Jumaat, 9 Oktober 2009

Mencari Cinta di Makam Nabi SAW




Ziarah ke makam Rasulullah mengingatkan kita pada pertalian kasih antara kita dengan Beliau SAW. Kasih sayang seorang Rasul yang begitu abadi sehingga getarannya mampu menembusi setiap relung hati umatnya. Langkah demi langkah dijejaki mengharap pertemuan dengan kekasih, tiang-tiang masjid Nabi berbisik selamat datang kepada anda yang terpanggil menziarahinya. Kuasa air mata berhasil menyembuhkan jiwa yang terlalu rindukan baginda. Raudhah menjadi saksi pertemuan yang sungguh menyayat emosi, adakah kita dikenali Rasulullah sebagai umatnya? Sesungguhnya pergi menghadap ke makam Nabi mengajak kita untuk memikirkan tentang perhubungan kita dengan beliau SAW.


Ikatan cinta.
Umar bin Khattab RA pernah menyatakan kepada Rasulullah SAW kekuatan cintanya kepada beliau seperti ia mencintai dirinya sendiri. Kemudian Rasulullah SAW meluruskan pemahaman Umar dengan menyuruhnya supaya lebih mencintai beliau daripada dirinya sendiri. Bahkan Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman kalian sehingga kamu lebih mencintai aku daripada ayahnya, anaknya dan manusia semuanya.” (Bukhari Muslim)
Orang yang bercinta menunjukkan tanda-tanda cintanya dengan sentiasa mengingati kekasihnya, menyebut namanya, memujinya, menghargai dan mendokong segala tindakannya. Jika anda seorang anak anda tentu tahu bagaimana sikap dan luahan cinta kepada ibu bapa anda. Begitu juga jika anda seorang isteri anda pasti faham cara mencintai dan dicintai suami anda. Tetapi jika anda seorang daripada umat Rasulullah SAW tahukah anda menghargai kasih sayangnya?


Ketika berada di makam Rasulullah, tuluskah cara kita mengungkapkan kasih sayang kita kepada beliau? Apakah bukti cinta kita kepadanya? Diantara orang-orang yang paling mempengaruhi perasaaan kita adakah kewujudan Rasulullah SAW di sudut hati. Memberi inspirasi disetiap gerak geri dan tindakan kita. Dihadapan makam Rasulullah tiada guna kita menangis mengenangkan beliau tetapi setelah keluar daripada ziarah itu kita menjadi penentang yang paling nyata terhadap sunnah dan perjuangannya. Marilah kita belajar daripada seorang sahabat rasulullah SAW yang bernama Sawad bin Ghaziah Ra. Ketika dalam peperangan Badar ia menangis teresak-esak sambil memeluk Rasulullah SAW. Apabila ditanya oleh baginda mengapa dia berkelakukan demikian, iapun berkata: “Ajalku hampir tiba wahai Rasulullah, sepertimana yang engkau lihat (lukaku). Aku ingin hari terakhir perpisahanku denganmu agar kulitku mendapat kulitmu.”


Kisah kedua adalah tentang kekuatan cinta sahabiyah dari kalangan kaum Anshar yang bapanya, saudara lelaki dan suaminya terbunuh di pertempuran Uhud. Apabila dikhabarkan keadaan keluarganya iapun bertanya: “Bagaimanakah keadaan Rasulullah? Tunjukkanlah aku dimana Rasulullah berada. Sebaik saja dia melihat Rasulullah diapun berkata: “Jika engkau selamat wahai Nabi, maka segala musibah yang menimpaku adalah ringan belaka.”


Ikatan Perjuangan
Apabila cinta kepada Nabi SAW telahpun hadir di jiwa, eloklah kita mempertingkatkan cinta kasih itu dengan berjanji meneruskan apa-apa yang diperjuangkan oleh baginda SAW. Ini merupakan pembuktian cinta yang sebenar dan bukan cinta palsu yang tidak ada keikhlasan di dalamnya. Sunnah Rasulullah adalah idealisme yang mesti dipertahankan. Di makam Rasulullah kita teringat kepada diri sendiri yang belum sempurna melaksanakan ajaran agama. Kemudian bagaimana dengan anak isteri dan keluarga? Masyarakat dan ummat? Bangsa dan negara? Perjuangan yang telah dilakukan Rasulullah SAW Belum berakhir lagi. Beliau telah mencurahkan segala baktinya demi umat ini. Janganlah kita menjadi orang yang mencantas tali idealisme sang Rasul kemudian menziarahinya dengan mengharapkan syafaatnya. Ingatlah teguran Allah di dalam Al-Quran supaya kita sentiasa tetap pada jalan Rasul-Nya.


“Inilah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu ikuti. Jangan kamu ikut jalan-jalan (cara hidup) yang lain, kelak kamu akan bercerai berai dari jalan-Nya. Inilah yang dipesankan oleh Tuhanmu lepada kamu mudah-mudahan kamu bertakwa. (Al-An’am:153)


Setiap muslim pasti mengetahui isi hatinya masing-masing. Sedalam mana cinta kita kepada kekasih Allah SAW. Dalam erti dan bukti yang sebenar-benarnya.


Wallahua'lam Bissawab