
Jika anda seorang bakal haji yang akan berangkat pergi tahun ini, diucapkan tahniah semoga perjalanan anda mendapat keberkatan dari Allah dan dimudahkan dalam menjalani ibadah disana.
Ketika kita merancang untuk melaksanakan ibadah haji banyak perkara yang menjadi pertimbangan dan persoalan-persoalan di benak kita. Biasanya yang paling berat ialah masalah penjagaan anak-anak yang ditinggalkan, kemudian hal harta dan pekerjaaan yang terpaksa dilepaskan sementara waktu dan yang tak kalah pentingnya adalah persediaan ilmu yang cukup dan hati yang pasrah kepada qada dan qadar Allah SWT.
Perjalanan haji yang menuntut pengorbanan dari segi harta dan juga emosi perasaan seseorang terbukti menjadikan ibadah ini adalah ibadah yang amat penting yang secara langsung mempengaruhi keperibadian seorang muslim.
Seorang hamba Allah yang membulatkan tekad melaksanakan haji terpaksa melepaskan segala hubungan yang mengikatnya dengan dunia untuk menghampirkan diri kepada Tuhannya. Dekat dan lebih dekat lagi, hanya antara dia dengan Allah, tiada orang lain, tiada apa-apapun yang boleh menyekat langkahnya menemui Tuhannya. Begitu sucinya perjalanan, begitu murninya tekad dan niat. Seakan-akan anda ditarik oleh semangat yang begitu hebat, berpusat di Kabah. Anda bagaikan setitis air di lautan manusia yang saling berebut-rebut mendapatkan rahmat-Nya. Layakkah anda berada di sisi-Nya dengan sejuta rahmat yang menjadi rebutan manusia ketika itu? Siapakah anda?
Hati seseorang yang menghadap ke kabah tak dapat terpengaruh oleh kekuatan apapun. Anak-anaknya?, harta, dunia, pangkat dan jawatan, kuasa, ilmu dan segala kehebatannya? Tak bernilai sedikitpun dibandingkan ketenangan berada dipangkuan bonda Siti Hajar, pelukan ayahanda Ibrahim dan gandingan mesra Ismail yang amat bertuah. Dan hati anda terasa melayang dengan sejuta kenikmatan menatap kebesaran Allah melalui mata batin yang tembus hingga ke dasar segala ilmu dan hikmah yang amat misteri. Seiring kucupan pada hajarul aswad yang ibaratnya ialah tangan kanan Allah. Anda telah mendengar suara kebesaran-Nya memanggil, dengan panggilan mesra menjadi keluarga-Nya, di rumah-Nya, di tanah haram yang menyimpan seribu satu kenangan cinta yang hanya dapat dirasa oleh hamba-hamba-Nya saja. Tiada rasa lain yang mencurah-curah dari kalbu kecuali cinta dan cinta kepada Yang Maha Mencinta.
Itulah kekuatan ibadah haji, bagi sesiapa yang pernah merasainya akan terkenang dan merindui saat-saat istimewa ini. Kehebatan haji mampu menguasai pemikiran, perasaan dan perbuatan seorang hamba Allah menjadi suci dan bersih sehingga Rasulullah SAW menyatakan dalam Hadisnya: “Barangsiapa yang menunaikan ibadah haji, sedang ia tidak rafats (berkata-kata keji) dan tidak melakukan kefasikan maka ia telah keluar dari dosanya seperti ketika ia dilahirkan ibunya.” (Bukhari Muslim)
Yang paling penting dan menjadi asas kepada segala perbuatan kita di sana ialah keselamatan hati dari pengaruh perasaan negatif yang akan menjejaskan ibadah.
Kerana hati yang kurang pasrah kepada Allah akan mengakibatkan ketidakselesaan pada tindakan dan amalan yang dibuat. Untuk itu ibadat hati perlu dilakukan disamping ibadat yang telah disandarkan kepada Rasulullah SAW, demi memastikan segala keadaan akan sentiasa baik bagi kita. Ibadat hati tersebut adalah:
Menerima segala qada dan qadar-Nya dengan tawakkal dan pasrah. Adakalanya apa yang baik menurut kita adalah tidak pada pandangan Allah. Dan begitu sebaliknya, apa yang kita benci bahkan ianya baik untuk kita menurut ilmu Allah.
Di dalam perjalanan menuju keredhaan Allah ini, semuanya adalah baik. Apa-apa masalah yang membantutkan perjalanan janganlah menjadi sebab untuk merosakkan ibadat anda. Kerana niat kita adalah ibadat bukan selain daripadanya.
Firman Allah SWT: Tiada suatu musibahpun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Taghabun: 11)
Sabar menempuhi ujian dan cobaan sebelum menunaikan haji, ketika melaksanakannya dan selepas menyempurnakannya. Tiga fase ini adalah pertempuran antara hati dengan nafsu dan amarah yang sungguh mencabar kekuatan iman bakal haji. Kesabaran itu berjalan terus menerus tiada batas akhirnya. Hingga kita menemui Allah dengan hati yang redha dan diredhai.
Menyerahkan semua milik kita kepada Allah . Jiwa raga, harta dan orang-orang yang dikasihi menjadi sesuatu yang tidak berharga lagi dibandingkan dengan kenikmatan mendapatkan rahmat Allah yang memancar di dinding kabah, ketika seluruh kekuatan dicurahkan saat tawaf, hati menjadi beku dan tergamam memandang kepada diri sendiri dan kuasa Illahi. Betapa jiwa yang bagaikan debu tak berguna ini amat mengharap lambaian kasih Allah.
Manakala sa’i pula mengingatkan kita pada kekuatan azam dan ikhtiar seorang hamba yang bernama Hajar. Alangkah baiknya jika kekuatan itu ada pada diri kita dalam mengharungi kehidupan ini. Untuk mendapatkan jiwa yang teguh itu diperlukan penyerahan segala-galanya pada Allah.
Firman Allah SWT: ”Wahai orang-orang yang beriman sukakah Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjuang dijalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Al-Shaff: 10-11)
Begitu halusnya perasaan seorang yang mengerjakan haji, semua perbuatan ibadat memiliki kenangan indah tersendiri. Kembara haji begitu menguji ketahanan mental seseorang. Telah banyak tertumpah airmata kesedaran sekaligus kegembiraan mendapatkan kedudukan penting di sisi Allah. Iaitu kedudukan sebagai tetamu-Nya yang dimuliakan dengan iman dan Islam.
Wallahua'lam Bissawab