi sayang, di lubuk hati yang terang adakalanya gangguan dating. Semasa memberi memang ikhlas tetapi hendaklah berhati-hati jika yang diberi membalas dengan kejahatan. Adakah kita mampu menahan lidah daripada mengungkit ‘jasa’ kita dahulu? Kalau tak tartahan mulut menggatal kerana kecewa dengan balasan yang diterima, maka habislah pahala yang dahulunya disemai.

Allah SWT mengingatkan kita agar jangan mengungkit sedekah dengan perkataan yang menyakitkan. Firman-Nya yang bermaksud: “Perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan perbuatan dan perkataan yang menyakitkan hati. Dan ingatlah Allah Maha Kaya lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Baqarah: Ayat 263)

Kalau hendak bersedekah semata-mata ingat kepada pahala, kadang-kadang kita menjadi tertipu oleh niat tersebut. Contohnya anda memberi kepada orang yang tak patut diberi, semakin anda menolongnya, ia semakin malas berusaha, tidak bertanggungjawab terhadap dirinya dan sentiasa bergantung kepada anda. Sedekah seperti inikah yang akan diterima Allah? Allah SWT telah mengancam kepada mereka yang suka meminta-minta seperti dalam sabda baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya meminta-minta itu dilakukan oleh seseorang di antara kamu sehingga dia akan bertemu Allah dalam keadaan tidak ada di wajahnya sepotong dagingpun.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Itulah hukuman bagi yang meminta-minta. Bagaimana pula halnya dengan yang memberi? Mereka yang telah memudaratkan si peminta itu dengan kemurahannya, bagaimana kedudukannya? Bukankah Allah SWT akan menyoal setiap sen dari harta kita; di mana ia dikeluarkan dan apa kesan dari perjalanan setiap sen itu dihulurkan?

Sungguh berat ujian memiliki harta! Sehingga pada suatu hari Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Wahai orang-orang Muhajirin yang miskin! Aku membawa berita baik iaitu cahaya yang sempurna pada hari perhitungan (Mahsyar) dan kamu akan memasuki syurga terlebih dahulu daripada orang-orang kaya dengan perbezaan setengah hari dan setengah hari ini bersamaan dengan lima ratus tahun (hidup di dunia)". (Hadis riwayat Abu Daud dari Abu Said al-Khudri).

Mengapa lambat benar perhitungan bagi orang-orang kaya yang beriman? Sebabnya adalah amanah hartanya. Tetapi hadis ini tidak bermaksud bahawa orang yang terlambat masuk syurga itu rendah kedudukannya daripada mereka yang lebih dahulu masuk. Ia hanya bertujuan memberi motivasi hiburan kepada orang Muhajirin yang miskin supaya jangan bersedih dengan kesusahan yang menimpa mereka. Bahkan di tangan orang-orang yang kayalah dakwah Islam dibantu. Abu Bakar, Usman dan Abdul Rahman bin Auf adalah sumber dana bagi baginda Rasulullah SAW. Di manakah kedudukan mereka? Sesungguhnya mereka adalah termasuk sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga. Merekalah antara kekasih-kekasih Rasulullah SAW yang paling berjasa untuk dakwah Islam.

Mengapa harta yang kita miliki di dunia senang untuk dihitung? Tetapi jika menghisabnya untuk persiapan audit hari akhirat rasa susah? Semua manusia boleh menjadi pakar matematik yang handal jika menghitung untung rugi hartanya. Betapa sayang kita dengan hasil jerih payah kita itu. Kadang-kadang hati berbisik: ”Untuk apa bersedekah, adakah orang lain merasakan apa yang aku rasakan ketika mencari harta ini? Terpaksa tak tidur malam, berkejar ke sana ke mari, tak cukup rehat, makan dan minum tak kenyang kerana urusan pelaburan, perniagaan, hutang piutang yang memeningkan kepala? Orang lain tahu apa? Tahu nak meminta saja?”

Sungguh hebat bisikan syaitan yang mampu mengaburi janji-janji Allah kepada mereka yang berinfaq di jalan-Nya. Iaitu dalam Firman-Nya yang bermaksud: ”Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah ialah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah: Ayat 261)

Pastikanlah setiap sen yang anda belanjakan mempunyai matlamat yang jelas iaitu keredaan Allah, walaupun mungkin tersilap ketika memberi tetapi ia pasti bermanfaat bagi yang diberi. Sepertimana di dalam hadis ada disebutkan kisah seorang yang bersedekah kepada tiga orang yang salah iaitu kepada perompak, penzina dan orang kaya. "Orang itu berkata, tak mengapa aku tak tahu ia adalah seorang perompak, mudah-mudahan dengan pemberianku itu ia dapat memulai hidup baru, begitu juga dengan si penzina mungkin ia akan bertaubat. Dan kepada orang kaya ia berkata: semoga dengan sedekahku itu menjadi pendorong untuknya supaya ia mahu bersedekah juga."

Sebagai renungan bagi kita fikirkanlah kata-kata Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah yang bermaksud: ”Zuhud itu adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat bagi akhirat.” Bukan seperti yang sesetengah orang percaya bahawa zuhud itu ialah menolak dunia dan membenci kekayaan. Ini adalah fahaman yang terseleweng dan merbahaya. Kerana miskin itu dekat kepada kufur.



Wallahua'lam Bissawab