Bermacam-macam cara setiap muslim mengingati keagungan peribadi Rasulullah SAW. Ada yang terkenang kepada baginda hanya setahun sekali iaitu pada setiap peringatan maulidul Rasul, ada pula yang cuba sedaya upaya menghadirkan bayangan wajah baginda yang mulia setiap menghadiri majlis ilmu, ketika membaca ayat-ayat Al-Quran dan mendengarkan hadis-hadis Baginda SAW. Jika kecintaan kepada baginda SAW telah mendarah daging pastinya setiap gerak geri seseorang akan sentiasa dibayangi gerak geri Rasulullah SAW. Seperti perbuatan Abdullah bin Umar yang bertanya kepada siapapun yangmengenali baginda SAW secara rapat, dimanakah tempat Rasulullah SAW duduk atau berdoa? Tempat Rasulullah berhenti dan sujud, bahkan cara Baginda SAW berjalan pun diikut oleh Ibnu Umar yang kerinduan.
Perbuatan Rasulullah SAW menjadi warisan berharga yang diperebutkan sehingga Abdullah bin Masud berkata dengan bangga: telah mewasiatkan kepadaku kekasihku Rasulullah SAW……Sedangkan sahabat-sahabat yang lain sibuk bertanya kepada isteri baginda yang paling dikasihi Sayyidatina Aisyah: “Wahai ibunda bagaimanakah peribadi Rasulullah SAW? Wahai ibunda apakah yang dilakukan baginda SAW di rumahnya?” Bagaimanakah cara-cara ibadatnya, pergaulannya dan perjuangannya? Sememangnya perbicaraan tentang diri Rasulullah SAW tidak pernah kehabisan tajuk dan kekeringan petunjuk. Akan sentiasa mengalir hingga akhir zaman sirah baginda yang mulia diperkatakan, disanjung dan dijadikan pegangan, sandaran ilmu dan asas bagi melaksanakan prinsip-prinsip kehidupan.
Ingat kepada seseorang tanpa melahirkan apa-apa perasaan selepas itu adalah ingatan yang sia-sia. Ingat kepada Rasulullah SAW tetapi tidak wujud rasa cinta kepada baginda SAW dan tidak diikuti perbuatan yang sesuai dengan sunnahnya bahkan tidak merasa bertanggung jawab menjaga syariat dan ajarannya adalah ingatan yang sia-sia.
Ketika kita sujud tiba-tiba teringat bagaimana Rasulullah SAW sujud di depan Kaabah lalu datang seseorang yang membencinya melumuri kepala baginda dengan kotoran sambil ditertawakan orang-orang kafir laknatullah. Sujud kita itu terasa lebih berat kerana menanggung rasa kasihan sekaligus kerinduan kepada baginda SAW seandainya saat itu kita hidup di sana membantu Fatimah puteri baginda menyapu kepala insan mulia itu memeluk baginda SAW dengan rasa kasih sayang atau sekadar menangis menumpahkan perasaan pilu dan sakit hati atau kalau boleh kita berada di sisi Abu Bakar menolong beliau membela baginda SAW, bukankah waktu itu hanya Abu Bakar seorang yang rela dihentam dengan caci maki dan penghinaan juga pukulan yang mengalirkan darah di sekujur tubuh badannya?
Tetapi kita tidak hadir di sana, hanya membaca daripada sirah yang harum kemudian lupa untuk kesekian kalinya. Kalaulah sentimen yang membakar hati Hamzah juga membakar hati kita mungkin disitulah puncak kecintaan yang tertinggi yang mampu kita miliki dari diri Rasulullah SAW. Ibnu Hisyam menceritakan: “Suatu hari Abu Jahal bertemu Rasulullah SAW di bukit safa lalu menyakiti baginda SAW. Rasulullah SAW diam tidak bercakap dengannya. Kemudian Abu Jahal memukul Baginda SAW dengan seketul batu sehingga luka kepala baginda SAW dan berdarah. Kemudian dia pergi ke tempat perkumpulan Quraisy di sisi Kaabah lalu duduk bersama mereka. Tidak lama kemudian Hamzah pulang dari berburusambil memegang busur panahnya. Seorang wanita yang menyaksikan peristiwa itu mengadu kepada Hamzah. Lantas beliau marah -dia adalah seorang anak muda yang perkasa di kalangan Quraisy yang sangat tegas- Dia mencari Abu Jahal kemudian berkata: “Hai si punggung kuning, berani engkau menghina anak saudaraku sedangkan aku mengikuti agamanya?” Kemudian Hamzah memukul Abu Jahal dengan busur panahnya hingga berdarah. Tiada seorang pun berani melawan Hamzah ketika itu. (sirah Al-Rahiq al-Makhtum)
Layakkah kita disenaraikan dalam barisan pembela Rasulullah SAW? Dengan amalan yang tidak cukup markah, pengorbanan yang tidak pernah wujud kecuali sekecil hujung kuku, dengan kepura-puraan mencinta tetapi mempergunakan semangat cinta Rasul sebagai cara mengaut keuntungan dunia? Bukankah ramai orang yang mempergunakan agama sebagai cara mendapatkan simpati orang, kejayaan dalam perniagaan, berpolitik atau sekadar menarik simpati calon mertua. Aduhai umat Muhammad SAW yang malang. Setiap hari ramai cerdik pandai dan ilmuwan Islam mengkaji sirah Rasulullah SAW sehingga menelurkan beberapa resolusi penting untuk masa depan umat. Seiring dengan usaha mulia itu banyak perubahan positif berhasil mendewasakan umat tetapi tidak mungkin kita menutup mata terhadap penyelewengan terang-terangan yang dilakukan generasi Islam abad moden dan canggih sekarang ini. Mereka lahir 1500 tahun selepas kewafatan Nabi SAW, diasak oleh tamadun yang lahir selepas kejatuhan Islam sehingga luntur semangat Islam dalam diri generasi kini.
Sememangnya transformasi budaya telah membentuk generasi Islam menjadi tiga lapisan. Yang pertama adalah mereka yang meninggalkan pegangan agama dalam kehidupan, condong ke timur atau ke barat mengikuti fahaman-fahaman yang dicipta manusia tanpa mengambil secebis pun prinsip-prinsip peninggalan Rasulullah SAW.
Lapisan yang kedua ialah yang menolak semua selain Islam dan sayangnya interpretasi mereka tentang Islam terlalu kolot dan tidak berkompromi. Sering mentafsirkan prinsip-prinsip agama secara tekstual, tidak memahami tempat dan suasana semasa yang memerlukan pendekatan yang berbeza dalam mengaplikasikan syariat. Al-Qaradhawi memberi contoh nyata dalam masyarakat Islam ramainya orang Islam yang memberat-beratkan masalah yang remeh temeh dan meringan-ringankan perkara-perkara penting yang mesti didahulukan. Bagaimana perbezaan pendapat tentang sunnah berjanggut dengan jubah dan serban hingga sampai pada tahap memakai jam tangan di sebelah mana yang mengikut sunnah. Tetapi masalah kemiskinan dan kelemahan ekonomi umat tidak disentuh, ramainya orang Islam yang tidak amanah dan kurang cekap mentadbir tidak diperbaiki. Padahal sunnah Rasulullah SAw telah merakamkan sejarah pembinaan umat yang cemerlang hingga mendahului gergasi kekaisaran rom dan Persia hanya memerlukan masa dua puluh lima tahun selepas kerasulan Nabi SAW. Perjuangan membina umat nyata lebih penting daripada berpuak-puak dan bermazhab-mazhab yang menyumbang kepada perpecahan dan ketidakstabilan umat. (Al-Qaradhawi –Fiqh Awlawiyat)
LApisan yang ketiga ialah umat yang moderat, dalam bahasa Al-Quran disebut Ummatan Wasatha umat pertengahan yang menerima konsep baru diluar Islam selama tidak menyalahi prinsip-prinsip Islam dan berpegang kepada tali kukuh pegangan ahlus sunnah wal Jamaah. Umat yang memandang ke timur dan ke barat dan kemana-mana saja tempat segala kebaikan dapat dimanfaatkan untuk kejayaan agama Allah SWT, mereka sentiasa berfikir apakah sumbangan yang dapat diberi untuk Islam, agar perjuangan Rasulullah SAW dapat disambung sehingga tiada yang lebih tinggi melainkan agama Allah Taala.
Memperingati hari kelahiran baginda SAW bukan sekadar nostalgia mainan perasaan, bahkan suatu peringatan bahawa perjuangan mesti digembeling lebih gigih lagi bermula dari sekarang. Siapakah yang boleh menggantikan Hamzah di sisi baginda SAW yang setia membela hingga terkoyak dada tercabut jantung dan dilapah-lapah darah daging kecintaan Nabi itu? Kalau bukan kerana Allah dan Rasul-Nya perjuangan setiap hamba tidak akan sampai ke penghujung yang manis. Tidak akan meninggalkan bekas-bekas yang harum untuk dikenang sepanjang zaman.
Ketika ingat kepada Rasulullah kita bertanya pada diri sendiri, dimanakah kita ketika dakwah Rasulullah SAW menagih janji penolong-penolongnya?
Wallahua'lam Bissawab