Jumaat, 23 Oktober 2009

Peranan Khalifatullah - "Selamatkan Bumi"





Siapakah yang paling lantang menggesa seluruh penduduk dunia dengan kempen-kempen hebat ‘selamatkan bumi’? Padahal orang yang berteriak tangkap perompak, dialah sesungguhnya yang merompak. Para pengkaji dan aktivis alam sekitar bahkan seluruh dunia tahu bahawa negara-negara maju yang lantang menyuarakan kepentingan menjaga alam sekitar itulah yang menjadi penduduk bumi paling merosakkan ekosistemnya. Bagaimana tidak, kerakusan dalam mengeksploitasi sumber-sumber alam demi kemajuan industri dan teknologi menjadi suatu yang halal bagi sebahagian manusia-manusia tamak yang mahu menguasai dunia dengan segala cara. 


Kalau dulu, nenek moyang mereka hidup dengan menjajah bangsa-bangsa yang lemah, semena-mena merampas sumber-sumber makanan, bukan hanya yang tumbuh di atas tanahnya tetapi yang berada di bawah perut buminya juga dirompak, tidak puas dengan jenayah keji itu mereka juga menjadikan lelaki-lelaki yang hidup di atas tanah air mereka sendiri menjadi hamba sahaya, dipaksa bekerja dengan ugutan bunuh dan penyiksaan sampai mati manakala perempuan-perempuannya pula menjadi hamba seks yang diculik dan diumpan untuk tentera-tentera syaitan yang kelaparan.

Kini generasi maju peninggalan kolonialisme itu masih juga mahu membuktikan eksistensinya sebagai bangsa yang paling hebat di atas muka bumi ini. Jika yang mentadbir dunia masih orang-orang yang sama dengan sistem dan fahaman yang sama seperti nenek moyang mereka maka kerosakan itu mustahil dapat dielakkan. Bagaimana mungkin alam ini boleh hidup dengan tenang jika yang menumpang di atasnya adalah manusia-manusia tidak beriman yang suka membuat kerosakan demi mencapai kepuasan hawa nafsunya. Untuk menguasai minyak dunia mereka sanggup memporak-porandakan Iraq dan negara-negara Arab lainnya. Unicef telah melaporkan pada April 1998, lebih kurang 90.000 kanak-kanak di Iraq meninggal dunia setiap tahun sejak sekatan ekonomi dikenakan. Sejarah tidak akan melupakan jatuhnya bom atom yang pertama di Hiroshima dan Nagasaki adalah angkara negara yang paling kuat berteriak ‘jagalah bumi kita’!!! Sambil melaungkan slogan kedamaian mereka membunuh anak-anak di Palestin, menyamun Iraq, mencipta ketegangan-ketegangan di negara-negara sedang membangun supaya keadaan menjadi tidak stabil dan jajah kembali ekonomi dan politik negara lain, kemudian membuat pakatan-pakatan atas nama isu kemanusian dibawah bendera bangsa-bangsa bersatu  semena-mena menggunakan hak ‘veto’ nya masuk ke negeri orang dan membuat percaturan di dalamnya mengikut kuasa mereka. Begitulah kebusukan yang dihias dengan fahaman-fahaman yang kononnya hebat yang dapat menyelamatkan dunia, seperti ciptaan mereka yang bernama kapitalisme, materialisme, sosialisme, komunisme, liberalisme? Semua yang berasal dari sana adalah relevan dan moden maka berpalinglah negara-negara yang pernah dijajah ke sana. Paling sedih ialah anak-anak kita menyembah-nyembah dan berbangga dengan gaya dan fahaman peninggalan kolonialisme ini. Jika bersosial ikut cara penjajah, malu menunjukkan imej kita orang Melayu muslim.

Ramai yang telah tertipu,  jika kita mahu belajar daripada sejarah mustahil kita biarkan kerosakan diatas muka bumi ini dilancarkan secara terus menerus tanpa henti oleh penjenayah-penjenayah kemanusiaan. Umat Islam seharusnya mengambil peranan sebagai penjaga keamanan, kedamaian dan kemakmuran di atas muka bumi ini. Tapi, bilakah ianya boleh terwujud jika yang lahir dari rahim ibu-ibu muslim ialah anak-anak yang lemah kerana kemiskinan, tak berdaya kerana kegelapan ilmu, sakarat jiwanya kerana kehilangan iman. Begitulah gambaran manusia-manusia di belahan dunia ke tiga yang kebanyakannya beragama Islam. 

Pada hakikatnya musuh bagi bumi ialah manusia yang menumpang di atasnya. Tak kira kafir, muslim atau munafik. Mereka adalah penjaga-penjaga bumi yang telah tertulis dilauh mahfuz sebagai peminjam sementara ke atas harta milik Allah Taala ini, jika cukup masanya nanti semuanya akan kembali kepada Allah SWT. Sepanjang usia bumi yang dibentangkan ini telah bergilir-gilir kaum yang satu menguasai kaum yang lain, bangsa yang satu menginjak bangsa yang lain. Rebut merebut, jatuh menjatuhkan, bunuh membunuh. Begitulah hasil kerja tangan-tangan kotor manusia. Hal ini dinyatakan dalam Firman Allah Taala:


“Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah Al-Rum ayat: 41)

Dan Firman-Nya lagi:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Al-Baqarah ayat: 30)


Jika seluruh kekuatan Amerika dan Eropah disatukan untuk menjaga bumi dari kepunahan, agaknya bolehkan cita-cita mereka itu terwujud? Walaupun kecanggihan teknologi Rusia yang mampu menolong Malaysia menghantar angkasawan pertamanya mengorbit atas ehsannya adakah ia mampu mengelakkan teknologi senjata nuklirnya membawa padah bagi sistem kehidupan alam semesta ini? Walaupun Iran dan Pakistan adalah negara Islam yang telah berhasil menguasai teknologi nuklir tidak bermakna mereka bersih dari unsur-unsur mahu menguasai negara lain. Semuanya kembali kepada nurani yang berbisik ‘untuk apa manusia berkuasa di atas muka bumi ini’?


Jika mereka menjawap untuk menjadi ‘wakil Allah Taala’ di bumi, maka aman sentosalah dunia. Tetapi jika mereka masih menyimpan kepentingan peribadi, memuas hawa nafsu sendiri, seronok merasai kenikmatan dunia dengan segala cara seolah-olah hidup ini hanya di dunia saja, lupa wujudnya ‘Kuasa’ yang lebih hebat daripada mereka. Yang menggenggam ubun-ubun diatas kepala mereka, Yang boleh mematikan dan menghidupkan mereka tanpa susah payah. Mereka lupa kepada Tuhan yang mencipta segala-galanya. Padahal kehebatan persenjataan, ketinggian tamadun dan kekayaan yang diagung-agungkan itu hanyalah setitis yang jatuh dari lautan kuasa Allah Taala. 

Jika manusia-manusia jenis ini menguasai bumi, yang berjiwa seperti binatang yang mengganas tak mustahil bumi akan sentiasa ditumpahi darah, maruah diri akan terus dicabul, bangsa-bangsa yang lemah akan terus dijajah. Oleh itu Allah Taala mengutuskan para NAbi dan Rasul untuk menyelamatkan manusia daripada kejahatan. Dengan syariat Allah mereka belajar mengurus diri, keluarga, masyarakat dan seluruh umat manusia supaya tunduk kepada kebenaran. Agama juga mengajarkan supaya manusia percaya bahawa mereka akan kembali ke kampung halamannya iaitu negeri akhirat agar manusia tidak berbuat semena-mena di dunia mengingat semuanya akan dibalas di akhirat sana.

Syariat juga mengandungi ajaran supaya manusia mentadbir bumi dengan mematuhi dan mentaati Allah Taala. Agar kuasa dan reda Allah berada di tangan para pemimpin yang mentadbir dunia ini. Sesungguhnya bumi memerlukan khalifah-khalifah yang beriman kepada Allah Taala untuk menyelamatkannya dari kejahatan manusia-manusia berhati syaitan. Semoga golongan yang berperanan itu dimunculkan ke atas pentas dunia dengan tugas suci sebagai penyelamat bumi.


Wallahua'lam Bissawab