Khamis, 15 Oktober 2009
Pembela Islam
Telah menjadi sunnatullah, pada setiap kurun, zaman dan waktu yang bergerak pantas, akan hadir para pembela-pembela agama Allah. Mereka hidup dengan haruman catatan perjuangan yang berterusan dari generasi ke generasi yang saling bersambungan umpama suatu mata rantai yang tak putus hingga akhir zaman. Lakaran kisah mereka dimulai dengan kedudukan orang tua mereka bernama Adam AS. Beliau melahirkan zuriat yang ramai, antaranya ada yang meneruskan risalah nubuwah yang ditinggalkan. Para Nabi dan Rasul dikelilingi kaumnya yang setia, membela dan menjaga risalah. Begitulah ketetapan Tuhan. Mereka merupakan manusia yang paling beruntung kerana dipilih untuk misi dan visi dakwah-Nya.
Bagaimanakah dengan kita yang hidup pada zaman yang serba canggih ini. Apakah ada manusia yang layak mendapat sebutan sebagai Penolong Agama Allah, Ansarullah? Bagaimanakah hendak memenuhi syarat bagi memastikan barisan Ansarullah ini menjadi pilihan kita? Layakkah kita berdiri memegang mata rantai dakwah yang pernah digenggam oleh lelaki-lelaki perkasa dan wanita-wanita yang tegar di jalan Allah?
Antara karakter Ansarullah yang layak memikul tugas membela agama Allah ialah:
1. Memanfaatkan potensi diri untuk agama Allah.
Sesiapa yang menggunakan penanya untuk menegakkan kalimah Allah SWT maka dia adalah pembela Allah. Sesiapa yang menghulurkan hartanya untuk membela kebajikan kaum muslimin maka dialah Mujahid Allah. Sesiapa yang menggunakan tenaga dan fikirannya mendidik generasi Islam, jika dia mati pada jalan itu maka dia bergelar Syahid fi Sabilillah. Sesiapa yang menunjukkan kebaikan, dia mendapat pahala sama dengan pahala orang yang mengerjakannya tanpa mengurangi pahala orang itu.
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya, apabila dia tidak sanggup ubahlah dengan lidahnya, apabila ia tidak sanggup maka ubahlah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman" (Hadis riwayat Muslim)
Membela sesuatu fahaman tidaklah semudah yang kita bayangkan, jika kita tiada keyakinan tentang fahaman itu dan tiada kecintaan kepadanya maka tidak akan tergerak hati-hati kita untuk membelanya. Seperti orang yang aktif menggerakkan suatu perniagaan, untuk mendapat kejayaan, dia mesti faham selok-beloknya, mengkaji dengan penelitian yang tepat dan berani mencuba kerana yakin akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Begitu pula halnya dengan orang yang berniaga pada jalan Allah. Dia mesti mengikut proses perjalanan dakwah dengan ilmu dan kepakaran, tenaga dan usaha, harta dan jiwanya untuk memenangi agama Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Taala telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan nilaian syurga" (Surah Al-Taubah ayat 111)
Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: îDan apa sahaja kebaikan yang kamu usahakan bagi diri kamu, sudah tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah" (Surah Al-Baqarah ayat 110)
2. Menjadikan Allah, Rasul dan orang mukmin sebagai penolong.
Ciri-ciri pembela agama Allah termaktub di dalam firmanNya yang bermaksud: "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat seraya tunduk kepada Allah, dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pendokong Allah itulah yang pasti menang"
Seorang pembela agama telah menyerahkan hatinya untuk Allah, Rasul dan orang-orang beriman. Dia tidak disibukkan dengan urusan yang remeh-temeh yang boleh menghabiskan masa dan tenaga. Hari-harinya diisi dengan perbuatan yang paling bermanfaat untuk umat. Kekuatan seorang pembela agama juga terletak pada kuatnya ibadah kepada Allah yang disebutkan dalam ayat ini dengan ibadat sembahyang dan zakat.
Sembahyang membekalkan tenaga rohani yang boleh melonjakkan daya kekuatan jasmani, mencerahkan pemikiran dan menenteramkan perasaan. Semua ini sememangnya amat diperlukan oleh seorang yang sentiasa dicabar di atas jalan dakwah. Sementara zakat pula mendidik jiwa untuk merelakan harta yang merupakan sesuatu yang paling disayangi untuk membuktikan kebenaran imannya. Kedua-dua ibadat ini tidak akan sempurna tanpa persekitaran yang baik, iaitu sokongan orang-orang mukmin yang membentuk jamaah umat Islam.
Tidak berdukacita dengan tribulasi dakwah.
Hanya orang yang sabar menahan sakit yang boleh menang dalam setiap pertempuran. Bukan atas sebab siapa yang lebih kuat dan perkasa. Sesungguhnya jalan dakwah adalah jalan sengsara dan siksaan yang pedih. Di sana telah hadir para penentang dan musuh-musuh yang akan memerangi syiar agama Allah. Mengapa Allah telah tentukan jalan yang sukar dilalui Rasulullah SAW untuk mendapat kemenangan? Mengapa tidak langsung diberikan kemenangan itu dengan cepat dan mudah?
Ketentuan itu berlaku atas hikmah supaya para pembela agama Allah SWT ini diuji siapa yang paling baik amalannya dan jalan dakwah itu juga merupakan suatu proses mematangkan iman seseorang. Supaya Allah SWT mengetahui siapakah yang benar imannya dan siapakah yang berdusta.
Telah ramai orang yang terkorban di jalan Allah, ada juga yang menyerah kalah dan meninggalkan jalan-Nya ataupun terseleweng dengan matlamat-matlamat lain untuk kepentingan diri sendiri. Siapakah pembela yang istiqamah? Al-Quran telah menjanjikan kemanisan bagi kita yang teguh dalam perjuangan ini. Firman Allah Taala yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menyatakan: Tuhan kami ialah Allah dan kemudian meneguhkan pendirian mereka maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu berasa sedih dan bergembiralah dengan memperolehi syurga yang telah dijanjikan Allah kepada kamu" (Surah Fussilat ayat: 30)
Wallahua'lam Bissawab