Khamis, 22 Oktober 2009

Membina Pemuda Pemudi Harapan Agama Dan Bangsa





Dahulu pernah berdiri seorang pemuda berumur 25 tahun, yang gagah berani meredah samudera Atlantik sambil mengangkat panji Islam yang dijunjung tinggi sambil berseru: ”Demi Allah, jika aku mengetahui bahawa di seberang lautan ini ada daratan, nescaya akan ku harungi dengan kudaku atas nama Lailahaillah." Akhirnya Afrika telah jatuh ke tangan pemuda itu. Dialah Panglima ulung, 'Uqbah bin Nafi’. 

Tapi kini berdiri seorang pemuda yang cukup berani, menjelajah sepanjang jalan di kegelapan malam, bangga menjadi seorang lelaki yang tak takut mati. Demi gemuruh tepukan dan sorakan teman-teman yang tak siuman dan pembebasan diri dari tekanan kehidupan. Dia berhasil menjadi raja jalanan dengan enjin kuda canggih yang boleh menerbangkan nyawa seketika. Lelaki itu bangga berasa diri hebat tapi tak tahu untuk apa kebanggaan itu. Dan sampai bila akan berakhir kepalsuannya. Sampai bila kepuasan itu boleh mengubat hatinya. Pemuda-pemuda yang merempit semakin ditohmah dan dikeji, mereka semakin berani, siapakah yang boleh memahami jiwa pemberontak ini? Sebahagian yang lain pula masih bersekolah dan terlibat pula dengan gangsterisme dan vandalisme. Mengapa ibu bapa, guru, dan kita sendiri sebagai anggota masyarakat tak mampu membimbing dan mendidik mereka? Di mana silapnya?

Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan pemuda yang keras dan ganas seperti Umar RA. Bahkan pemuda ini pernah berjanji akan membunuhnya. Dengan apakah Nabi SAW menaklukkan hati sekeras karang milik Umar? Dan telah terbukti pemuda-pemuda pemberani bangsa Quraisy yang ditakuti akhirnya bertekuk lutut di hadapan baginda SAW, apakah rahsia yang tersimpan dalam dakwah dan bimbingan Rasulullah SAW kepada setiap pemuda?

Pendekatan psikologi amat diperlukan oleh orang-orang yang gagal dalam hidup. Mereka mengharap bimbingan bukan tohmahan. Bimbingan yang terbaik adalah melalui penaklukan hati dan perasaan. Pepatah mengatakan: ”Sesiapa yang mahu menaklukkan seseorang maka kuasailah hatinya.” Pemuda-pemuda bermasalah ini mahu melihat kita dengan wajah yang ramah dan mesra. Wajah yang apabila dipandang mengingatkan mereka kepada Allah Taala. Tiada sedikitpun iras-iras kebencian yang dipamerkan. Sikap mahu bersahabat dan prihatin perlu ditonjolkan. Mereka sebenarnya dalam keadaan tenat, kehilangan arah dan tak tahu bagaimana mahu menyelamatkan diri dari kancah kejahatan. Jika orang-orang yang berada di sisi mereka hanya mahu menghukum dan mengeji sahaja, mustahil mereka boleh bangkit melainkan dengan ketentuan Allah Taala. 

Anak-anak kita di rumah amat dahagakan kasih sayang ikhlas ibu bapanya, bilakah kali terakhir kita sudi mendengar luahan hati mereka? Ataukah mereka takut mengutarakan maksud di hati disebabkan gaya kepimpinan kita yang kuku besi? Jika Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang anak tentang siapakah yang paling utama untuk dicurahkan kepadanya kasih sayang, maka sabda baginda SAW yang bermaksud: "Ibumu, ibumu, ibumu dan ayahmu.” Bagaimana anak boleh mencurah kasih jika ibu bapanya adalah musuh utamanya. Herdikan dan caci maki menjadi santapan utama setiap hari. Ibu yang tertekan dan ayah yang serba tak kisah hal apapun yang terjadi di rumah. Anak-anak menjadi mangsanya, keluar daripada rumah membawa hati yang penuh benci dan mahu memberontak. Semuanya bermula dari rumah.

Anak-anak itu lahir dan membesar tanpa iman kerana kedua orang tuanya tidak menyediakan iman sebagai keperluan asas untuk mereka. Ada yang sibuk mencari makanan berkhasiat dan suplemen yang terbaik untuk anak namun tiada tergerak hatinya memilih iman sebagai penyihat hati anak. Masa pun memainkan peranan penting untuk mengukuhkan hubungan kita dengan mereka. Sudahkah kita sentiasa menjadikan masa untuk bersama anak sebagai prioriti dalam hidup ini? Mereka perlukan kita sebagai kaunselor dan mentor terbaik, mereka perlukan insan yang paling istimewa dan ikhlas menyayangi. Sayang hingga ke syurga dengan cara mendidik ajaran agama secara sempurna.

Mengapa agama menjadi pilihan yang tidak begitu diminati generasi muda masa kini? Apakah kerana gaya persembahan dakwah yang kurang sesuai dengan kecenderungan pemuda-pemudi kita? Tidak salah jika nilai-nilai ajaran agama itu diserap melalui filem, drama, muzik atau bahan-bahan bacaan yang berunsur hiburan. Pendekatan dakwah yang fleksibel akan menarik minat para remaja. Bukankah Rasul SAW pernah berwasiat kepada seorang sahabatnya ketika mahu menyampaikan Islam: ”Permudahkanlah jangan menyusahkan.” 

Masalahnya kini generasi muda mengenal Islam dengan cara ditakut-takuti, yang ini haram yang itu haram. Mereka tidak didedahkan dengan keindahan Islam melainkan hanya sejumlah aturan-aturan yang membebankan dan pantang larang yang menyusahkan. Padahal Islam tidak mengajarkan metod yang sebegini. Terlalu banyak keluasan dalam Islam yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dalam membimbing para sahabat baginda.

Bolehkah kita mendampingi pemuda-pemudi kini dengan gaya dan cara seperti Nabi SAW mendampingi Mus’ab, Umar dan Uqbah bin Nafi’. Mampukah kita membina anak-anak bangsa yang perlukan pertolongan?


Wallahua'lam Bissawab